01/07/2011

'BERSIH' YANG BOLEH MENGOTORKAN

Oleh Tan Sri Sanusi Junid
RANCANGAN DEMONSTRASI 'BERSIH' PADA 9 JULAI, 2011

JENIS DEMONSTRASI

1. Demonstrasi 'Bersih' yang dicadangkan untuk 9 Julai, 2011 kononnya bermatlamat untuk memastikan tidak ada penipuan dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

2. Biasanya demonstrasi kecil-kecilan diadakan oleh pihak yang menganggap diri mereka teraniaya apabila sesuatu yang dianggap tidak betul sudah berlaku dan tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab untuk membetulkannya.


3. Demonstrasi begini tidak memecahbelahkan rakyat kerana ianya mempunyai tujuan yang jelas dan boleh diselesaikan atau dijelaskan apa-apa kekeliruan atau salah faham yang ada dalam fikiran mereka yang berdemonstrasi.


4. Demonstrasi yang lebih besar juga telah diadakan untuk menunjukkan sokongan rakyat Malaysia kepada rakyat sebuah negara lain yang didapati dianiaya dan dizalimi seperti demonstrasi menentang kekejaman pihak Zionis Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat, ke atas rakyat Palestin.


5. Atau pun, di satu masa dulu, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berdemonstrasi mengecam kekejaman rejim tentera di Thailand ke atas Ummat Islam di selatan negara itu.


6. Demonstrasi begini juga tidak memecahbelahkan rakyat kerana ianya menyeru rakyat supaya bersatu menyatakan perasaan dan sokongan mereka untuk golongan yang tertindas di negara lain.
PENGALAMAN BERDEMONSTRASI DI LONDON

7. Saya sendiri pernah terlibat dalam barisan pimpinan dua demonstrasi besar di kota London pada tahun 1969 apabila penganjur demonstrasi berarak dari Marble Arch ke Trafalgar Square. Demonstrasi awal dianjurkan untuk menyatakan bantahan terhadap pihak Zionis Israel kerana mengebom Masjid Al Aqsa dan demonstrasi kedua bertujuan menyeru Amerika Syarikat supaya menghentikan perang mereka ke atas Vietnam. Satu juta orang telah keluar menyokong demonstrasi pertama dan tiga juta telah keluar menyokong demonstrasi kedua.


8. Dato' Wan Ismail adalah antara yang bercakap di atas pentas, di depan patung singa di Trafalgar Square, dalam demonstrasi pertama sehingga beliau menarik perhatian Sheikh Said Ramadhan yang menonton demonstrasi itu di dalam televisyen saluran BBC. Beliau, yang waktu itu tinggal di Switzerland, memegang jawatan Setiausaha Agung Pergerakan Ikhwanul Muslim yang diharamkan di Mesir. Kekaguman Sheikh Said Ramadhanlah yang berakhir dengan Dato' Wan Ismail menjadi adik iparnya apabila Dato' Wan Ismail dinikahkan dengan Datin Dr. Fatma yang kini menjadi pendakwah terkenal di Malaysia.


9. Dato' Wan Ismail telah kemudiannya dipilih oleh Dato' Asri untuk menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan. Dato' Asri Muda pernah menjadi Presiden PAS tetapi memilih untuk menjadi ahli UMNO sebelum beliau meninggal dunia. Dato' Wan Ismail juga kini menjadi ahli UMNO.


10. Ini adalah cerita sampingan yang mungkin belum tercatit di mana-mana.


11. Banyak contoh demonstrasi yang telah berlaku yang kita semua ketahui mengenainya.


DEMONSTRASI MENUNTUT KEMERDEKAAN


12. Pada 16 Mac, 2010 saya telah bertemu Teungku Muhammad Nazar, Wakil Gubenor Aceh, yang telah menganjurkan satu demonstrasi yang besar di Banda Aceh pada 8 November, 1999 yang diberi nama SU-MPR (Sidang Umum - Masyarakat Pejuang Referendum). Lebih sejuta orang dari rakyat Aceh yang hanya berjumlah sekitar 4 juta, hadir menyokong SU-MPR ini. Waktu itu Teungku Muhammad Nazar ialah pemimpin SIRA (Sentral Informasi Referendum Aceh).


13. Tujuan Teungku Muhammad Nazar menganjurkan demonstrasi itu ialah untuk menuntut diadakan referendum bagi menentukan samada rakyat Aceh mahukan kemerdekaan. Dengan adanya referendum maka peperangan antara GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dan TNI (Tentera Nasional Indonesia) dapat dihentikan kerana rakyat Aceh yang menentukan samada mahu merdeka secara aman atau meneruskan peperangan.


14. Demonstrasi ini juga bertujuan menyatupadukan rakyat dan bukan memecahbelahkan rakyat


15. Demonstrasi ini telah dihentikan kemudiannya kerana referendum tidak perlu lagi bersebabkan GAM dan Kerajaan Indonesia telah berdamai di bawah perjanjian Helsinki pada 15hb Ogos, 2005.


16. Teungku Muhammad Nazar memberitahu saya bahawa ada wakil dari Amerika Syarikat yang menyatakan padanya bahawa bila demonstrasi diteruskan lebih lama masyarakat antarabangsa pasti akan campur tangan dan akan memaksa Kerajaan Indonesia untuk mengadakan referandum untuk memerdekakan Aceh. Nazar tidak percaya dengan pendapat ini.


DEMONSTRASI DI MESIR DAN TUNISIA


17. Ternyata sekarang ini dengan adanya demonstrasi yang berterusan di Mesir dan Tunisia kedua negara ini sudah dapat menggulingkan kerajaannya. Sudan sudah berpecah dan sudah tentu di Syria dan Yemen juga ada sumber inspirasi dari luar sebagaimana di Libya kita lihat Nato membantu penentang Presiden Gaddafi dengan angkatan bersenjata. Sudah tentu, melihat perkembangan di negara-negara Arab, Teungku Muhammad Nazar berasa benar mengenai apa yang disarankan oleh wakil dari Amerika itu.


18. Walau bagaimana pun Teungku Muhammad Nazar bersyukur dengan keputusannya untuk menerima rancangan perdamaian.


CARA MALAYSIA MEMILIH KERAJAAN


19. Tetapi di Malaysia kerajaan pusat dan negeri dipilih oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum. Dato' Seri Najib bin Tun Abd. Razak belum pun memimpin sendiri satu Pilihanraya Umum kerana pimpinan beliau sekarang ini adalah hasil Pilihanraya Umum tahun 2008 yang dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tun Dr. Mahathir telah bersara dari jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang demonstrasi. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dipendekkan khidmatnya apabila ternampak penyelewengan dan ketidakmampuan dalam pentadbirannya. Semuanya tanpa demonstrasi.


20. Jelas sekali Suruhanjaya Pilihanraya telah difitnah, dan namanya hendak dicemar, sebagai institusi yang diramal akan melakukan penyelewengan dalam Pilihanraya Umum ke 13.


21. Penganjur demonstrasi ingin menghukum sebelum mana-mana pihak membuat dosa.


22. Sepatutnya Kerajaan Barisan Nasional yang merasa tidak puas hati dengan Suruhanjaya Pilihanraya apabila kalah beberapa negeri, dalam Pilihanraya Umum 2008, kepada Pakatan Rakyat sebagaimana pembangkang selalu menyalahkan sistem pemilihan apabila kalah.


23. Tetapi Barisan Nasional menyedari kekalahan itu harus diterima kerana Suruhanjaya Pilihanraya telah menjalankan tugasnya dengan adil dan profesyenal.


24. Adalah tidak salah bagi sesiapa sahaja yang berpolitik untuk bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan bagi mana-mana parti politik untuk bercita-cita menggulingkan kerajaan yang memerintah.


25. Pakatan Rakyat telah menang banyak 82 kerusi Parlimen ( PKR - 31 kerusi; DAP - 28 kerusi; PAS - 23 kerusi ) dan menguasai 4 Dewan Undangan Negeri, dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008. Jika prestasi mereka memberansangkan, jika pemimpin UMNO pusat terus lupa kepada UMNO Bahagian dan Cawangan, dan jika keseluruhan pemimpin dan ahli UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan, dan rakyat jelata, tidak serik dengan perangai, telatah dan sikap pihak pembangkang, sudah tentu Pakatan Rakyat akan bertambah kuat dalam Pilihanraya Umum ke 13.


PAKATAN RAKYAT SETELAH PILIHANRAYA UMUM KE 12


26. Malangnya bagi Pakatan Rakyat parti-parti komponennya, kecuali DAP, berada dalam keadaan bercelaru. Kesemua parti dalam Pakatan Rakyat mengamalkan nepotisma. Anak bersiap untuk ganti emak, yang dikasihi bersiap mengganti yang mengasihi, anak-anak bersedia di sayap parti untuk mengganti bapa. Prestasi semua kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat agak lembab dan jauh dari memberansangkan.


27. Banyak pemimpin dan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat telah meninggalkan parti dan bersuara dengan lantang mengenai ke'ajaiban dan ke'aiban parti dan pemimpin mereka.


PAS MENGORBANKAN PERJUANGAN ASALNYA


28. PAS pula sudah merobah halatuju dari mewujudkan 'Negara Islam', dengan hukum hududnya, kepada 'negara kebajikan' yang mengampunkan semua dosa kawan-kawannya kerana matlamatnya sama, iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.


29. PAS takut jika mereka tidak buangkan matlamat mewujudkan negaraa Islam mereka tidak akan mendapat sokongan kafir khorbi dalam Pilihanraya Umum ke 13.


30. PAS kini berpegang kepada prinsip baru yang dipinjam dari kalangan bukan Islam, dari Barat, di mana 'matlamat menghalalkan cara'.


31. Mereka lupa bahawa kejayaan satu-satu matlamat itu ditentukan oleh Allah s.w.t., sementara kita akan dihukum oleh Allah s.w.t. jika dalam perjalanan menuju ke matlamat itu kita halalkan semua dosa.


32. Ibn Ya'acob, atau CGM, dari Langkawi pernah berkata dalam Perhimpunan Agong UMNO:

               Niat baik, cara tak reti,
               Pahala dapat, kerja tak jadi;
               Niat jahat, cara pandai,
               Dosa dapat, matlamat tercapai.
               Niat jahat, cara tak reti,
               Dosa dapat, kerja tak jadi;
               Yang perlu ialah:
               Niat baik, cara reti,
               Pahala dapat kerja jadi.

DULU DAN SEKARANG


33. Walau pun sebelum parti-parti komponen BN menyusun semula kepimpinan mereka Barisan Nasional telah kalah dalam 2 pilihanraya kecil, Pakatan rakyat pula telah kalah dalam semua pilihanraya kecil akhir-akhir ini. Pakatan Rakyat telah kalah teruk dalam pilihanraya untuk memilih wakil bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.


34. Di peringkat antarabangsa pula Dato' Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja sudah diterima, sekarang ini, oleh pemimpin-pemimpin di Asia, Africa, Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat malah pelabur-pelabur asing pun menerima mereka. Pelabur asing sudah mula datang kembali setelah mereka mendingin di zaman Perdana Menteri sebelum ini.


35. Kalau dahulu kita difahamkan tokoh-tokoh Yahudi di Barat sangat terpengaruh dengan Ketua Pakatan Rakyat, kini, baik dalam kerajaan, atau dalam NGO dan sektor korporat di Eropah dan Amerika, kebanyakan mereka sudah bertukar selera dan mengiktiraf kebaikan dan kebijaksanaan pemimpin Malaysia sekarang ini.


36. Benteng Ketua Pakatan Rakyat di luar negara sudah roboh.


KALAU KETAGIH UNTUK BERDEMONSTRASI


37. Banyak isu lain yang boleh digunakan oleh parti komponen Pakatan Rakyat jika mereka ketagih untuk berdemonstrasi.


38. Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat, umpamanya, boleh mengadakan demonstrasi untuk menuntut supaya Timbalan Presiden PAS minta ma'af dan bertaubat untuk tidak lagi menggelarkan ketua mereka sebagai Al Juburi. Semua pita rakaman dan video mengenai ucapan ini hendaklah diminta balik supaya tidak disimpan oleh ahli-ahli PAS


39. Satu pesta boleh dianjurkan untuk melihat upacara pembakaran pita rakaman dan video berkenaan.


APA AKAN BERLAKU


40. Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat juga boleh berdemonstrasi untuk menuntut supaya penasihat mereka tidak campur tangan dalam pemilihan pemimpin parti itu. Seterusnya pemilihan dalam PKR hendaklah dilakukan dengan telus dan 'bersih', jangan seperti pemilihan yang kotor yang diamalkan PKR baru-baru ini.


41. Seterusnya ahli-ahli PAS juga boleh mengadakan demonstrasi untuk mendesak mahkamah supaya mempercepatkan tindakan mengadili kes-kes yang melibatkan zina dan liwat supaya budaya zina dan liwat dapat dikurangkan, untuk dihapuskan, demi menjamin 'kebajikan' rakyat di masa hadapan.


42. Ahli-ahli PAS juga boleh berdemonstrasi untuk mendesak supaya tokoh ilmuan ugama, yang digelarkan 'ulama' oleh PAS, tidak campur tangan dalam pemilihan barisan pemimpin PAS. Tokoh ilmuan ugama PAS yang dalam usahanya untuk menjatuhkan ilmuan ugama Nasaruddin Md. Isa, yang dikatakan pro-perpaduan Melayu dan sanggup bekerjasama dengan UMNO dan bukan dengan DAP yang dipimpin oleh kafir khorbi, telah meletakkan seorang ilmuan ugama yang lain dengan harapan menang, dan dapat mengalahkan Nasaruddin, sebaliknya yang menang ialah yang tidak dikehendaki oleh kalangan semua ilmuan ugama.


43. Semua demonstrasi begini tidak diadakan. Kalau diadakan pun hanya membuang masa sahaja jika 'matlamat' menghalalkan cara'.


OPERASI LALANG


44. Saya pernah terlibat untuk menganjurkan satu rapat raksasa di Stadium Merdeka untuk menunjukkan betapa orang-orang Melayu yang menjadi ahli UMNO bersatu, dan tidak berpecah, dalam perjuangan UMNO.


45. Rapat raksasa itu difikirkan perlu kerana ada kejadian di mana pihak kehakiman telah bercadang mengambil alih kuasa Menteri Dalam Negeri untuk memberi kerakyatan kepada 50 warga negara asing yang permohonannya telah ditolak oleh Kerajaan. Undang-undang negara menyatakan bahawa Menteri Dalam Negeri boleh menolak sebarang permohonan untuk menjadi rakyat Malaysia tanpa memberi sebab. Jika pihak kehakiman boleh meluluskan permohonan untuk menjadi rakyat maka ratusan ribu bukan warga negara asing boleh diberi taraf kerakyatan oleh pihak kehakiman atas alasan 'natural justice'.


46. Setelah diselidik atas sebabnya kejadian ini berlaku maka kita mendapat maklum bahawa ada individu di pihak kehakiman berkenaan, di waktu di bawah pengaruh minuman keras, di Kelab Selangor, melaungkan bahawa kerajaan sudah lemah, dengan perpecahan di dalam UMNO, dan mereka boleh berbuat apa saja termasuk mengambil alih kuasa memberi kerakyatan.


47. Pada mulanya rapat raksasa ini difikiran perlu hanya 30,000 peserta sahaja dari kalangan ahli UMNO tetapi apabila Tun Dr. Mahathir mengetahui UMNO mampu bawa lebih dari 30,000 maka saya telah mengetuai kempen yang akhirnya menjanjikan sekitar 1 juta ahli UMNO akan hadir melimpah di Stadium Merdeka pada 1 November, 1987.


48. Pada waktu itu pihak polis telah mendapat maklum balas bahawa perjumpaan raksasa itu, walau pun terbatas kepada ahli UMNO sahaja akan menyebabkan huru hara kerana ada pihak memikirkan rapat raksasa itu boleh membuka peluang untuk membuat huru-hara yang akhirnya, bila Melayu dah naik minyak, maka perkelahian antara kaum akan berlaku yang mungkin melibatkan pertumpahan darah seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei, 1969.


49. Walau pun UMNO, yang menerajui kerajaan Barisan Nasional, yang menajakan rapat raksasa itu, dan saya memberi jaminan tidak akan berlaku kekacauan, tetapi, berasaskan maklum balas yang ada pada polis maka satu penangkapan seramai lebih 100 orang telah dibuat sehingga rapat raksasa itu terbatal.


50. Tindakan inilah yang dinamakan 'Operasi Lalang'.


51. Banyak antara mereka yang tertangkap di bawah Akta ISA dalam 'Operasi Lalang' kini berada dalam Parlimen termasuk pemimpin Perkasa Dato' Ibrahim Ali.


52. Bezanya antara Dato' Ibrahim Ali dengan yang lain-lain yang tertangkap di bawah 'Operasi Lalang' ialah Dato' Ibrahim Ali terus menyokong kewujudan ISA sementara ahli Parlimen yang lain menentang ISA dan menghidupkan isu itu secara terus menerus. Mungkin kerana mereka ingin berdemonstrasi lagi tetapi takut ditangkap di bawah Akta ISA.


RAKYAT WAJIB MENYOKONG POLIS UNTUK MENJAMIN KEAMANAN DALAM NEGARA


53. Tun Dr. Mahathir menyatakan kepada saya bahawa dalam soal keselamatan negara pihak polis lebih mengetahui dari kita dan apabila jadi huru-hara merekalah nanti yang akan susah.


DEMONSTRASI JALANAN YANG ANEH


54. Rancangan demonstrasi jalanan pada 9 Julai akan datang agak aneh kerana Dato' Ambiga tidak mahu meminta izin polis kerana, katanya, polis tidak akan memberi izin. Strategi ini memudahkan beliau untuk melepaskan tangan. Begitu juga dengan bekas-bekas tahanan yang lain yang kini berada dalam Pakatan Rakyat.


55. Yang lebih aneh lagi ialah pihak penganjur demokrasi telah memilih yang tidak bersalah sebagai sasaran mereka. Nampaknya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sudah merasakan mereka akan kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang.


PUTAR BELIT MEDIA ASING YANG ANTI MALAYSIA


56. Samaada demonstrasi jalanan pada 9 Julai ini jadi atau tidak, besar atau kecil, mereka sudah mencatitkan dalam media seluruh dunia bahawa kekalahan mereka nanti ialah disebabkan Suruhanjaya Pilihanraya tidak adil dan telah melakukan penyelewengan sehingga mereka kalah.


57. Media asing yang anti Malaysia akan memutarbelitkan berita demonstrasi itu nanti seperti yang tercatit dalam buku otobiografi bapa saudara saya Dato' Ibrahim Hussein, seorang pelukis terkenal. Otobiografi ini telah diterbitkan oleh isterinya Datin Sim setelah beliau meninggal dunia pada tahun 2009. Beginilah petikannya:


'For most of the time I was in the United States I didn't think much about home. In fact I didn't even miss home. I was young and excited about everything happening about me.


That changed with the occurence of May 13th, 1969. I had watched the episode unfold on television and my thoughts raced home. I becaame very curious since, at that time, there was nothing else on American television but the Vietnam War.


When this tragedy happened in our country I was watching the special news - breaking news - and I saw that Kuala Lumpur was burning. But it was strange because it was not Kuala Lumpur.


To the American audience it did not matter which place it was. To me, this was not right and it seemed that they have edited the burning scenes on purpose.


I could identify the surroundings in the news straight away but when I looked closely they had included some scenes of the Vietnam War with the original images.


It had an effect on me because I then became more interested in politics and what was happening in America at the time. I remember after May 13th, I would often go to our Mission in New York to get news from home but there would be none.


I felt completely cut off. Our country appeared very far and remote - a country without any news. ...'


59. Begitulah jenis gambaran yang akan diberi di luar negara ke atas negara kita jika demonstrasi berlaku. Bukan ' a country without any news ... ' seperti kata Allahyarham Ib tetapi, saya yakin media asing akan memaparkan 'very, very, very bad news.'


60. Jika penganjur demonstrasi jalanan ini boleh menyalahkan Suruhanjaya Pilihanraya atas kekalahan yang belum pun berlaku saya juga boleh meramalkan akan ada satu lagi demonstrasi jalanan yang lebih besar selepas Pilihanraya Umum ke 13 apabila pengumuman dibuat bahawa Pakatan Rakyat sudah kalah teruk.


61. Apabila demonstrasi jalanan dibuat selepas Pakatan Rakyat kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 matlamatnya sudah tentu untuk mencapai kejayaan yang telah dicapai oleh mereka yang sudah berdemonstrasi di Mesir dan Tunisia.


AKTA ISA SANGAT RELEVAN


62. Program demonstrasi jalanan yang dirancangkan untuk diadakan pada 9 Julai ini jelas menunjukkan ISA tetap relevan bagi negara Malaysia yang berbilang kaum.


63. Setelah Peristiwa 13 Mei, 1969 berlaku kerana keengganan pemimpin negara di waktu itu untuk menggunakan ISA dan darurat pula tidak dapat diisytiharkan kecuali setelah berlaku keadaan tumpah darah; dan setelah darurat telah diisytiharkan di Kelantan kerana pemimpin negara di waktu itu tidak ingin menunggu sampai pertumpahan darah berlaku di bawah pimpinannya, maka Perlembagaan telah dipinda, di waktu Tun Mohd. Ghazali Shafie menjadi Menteri Dalam Negeri dan saya menjadi Timbalannya, untuk membolehkaan, bukan saja menggunakan ISA untuk menangkap semua kaki pengacau sebelum kekacauan berlaku, tetapi mengisytiharkan darurat apabila KDYMM Yang Di Pertuan Agong memikirkan huru-hara dan pertumpahan darah akan berlaku (dan bukan setelah berlaku) di dalam negara.


64. Bagi semua rakyat yang inginkan keamanan, supaya kita dapat terus mencari ilmu dan rezeki untuk hidup bahagia dalam aman dan iman, mereka hendaklah menyokong sebarang usaha untuk mengekalkan keamanan itu.


65. Jika berlaku huru-hara bukan undang-undang yang patut disalahkan tetapi kedayusan kita untuk menggunakan undang-undang itu.


66. Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan hendaklah menyokong tindakan polis dan tentera, jika perlu, untuk masa depan kita dan anak cucu kita.


67. Sekian, Wabillaahi Taufik Wassalaamu'alaikum.
 
Sumber http://sanusijunid.blogspot.com/2011/07/bersih-yang-boleh-mengotorkan.html

Antara Hak Asasi dan Ketenteraman Awam

A Kadir Jasin
sumber: http://kadirjasin.blogspot.com/2011/07/antara-hak-asasi-dan-ketenteraman-awam.html


BEBERAPA orang pembahas dan kenalan kedai kopi bertanya mengapa saya tidak menulis mengenai cadangan tunjuk perasaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Sebenarnya, saya sudah menulis mengenainya beberapa bulan lalu dalam majalah ekonomi
Malaysian Business. Pertama, saya berkata, adalah kesilapan bagi kerajaan dan Barisan Nasional bercakap mengenai pilihan raya umum (PRU) terlalu awal.

Kedua saya berkata, saya tidak sedikit pun tidak ragu-ragu Pakatan Rakyat dan barisan bersekutunya akan mengambil kesempatan daripada khabar angin pilihan raya itu untuk mengadakan demonstrasi jalanan.


Saya berkata lagi, pilihan raya umum tidak perlu diadakan sehingga 2013 dan membuat spekulasi mengenai kemungkinan ia diadakan lebih awal akan menyebabkan tunjuk perasaan jalanan seperti yang berlaku pada 2007 berulang lagi.


Walaupun ramai antara kita mudah lupa – mungkin kerana menderita sindrom awalan Alzheimer - tentu tidak semua sudah lupa tunjuk perasaan haram Bersih dan protes haram pertubuhan haram
Hindu Rights Ation Front (Hindraf) pada tahun 2007.

Kedua-dua protes yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan awam itu diadakan sebaik sahaja Pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi membuka mulut bercakap mengenai PRU.


Pakatan Sudah Merasa Darah


Dalam rencana
Malaysian Business itu, saya juga berkata pembangkang dan barisan bersatunya “sudah merasa keenakan darah” dan akan mengulanginya kerana protes 2007 membantu mereka dalam PRU 2008.

Jadi, manakala kerajaan dan BN seronok bercakap mengenai kemungkinan PRU awal kerana hanya mereka tahu tarikh sebenar bila ia akan diadakan, PR dan barisan bersatunya sudah bersedia untuk bertindak. Maka tidak hairanlah PR dan parti-parti komponennya teguh di belakang demonstrasi Bersih.


Haram atau halal tidak menjadi masalah. Kalau haram, penganjur dan pesertanya mungkin dikenakan tindakan. Itulah yang dinanti-nanti kerana ia memberi peluang kepada mereka menuduh kerajaan dan BN sebagai tidak menghormati Perlembagaan, tidak demokratik, tidak menghormati hak asasi dan takut kepada reaksi massa.


Itulah yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Beliau sudah pun membuat tuduhan terbuka bahawa pemimpin BN yang “korup dan jahat” (
corrupt and wicked) akan melakukan apa saja untuk terus berkuasa – tidak mengapa jika korupsi moral dan “wickedness” juga berlaku di pihak pembangkang.

Kerajaan dan BN mungkin berasa lega dengan kutukan massa terhadap penganjur tunjuk perasaan seperti yang dicanangkan oleh media massa arus perdana dan blog-blog partisan prokerajaan, pro-BN dan pro-Umno. Tetapi kerajaan dan BN tidak akan menjadi lebih kuat hanya dengan memburukkan pembangkang dan penunjuk perasaan.


Ya, tindakan mereka akan mengganggu ketenteraman, keselesaan dan keselamatan awam. Tetapi kerajaan dan BN juga wajib melihat ke dalam diri mereka sendiri.


Siapakah yang membuka pintu kuala atas nama keterbukaan, liberalisasi, globalisasi dan pelbagai jargon lagi kalau bukan kerajaan BN pada era Abdullah?


Siapakah yang menyebabkan begitu ramai orang Melayu, termasuk ahli dan penyokong Umno, meluat, menyampah dan benci kepada Umno dan BN? Orang Melayu marah kerana berasa kepentingan mereka diabaikan manakala beberapa kerat “lembu suci” diberikan keutamaan dan perlindungan.


Orang bukan Melayu pula marah kerana berasa janji-janji kepada mereka tidak ditunaikan.


Abdullah membebankan Umno, BN dan kerajaan dengan beberapa kerat suku sakat, sahabat dan budak-budak Tingkat Empat. Soalnya, apakah Umno, BN dan kerajaan pasca-Abdullah bersih daripada ciri-ciri yang memualkan ini?


Siapa Yang Menonjolkan Ambiga?


Siapakah Ambiga Sreeneasan ini kalau bukan “ciptaan” era Abdullah kerana kononnya dia ini sederhana dan bersimpati dengan kerajaan? Dia ditimang ibarat minyak yang penuh oleh budak-budak Abdullah ketika dia menjadi Presiden Majlis Peguam.


Jadi, jangan marah kepada Ambiga jika hari ini dia begitu berkuasa, berpengaruh, dicintai pembangkang dan diyakini oleh Melayu, Cina dan India, haji dan lebai.


Benar PR juga mempunyai masalah. Kepemimpinannya juga sedang dilanda pelbagai kemelut moral dan intelektual, korup dan “
wicked”.

Tetapi, adakah kita, sebagai pengundi dan pembayar cukai (dan mungkin juga patriot), sedia menerima situasi di mana kita terpaksa memilih yang terbaik daripada kalangan yang buruk untuk memimpin dan memerintah kita?


Saya bernasib buruk melihat dan mendengar kesan dahsyat peristiwa 13 Mei, 1969 (saya mula bekerja di Kuala Lumpur sebulan selepasnya). Jadi saya bernasib baik dapat belajar daripada peristiwa itu. Maka, biar seoptimistik mana pun saya mengenai Malaysia pasca-13 Mei, namun tertanam di dalam “
subconscious” saya kebimbangan mengenai kemungkinan peristiwa seperti itu berulang.

Kalau orang lain tidak takut, itu hak mereka. Mungkin mereka berani. Mungkin mereka kebal – tikam tak mati, tembak tak lut. Atau mungkin juga kerana mereka buta sejarah atau seronok datang percuma ke ibu negara.


Saya katut bila timbul cakap-cakap ada pihak lain bercadang mengadakan tunjuk perasaan balas bagi menjawab tunjuk perasaan PR/Bersih.


Ini tidak mustahil. BN, khasnya Umno, tentu sedar jika ia tidak bertindak balas, ia akan rugi. Ia akan dianggap pengecut oleh penyokongnya sendiri. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mungkin telah menyedari hal ini.


Dan jika Perkasa turut sama, keadaan akan menjadi lebih kacau bagi Umno dan parti-parti Melayu/Islam dalam PR. Mereka mungkin hilang lebih banyak sokongan dan keyakinan orang Melayu.


Tidak mengapa kalau hendak mengutuk dan memperkecilkan Ibrahim Ali, tetapi cuba tanya diri sendiri mengapa begitu ramai orang Melayu, termasuk cendekiawan dan ahli profesional, menyokong beliau dan pergerakannya?


Awas Kesan Aksi dan Reaksi


Tindakan dan tindak balas seperti inilah yang membawa kepada ketegangan masa lampau. Peristiwa pada 13 Mei 1969 bermula dengan perarakan kemenangan DAP yang dibalas oleh perarakan kemenangan Umno.


Operasi Lalang 1987 bermula dengan agenda pendidikan Cina yang dijuarai Pemuda MCA dan dilarikan oleh DAP menyebabkan orang Melayu dan Pemuda Umno bertindak balas.


Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tentu belum lupa kerana beliaulah yang mengepalai protes balas Melayu di Kampung Baru yang berkesudahan dengan ramai penyokongnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun beliau sendiri terselamat.


Ada orang berkata, Malaysia sudah berubah dan lebih toleransi. Malah mereka begitu yakin peristiwa seperti 13 Mei, 1969 tidak akan berulang dan sesiapa yang bercakap mengenainya berhasrat menghasut dan menakut-nakutkan.


Tetapi saya berkata, lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian hari. Saya tidak boleh dan tidak akan menghalang sesiapa pun mengadakan perhimpunan aman (
peaceful assembly) kerana ia dijamin oleh perlembagaan, tetapi saya juga tidak boleh dan tidak akan menghalang polis daripada menjalankan tugas seperti yang mereka fikirkan wajar.

Kebebasan Tidak Pernah Mutlak


Kalau kita memahami Perlembagaan dan berpegang kepada prinsip demokrasi, kita pasti akui bahawa menangani ancaman demonstrasi Bersih atau mana-mana juga tunjuk perasaan adalah lebih rumit daripada yang digambarkan oleh media massa kedua-dua belah pihak.


Pertama, Perlembagaan menjamin hak rakyat jelata berhimpun secara aman. Perkara 10(1) memberikan hak bersuara, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan. Tetapi hak itu tidaklah mutlak. Perkara10 (2), (3) dan (4), dengan jelas membenarkan Parlimen mengenakan sekatan demi keselamatan negara, perhubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam, moral, melindungi keistimewaan Parlimen, menghalang penghinaan mahkamah, mencegah fitnah dan hasutan.


Kedua, Perlembagaan memberi hak kepada polis menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Polis berkewajipan melindungi orang ramai. Dan orang ramai itu termasuklah penunjuk perasaan sah dan aman.


Hari ini, antara frasa yang kerap dimanterakan oleh kedua-dua belah pihak – BN dan PR – ialah “rakyat sudah matang”. Tetapi dalam jargon partisan mereka, rakyat hanya matang jika menyokong dan memangkah mereka.


Tetapi, dalam menghadapi dan menangani demonstrasi partisan khasnya dan ketidakpatuhan sivil amnya, kedua-dua belah pihak hendaklah berhati-hati agar rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah. Tidak semua matlamat unggul dan tidak semua cara halal. Matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Dan tidak semua manusia waras, sabar dan cintakan ketenteraman.