01/07/2011

'BERSIH' YANG BOLEH MENGOTORKAN

Oleh Tan Sri Sanusi Junid
RANCANGAN DEMONSTRASI 'BERSIH' PADA 9 JULAI, 2011

JENIS DEMONSTRASI

1. Demonstrasi 'Bersih' yang dicadangkan untuk 9 Julai, 2011 kononnya bermatlamat untuk memastikan tidak ada penipuan dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

2. Biasanya demonstrasi kecil-kecilan diadakan oleh pihak yang menganggap diri mereka teraniaya apabila sesuatu yang dianggap tidak betul sudah berlaku dan tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab untuk membetulkannya.


3. Demonstrasi begini tidak memecahbelahkan rakyat kerana ianya mempunyai tujuan yang jelas dan boleh diselesaikan atau dijelaskan apa-apa kekeliruan atau salah faham yang ada dalam fikiran mereka yang berdemonstrasi.


4. Demonstrasi yang lebih besar juga telah diadakan untuk menunjukkan sokongan rakyat Malaysia kepada rakyat sebuah negara lain yang didapati dianiaya dan dizalimi seperti demonstrasi menentang kekejaman pihak Zionis Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat, ke atas rakyat Palestin.


5. Atau pun, di satu masa dulu, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berdemonstrasi mengecam kekejaman rejim tentera di Thailand ke atas Ummat Islam di selatan negara itu.


6. Demonstrasi begini juga tidak memecahbelahkan rakyat kerana ianya menyeru rakyat supaya bersatu menyatakan perasaan dan sokongan mereka untuk golongan yang tertindas di negara lain.
PENGALAMAN BERDEMONSTRASI DI LONDON

7. Saya sendiri pernah terlibat dalam barisan pimpinan dua demonstrasi besar di kota London pada tahun 1969 apabila penganjur demonstrasi berarak dari Marble Arch ke Trafalgar Square. Demonstrasi awal dianjurkan untuk menyatakan bantahan terhadap pihak Zionis Israel kerana mengebom Masjid Al Aqsa dan demonstrasi kedua bertujuan menyeru Amerika Syarikat supaya menghentikan perang mereka ke atas Vietnam. Satu juta orang telah keluar menyokong demonstrasi pertama dan tiga juta telah keluar menyokong demonstrasi kedua.


8. Dato' Wan Ismail adalah antara yang bercakap di atas pentas, di depan patung singa di Trafalgar Square, dalam demonstrasi pertama sehingga beliau menarik perhatian Sheikh Said Ramadhan yang menonton demonstrasi itu di dalam televisyen saluran BBC. Beliau, yang waktu itu tinggal di Switzerland, memegang jawatan Setiausaha Agung Pergerakan Ikhwanul Muslim yang diharamkan di Mesir. Kekaguman Sheikh Said Ramadhanlah yang berakhir dengan Dato' Wan Ismail menjadi adik iparnya apabila Dato' Wan Ismail dinikahkan dengan Datin Dr. Fatma yang kini menjadi pendakwah terkenal di Malaysia.


9. Dato' Wan Ismail telah kemudiannya dipilih oleh Dato' Asri untuk menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan. Dato' Asri Muda pernah menjadi Presiden PAS tetapi memilih untuk menjadi ahli UMNO sebelum beliau meninggal dunia. Dato' Wan Ismail juga kini menjadi ahli UMNO.


10. Ini adalah cerita sampingan yang mungkin belum tercatit di mana-mana.


11. Banyak contoh demonstrasi yang telah berlaku yang kita semua ketahui mengenainya.


DEMONSTRASI MENUNTUT KEMERDEKAAN


12. Pada 16 Mac, 2010 saya telah bertemu Teungku Muhammad Nazar, Wakil Gubenor Aceh, yang telah menganjurkan satu demonstrasi yang besar di Banda Aceh pada 8 November, 1999 yang diberi nama SU-MPR (Sidang Umum - Masyarakat Pejuang Referendum). Lebih sejuta orang dari rakyat Aceh yang hanya berjumlah sekitar 4 juta, hadir menyokong SU-MPR ini. Waktu itu Teungku Muhammad Nazar ialah pemimpin SIRA (Sentral Informasi Referendum Aceh).


13. Tujuan Teungku Muhammad Nazar menganjurkan demonstrasi itu ialah untuk menuntut diadakan referendum bagi menentukan samada rakyat Aceh mahukan kemerdekaan. Dengan adanya referendum maka peperangan antara GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dan TNI (Tentera Nasional Indonesia) dapat dihentikan kerana rakyat Aceh yang menentukan samada mahu merdeka secara aman atau meneruskan peperangan.


14. Demonstrasi ini juga bertujuan menyatupadukan rakyat dan bukan memecahbelahkan rakyat


15. Demonstrasi ini telah dihentikan kemudiannya kerana referendum tidak perlu lagi bersebabkan GAM dan Kerajaan Indonesia telah berdamai di bawah perjanjian Helsinki pada 15hb Ogos, 2005.


16. Teungku Muhammad Nazar memberitahu saya bahawa ada wakil dari Amerika Syarikat yang menyatakan padanya bahawa bila demonstrasi diteruskan lebih lama masyarakat antarabangsa pasti akan campur tangan dan akan memaksa Kerajaan Indonesia untuk mengadakan referandum untuk memerdekakan Aceh. Nazar tidak percaya dengan pendapat ini.


DEMONSTRASI DI MESIR DAN TUNISIA


17. Ternyata sekarang ini dengan adanya demonstrasi yang berterusan di Mesir dan Tunisia kedua negara ini sudah dapat menggulingkan kerajaannya. Sudan sudah berpecah dan sudah tentu di Syria dan Yemen juga ada sumber inspirasi dari luar sebagaimana di Libya kita lihat Nato membantu penentang Presiden Gaddafi dengan angkatan bersenjata. Sudah tentu, melihat perkembangan di negara-negara Arab, Teungku Muhammad Nazar berasa benar mengenai apa yang disarankan oleh wakil dari Amerika itu.


18. Walau bagaimana pun Teungku Muhammad Nazar bersyukur dengan keputusannya untuk menerima rancangan perdamaian.


CARA MALAYSIA MEMILIH KERAJAAN


19. Tetapi di Malaysia kerajaan pusat dan negeri dipilih oleh rakyat di dalam Pilihanraya Umum. Dato' Seri Najib bin Tun Abd. Razak belum pun memimpin sendiri satu Pilihanraya Umum kerana pimpinan beliau sekarang ini adalah hasil Pilihanraya Umum tahun 2008 yang dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tun Dr. Mahathir telah bersara dari jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang demonstrasi. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dipendekkan khidmatnya apabila ternampak penyelewengan dan ketidakmampuan dalam pentadbirannya. Semuanya tanpa demonstrasi.


20. Jelas sekali Suruhanjaya Pilihanraya telah difitnah, dan namanya hendak dicemar, sebagai institusi yang diramal akan melakukan penyelewengan dalam Pilihanraya Umum ke 13.


21. Penganjur demonstrasi ingin menghukum sebelum mana-mana pihak membuat dosa.


22. Sepatutnya Kerajaan Barisan Nasional yang merasa tidak puas hati dengan Suruhanjaya Pilihanraya apabila kalah beberapa negeri, dalam Pilihanraya Umum 2008, kepada Pakatan Rakyat sebagaimana pembangkang selalu menyalahkan sistem pemilihan apabila kalah.


23. Tetapi Barisan Nasional menyedari kekalahan itu harus diterima kerana Suruhanjaya Pilihanraya telah menjalankan tugasnya dengan adil dan profesyenal.


24. Adalah tidak salah bagi sesiapa sahaja yang berpolitik untuk bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan bagi mana-mana parti politik untuk bercita-cita menggulingkan kerajaan yang memerintah.


25. Pakatan Rakyat telah menang banyak 82 kerusi Parlimen ( PKR - 31 kerusi; DAP - 28 kerusi; PAS - 23 kerusi ) dan menguasai 4 Dewan Undangan Negeri, dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008. Jika prestasi mereka memberansangkan, jika pemimpin UMNO pusat terus lupa kepada UMNO Bahagian dan Cawangan, dan jika keseluruhan pemimpin dan ahli UMNO di peringkat Bahagian dan Cawangan, dan rakyat jelata, tidak serik dengan perangai, telatah dan sikap pihak pembangkang, sudah tentu Pakatan Rakyat akan bertambah kuat dalam Pilihanraya Umum ke 13.


PAKATAN RAKYAT SETELAH PILIHANRAYA UMUM KE 12


26. Malangnya bagi Pakatan Rakyat parti-parti komponennya, kecuali DAP, berada dalam keadaan bercelaru. Kesemua parti dalam Pakatan Rakyat mengamalkan nepotisma. Anak bersiap untuk ganti emak, yang dikasihi bersiap mengganti yang mengasihi, anak-anak bersedia di sayap parti untuk mengganti bapa. Prestasi semua kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat agak lembab dan jauh dari memberansangkan.


27. Banyak pemimpin dan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat telah meninggalkan parti dan bersuara dengan lantang mengenai ke'ajaiban dan ke'aiban parti dan pemimpin mereka.


PAS MENGORBANKAN PERJUANGAN ASALNYA


28. PAS pula sudah merobah halatuju dari mewujudkan 'Negara Islam', dengan hukum hududnya, kepada 'negara kebajikan' yang mengampunkan semua dosa kawan-kawannya kerana matlamatnya sama, iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.


29. PAS takut jika mereka tidak buangkan matlamat mewujudkan negaraa Islam mereka tidak akan mendapat sokongan kafir khorbi dalam Pilihanraya Umum ke 13.


30. PAS kini berpegang kepada prinsip baru yang dipinjam dari kalangan bukan Islam, dari Barat, di mana 'matlamat menghalalkan cara'.


31. Mereka lupa bahawa kejayaan satu-satu matlamat itu ditentukan oleh Allah s.w.t., sementara kita akan dihukum oleh Allah s.w.t. jika dalam perjalanan menuju ke matlamat itu kita halalkan semua dosa.


32. Ibn Ya'acob, atau CGM, dari Langkawi pernah berkata dalam Perhimpunan Agong UMNO:

               Niat baik, cara tak reti,
               Pahala dapat, kerja tak jadi;
               Niat jahat, cara pandai,
               Dosa dapat, matlamat tercapai.
               Niat jahat, cara tak reti,
               Dosa dapat, kerja tak jadi;
               Yang perlu ialah:
               Niat baik, cara reti,
               Pahala dapat kerja jadi.

DULU DAN SEKARANG


33. Walau pun sebelum parti-parti komponen BN menyusun semula kepimpinan mereka Barisan Nasional telah kalah dalam 2 pilihanraya kecil, Pakatan rakyat pula telah kalah dalam semua pilihanraya kecil akhir-akhir ini. Pakatan Rakyat telah kalah teruk dalam pilihanraya untuk memilih wakil bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.


34. Di peringkat antarabangsa pula Dato' Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja sudah diterima, sekarang ini, oleh pemimpin-pemimpin di Asia, Africa, Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat malah pelabur-pelabur asing pun menerima mereka. Pelabur asing sudah mula datang kembali setelah mereka mendingin di zaman Perdana Menteri sebelum ini.


35. Kalau dahulu kita difahamkan tokoh-tokoh Yahudi di Barat sangat terpengaruh dengan Ketua Pakatan Rakyat, kini, baik dalam kerajaan, atau dalam NGO dan sektor korporat di Eropah dan Amerika, kebanyakan mereka sudah bertukar selera dan mengiktiraf kebaikan dan kebijaksanaan pemimpin Malaysia sekarang ini.


36. Benteng Ketua Pakatan Rakyat di luar negara sudah roboh.


KALAU KETAGIH UNTUK BERDEMONSTRASI


37. Banyak isu lain yang boleh digunakan oleh parti komponen Pakatan Rakyat jika mereka ketagih untuk berdemonstrasi.


38. Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat, umpamanya, boleh mengadakan demonstrasi untuk menuntut supaya Timbalan Presiden PAS minta ma'af dan bertaubat untuk tidak lagi menggelarkan ketua mereka sebagai Al Juburi. Semua pita rakaman dan video mengenai ucapan ini hendaklah diminta balik supaya tidak disimpan oleh ahli-ahli PAS


39. Satu pesta boleh dianjurkan untuk melihat upacara pembakaran pita rakaman dan video berkenaan.


APA AKAN BERLAKU


40. Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat juga boleh berdemonstrasi untuk menuntut supaya penasihat mereka tidak campur tangan dalam pemilihan pemimpin parti itu. Seterusnya pemilihan dalam PKR hendaklah dilakukan dengan telus dan 'bersih', jangan seperti pemilihan yang kotor yang diamalkan PKR baru-baru ini.


41. Seterusnya ahli-ahli PAS juga boleh mengadakan demonstrasi untuk mendesak mahkamah supaya mempercepatkan tindakan mengadili kes-kes yang melibatkan zina dan liwat supaya budaya zina dan liwat dapat dikurangkan, untuk dihapuskan, demi menjamin 'kebajikan' rakyat di masa hadapan.


42. Ahli-ahli PAS juga boleh berdemonstrasi untuk mendesak supaya tokoh ilmuan ugama, yang digelarkan 'ulama' oleh PAS, tidak campur tangan dalam pemilihan barisan pemimpin PAS. Tokoh ilmuan ugama PAS yang dalam usahanya untuk menjatuhkan ilmuan ugama Nasaruddin Md. Isa, yang dikatakan pro-perpaduan Melayu dan sanggup bekerjasama dengan UMNO dan bukan dengan DAP yang dipimpin oleh kafir khorbi, telah meletakkan seorang ilmuan ugama yang lain dengan harapan menang, dan dapat mengalahkan Nasaruddin, sebaliknya yang menang ialah yang tidak dikehendaki oleh kalangan semua ilmuan ugama.


43. Semua demonstrasi begini tidak diadakan. Kalau diadakan pun hanya membuang masa sahaja jika 'matlamat' menghalalkan cara'.


OPERASI LALANG


44. Saya pernah terlibat untuk menganjurkan satu rapat raksasa di Stadium Merdeka untuk menunjukkan betapa orang-orang Melayu yang menjadi ahli UMNO bersatu, dan tidak berpecah, dalam perjuangan UMNO.


45. Rapat raksasa itu difikirkan perlu kerana ada kejadian di mana pihak kehakiman telah bercadang mengambil alih kuasa Menteri Dalam Negeri untuk memberi kerakyatan kepada 50 warga negara asing yang permohonannya telah ditolak oleh Kerajaan. Undang-undang negara menyatakan bahawa Menteri Dalam Negeri boleh menolak sebarang permohonan untuk menjadi rakyat Malaysia tanpa memberi sebab. Jika pihak kehakiman boleh meluluskan permohonan untuk menjadi rakyat maka ratusan ribu bukan warga negara asing boleh diberi taraf kerakyatan oleh pihak kehakiman atas alasan 'natural justice'.


46. Setelah diselidik atas sebabnya kejadian ini berlaku maka kita mendapat maklum bahawa ada individu di pihak kehakiman berkenaan, di waktu di bawah pengaruh minuman keras, di Kelab Selangor, melaungkan bahawa kerajaan sudah lemah, dengan perpecahan di dalam UMNO, dan mereka boleh berbuat apa saja termasuk mengambil alih kuasa memberi kerakyatan.


47. Pada mulanya rapat raksasa ini difikiran perlu hanya 30,000 peserta sahaja dari kalangan ahli UMNO tetapi apabila Tun Dr. Mahathir mengetahui UMNO mampu bawa lebih dari 30,000 maka saya telah mengetuai kempen yang akhirnya menjanjikan sekitar 1 juta ahli UMNO akan hadir melimpah di Stadium Merdeka pada 1 November, 1987.


48. Pada waktu itu pihak polis telah mendapat maklum balas bahawa perjumpaan raksasa itu, walau pun terbatas kepada ahli UMNO sahaja akan menyebabkan huru hara kerana ada pihak memikirkan rapat raksasa itu boleh membuka peluang untuk membuat huru-hara yang akhirnya, bila Melayu dah naik minyak, maka perkelahian antara kaum akan berlaku yang mungkin melibatkan pertumpahan darah seperti yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei, 1969.


49. Walau pun UMNO, yang menerajui kerajaan Barisan Nasional, yang menajakan rapat raksasa itu, dan saya memberi jaminan tidak akan berlaku kekacauan, tetapi, berasaskan maklum balas yang ada pada polis maka satu penangkapan seramai lebih 100 orang telah dibuat sehingga rapat raksasa itu terbatal.


50. Tindakan inilah yang dinamakan 'Operasi Lalang'.


51. Banyak antara mereka yang tertangkap di bawah Akta ISA dalam 'Operasi Lalang' kini berada dalam Parlimen termasuk pemimpin Perkasa Dato' Ibrahim Ali.


52. Bezanya antara Dato' Ibrahim Ali dengan yang lain-lain yang tertangkap di bawah 'Operasi Lalang' ialah Dato' Ibrahim Ali terus menyokong kewujudan ISA sementara ahli Parlimen yang lain menentang ISA dan menghidupkan isu itu secara terus menerus. Mungkin kerana mereka ingin berdemonstrasi lagi tetapi takut ditangkap di bawah Akta ISA.


RAKYAT WAJIB MENYOKONG POLIS UNTUK MENJAMIN KEAMANAN DALAM NEGARA


53. Tun Dr. Mahathir menyatakan kepada saya bahawa dalam soal keselamatan negara pihak polis lebih mengetahui dari kita dan apabila jadi huru-hara merekalah nanti yang akan susah.


DEMONSTRASI JALANAN YANG ANEH


54. Rancangan demonstrasi jalanan pada 9 Julai akan datang agak aneh kerana Dato' Ambiga tidak mahu meminta izin polis kerana, katanya, polis tidak akan memberi izin. Strategi ini memudahkan beliau untuk melepaskan tangan. Begitu juga dengan bekas-bekas tahanan yang lain yang kini berada dalam Pakatan Rakyat.


55. Yang lebih aneh lagi ialah pihak penganjur demokrasi telah memilih yang tidak bersalah sebagai sasaran mereka. Nampaknya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sudah merasakan mereka akan kalah teruk dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang.


PUTAR BELIT MEDIA ASING YANG ANTI MALAYSIA


56. Samaada demonstrasi jalanan pada 9 Julai ini jadi atau tidak, besar atau kecil, mereka sudah mencatitkan dalam media seluruh dunia bahawa kekalahan mereka nanti ialah disebabkan Suruhanjaya Pilihanraya tidak adil dan telah melakukan penyelewengan sehingga mereka kalah.


57. Media asing yang anti Malaysia akan memutarbelitkan berita demonstrasi itu nanti seperti yang tercatit dalam buku otobiografi bapa saudara saya Dato' Ibrahim Hussein, seorang pelukis terkenal. Otobiografi ini telah diterbitkan oleh isterinya Datin Sim setelah beliau meninggal dunia pada tahun 2009. Beginilah petikannya:


'For most of the time I was in the United States I didn't think much about home. In fact I didn't even miss home. I was young and excited about everything happening about me.


That changed with the occurence of May 13th, 1969. I had watched the episode unfold on television and my thoughts raced home. I becaame very curious since, at that time, there was nothing else on American television but the Vietnam War.


When this tragedy happened in our country I was watching the special news - breaking news - and I saw that Kuala Lumpur was burning. But it was strange because it was not Kuala Lumpur.


To the American audience it did not matter which place it was. To me, this was not right and it seemed that they have edited the burning scenes on purpose.


I could identify the surroundings in the news straight away but when I looked closely they had included some scenes of the Vietnam War with the original images.


It had an effect on me because I then became more interested in politics and what was happening in America at the time. I remember after May 13th, I would often go to our Mission in New York to get news from home but there would be none.


I felt completely cut off. Our country appeared very far and remote - a country without any news. ...'


59. Begitulah jenis gambaran yang akan diberi di luar negara ke atas negara kita jika demonstrasi berlaku. Bukan ' a country without any news ... ' seperti kata Allahyarham Ib tetapi, saya yakin media asing akan memaparkan 'very, very, very bad news.'


60. Jika penganjur demonstrasi jalanan ini boleh menyalahkan Suruhanjaya Pilihanraya atas kekalahan yang belum pun berlaku saya juga boleh meramalkan akan ada satu lagi demonstrasi jalanan yang lebih besar selepas Pilihanraya Umum ke 13 apabila pengumuman dibuat bahawa Pakatan Rakyat sudah kalah teruk.


61. Apabila demonstrasi jalanan dibuat selepas Pakatan Rakyat kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 matlamatnya sudah tentu untuk mencapai kejayaan yang telah dicapai oleh mereka yang sudah berdemonstrasi di Mesir dan Tunisia.


AKTA ISA SANGAT RELEVAN


62. Program demonstrasi jalanan yang dirancangkan untuk diadakan pada 9 Julai ini jelas menunjukkan ISA tetap relevan bagi negara Malaysia yang berbilang kaum.


63. Setelah Peristiwa 13 Mei, 1969 berlaku kerana keengganan pemimpin negara di waktu itu untuk menggunakan ISA dan darurat pula tidak dapat diisytiharkan kecuali setelah berlaku keadaan tumpah darah; dan setelah darurat telah diisytiharkan di Kelantan kerana pemimpin negara di waktu itu tidak ingin menunggu sampai pertumpahan darah berlaku di bawah pimpinannya, maka Perlembagaan telah dipinda, di waktu Tun Mohd. Ghazali Shafie menjadi Menteri Dalam Negeri dan saya menjadi Timbalannya, untuk membolehkaan, bukan saja menggunakan ISA untuk menangkap semua kaki pengacau sebelum kekacauan berlaku, tetapi mengisytiharkan darurat apabila KDYMM Yang Di Pertuan Agong memikirkan huru-hara dan pertumpahan darah akan berlaku (dan bukan setelah berlaku) di dalam negara.


64. Bagi semua rakyat yang inginkan keamanan, supaya kita dapat terus mencari ilmu dan rezeki untuk hidup bahagia dalam aman dan iman, mereka hendaklah menyokong sebarang usaha untuk mengekalkan keamanan itu.


65. Jika berlaku huru-hara bukan undang-undang yang patut disalahkan tetapi kedayusan kita untuk menggunakan undang-undang itu.


66. Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan hendaklah menyokong tindakan polis dan tentera, jika perlu, untuk masa depan kita dan anak cucu kita.


67. Sekian, Wabillaahi Taufik Wassalaamu'alaikum.
 
Sumber http://sanusijunid.blogspot.com/2011/07/bersih-yang-boleh-mengotorkan.html

Antara Hak Asasi dan Ketenteraman Awam

A Kadir Jasin
sumber: http://kadirjasin.blogspot.com/2011/07/antara-hak-asasi-dan-ketenteraman-awam.html


BEBERAPA orang pembahas dan kenalan kedai kopi bertanya mengapa saya tidak menulis mengenai cadangan tunjuk perasaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Sebenarnya, saya sudah menulis mengenainya beberapa bulan lalu dalam majalah ekonomi
Malaysian Business. Pertama, saya berkata, adalah kesilapan bagi kerajaan dan Barisan Nasional bercakap mengenai pilihan raya umum (PRU) terlalu awal.

Kedua saya berkata, saya tidak sedikit pun tidak ragu-ragu Pakatan Rakyat dan barisan bersekutunya akan mengambil kesempatan daripada khabar angin pilihan raya itu untuk mengadakan demonstrasi jalanan.


Saya berkata lagi, pilihan raya umum tidak perlu diadakan sehingga 2013 dan membuat spekulasi mengenai kemungkinan ia diadakan lebih awal akan menyebabkan tunjuk perasaan jalanan seperti yang berlaku pada 2007 berulang lagi.


Walaupun ramai antara kita mudah lupa – mungkin kerana menderita sindrom awalan Alzheimer - tentu tidak semua sudah lupa tunjuk perasaan haram Bersih dan protes haram pertubuhan haram
Hindu Rights Ation Front (Hindraf) pada tahun 2007.

Kedua-dua protes yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan awam itu diadakan sebaik sahaja Pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi membuka mulut bercakap mengenai PRU.


Pakatan Sudah Merasa Darah


Dalam rencana
Malaysian Business itu, saya juga berkata pembangkang dan barisan bersatunya “sudah merasa keenakan darah” dan akan mengulanginya kerana protes 2007 membantu mereka dalam PRU 2008.

Jadi, manakala kerajaan dan BN seronok bercakap mengenai kemungkinan PRU awal kerana hanya mereka tahu tarikh sebenar bila ia akan diadakan, PR dan barisan bersatunya sudah bersedia untuk bertindak. Maka tidak hairanlah PR dan parti-parti komponennya teguh di belakang demonstrasi Bersih.


Haram atau halal tidak menjadi masalah. Kalau haram, penganjur dan pesertanya mungkin dikenakan tindakan. Itulah yang dinanti-nanti kerana ia memberi peluang kepada mereka menuduh kerajaan dan BN sebagai tidak menghormati Perlembagaan, tidak demokratik, tidak menghormati hak asasi dan takut kepada reaksi massa.


Itulah yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Beliau sudah pun membuat tuduhan terbuka bahawa pemimpin BN yang “korup dan jahat” (
corrupt and wicked) akan melakukan apa saja untuk terus berkuasa – tidak mengapa jika korupsi moral dan “wickedness” juga berlaku di pihak pembangkang.

Kerajaan dan BN mungkin berasa lega dengan kutukan massa terhadap penganjur tunjuk perasaan seperti yang dicanangkan oleh media massa arus perdana dan blog-blog partisan prokerajaan, pro-BN dan pro-Umno. Tetapi kerajaan dan BN tidak akan menjadi lebih kuat hanya dengan memburukkan pembangkang dan penunjuk perasaan.


Ya, tindakan mereka akan mengganggu ketenteraman, keselesaan dan keselamatan awam. Tetapi kerajaan dan BN juga wajib melihat ke dalam diri mereka sendiri.


Siapakah yang membuka pintu kuala atas nama keterbukaan, liberalisasi, globalisasi dan pelbagai jargon lagi kalau bukan kerajaan BN pada era Abdullah?


Siapakah yang menyebabkan begitu ramai orang Melayu, termasuk ahli dan penyokong Umno, meluat, menyampah dan benci kepada Umno dan BN? Orang Melayu marah kerana berasa kepentingan mereka diabaikan manakala beberapa kerat “lembu suci” diberikan keutamaan dan perlindungan.


Orang bukan Melayu pula marah kerana berasa janji-janji kepada mereka tidak ditunaikan.


Abdullah membebankan Umno, BN dan kerajaan dengan beberapa kerat suku sakat, sahabat dan budak-budak Tingkat Empat. Soalnya, apakah Umno, BN dan kerajaan pasca-Abdullah bersih daripada ciri-ciri yang memualkan ini?


Siapa Yang Menonjolkan Ambiga?


Siapakah Ambiga Sreeneasan ini kalau bukan “ciptaan” era Abdullah kerana kononnya dia ini sederhana dan bersimpati dengan kerajaan? Dia ditimang ibarat minyak yang penuh oleh budak-budak Abdullah ketika dia menjadi Presiden Majlis Peguam.


Jadi, jangan marah kepada Ambiga jika hari ini dia begitu berkuasa, berpengaruh, dicintai pembangkang dan diyakini oleh Melayu, Cina dan India, haji dan lebai.


Benar PR juga mempunyai masalah. Kepemimpinannya juga sedang dilanda pelbagai kemelut moral dan intelektual, korup dan “
wicked”.

Tetapi, adakah kita, sebagai pengundi dan pembayar cukai (dan mungkin juga patriot), sedia menerima situasi di mana kita terpaksa memilih yang terbaik daripada kalangan yang buruk untuk memimpin dan memerintah kita?


Saya bernasib buruk melihat dan mendengar kesan dahsyat peristiwa 13 Mei, 1969 (saya mula bekerja di Kuala Lumpur sebulan selepasnya). Jadi saya bernasib baik dapat belajar daripada peristiwa itu. Maka, biar seoptimistik mana pun saya mengenai Malaysia pasca-13 Mei, namun tertanam di dalam “
subconscious” saya kebimbangan mengenai kemungkinan peristiwa seperti itu berulang.

Kalau orang lain tidak takut, itu hak mereka. Mungkin mereka berani. Mungkin mereka kebal – tikam tak mati, tembak tak lut. Atau mungkin juga kerana mereka buta sejarah atau seronok datang percuma ke ibu negara.


Saya katut bila timbul cakap-cakap ada pihak lain bercadang mengadakan tunjuk perasaan balas bagi menjawab tunjuk perasaan PR/Bersih.


Ini tidak mustahil. BN, khasnya Umno, tentu sedar jika ia tidak bertindak balas, ia akan rugi. Ia akan dianggap pengecut oleh penyokongnya sendiri. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mungkin telah menyedari hal ini.


Dan jika Perkasa turut sama, keadaan akan menjadi lebih kacau bagi Umno dan parti-parti Melayu/Islam dalam PR. Mereka mungkin hilang lebih banyak sokongan dan keyakinan orang Melayu.


Tidak mengapa kalau hendak mengutuk dan memperkecilkan Ibrahim Ali, tetapi cuba tanya diri sendiri mengapa begitu ramai orang Melayu, termasuk cendekiawan dan ahli profesional, menyokong beliau dan pergerakannya?


Awas Kesan Aksi dan Reaksi


Tindakan dan tindak balas seperti inilah yang membawa kepada ketegangan masa lampau. Peristiwa pada 13 Mei 1969 bermula dengan perarakan kemenangan DAP yang dibalas oleh perarakan kemenangan Umno.


Operasi Lalang 1987 bermula dengan agenda pendidikan Cina yang dijuarai Pemuda MCA dan dilarikan oleh DAP menyebabkan orang Melayu dan Pemuda Umno bertindak balas.


Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tentu belum lupa kerana beliaulah yang mengepalai protes balas Melayu di Kampung Baru yang berkesudahan dengan ramai penyokongnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun beliau sendiri terselamat.


Ada orang berkata, Malaysia sudah berubah dan lebih toleransi. Malah mereka begitu yakin peristiwa seperti 13 Mei, 1969 tidak akan berulang dan sesiapa yang bercakap mengenainya berhasrat menghasut dan menakut-nakutkan.


Tetapi saya berkata, lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian hari. Saya tidak boleh dan tidak akan menghalang sesiapa pun mengadakan perhimpunan aman (
peaceful assembly) kerana ia dijamin oleh perlembagaan, tetapi saya juga tidak boleh dan tidak akan menghalang polis daripada menjalankan tugas seperti yang mereka fikirkan wajar.

Kebebasan Tidak Pernah Mutlak


Kalau kita memahami Perlembagaan dan berpegang kepada prinsip demokrasi, kita pasti akui bahawa menangani ancaman demonstrasi Bersih atau mana-mana juga tunjuk perasaan adalah lebih rumit daripada yang digambarkan oleh media massa kedua-dua belah pihak.


Pertama, Perlembagaan menjamin hak rakyat jelata berhimpun secara aman. Perkara 10(1) memberikan hak bersuara, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan. Tetapi hak itu tidaklah mutlak. Perkara10 (2), (3) dan (4), dengan jelas membenarkan Parlimen mengenakan sekatan demi keselamatan negara, perhubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam, moral, melindungi keistimewaan Parlimen, menghalang penghinaan mahkamah, mencegah fitnah dan hasutan.


Kedua, Perlembagaan memberi hak kepada polis menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Polis berkewajipan melindungi orang ramai. Dan orang ramai itu termasuklah penunjuk perasaan sah dan aman.


Hari ini, antara frasa yang kerap dimanterakan oleh kedua-dua belah pihak – BN dan PR – ialah “rakyat sudah matang”. Tetapi dalam jargon partisan mereka, rakyat hanya matang jika menyokong dan memangkah mereka.


Tetapi, dalam menghadapi dan menangani demonstrasi partisan khasnya dan ketidakpatuhan sivil amnya, kedua-dua belah pihak hendaklah berhati-hati agar rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah. Tidak semua matlamat unggul dan tidak semua cara halal. Matlamat tidak semestinya menghalalkan cara. Dan tidak semua manusia waras, sabar dan cintakan ketenteraman.

.: Menjejak Matahari

.: Menjejak Matahari: "Kenapa Kita Takut Hadapi Realiti SUDAH menjadi budaya dan pembawaan bangsa kita - Melayu tidak berani untuk berterus terang dan menghadapi..."

26/06/2011

Perbahasan Belanjawan Tambahan Pertama 2011 Oleh Ketua Pembangkang


 PENDAHULUAN

1. Belanjawan Tambahan ini mewakili suatu peningkatan sejumlah 8.2% daripada belanjawan asal 2011 sebanyak RM162.8 billion. Perbelanjaan tambahan RM13.2 billion ini digunakan selepas hanya tiga bulan pusingan belanjawan tahun ini selesai. Tidak mustahil menjelang akhir tahun ini peningkatan mungkin mencecah 15%. Ini menimbulkan suatu tanda tanya berhubung keupayaan kerajaan untuk merangka belanjawan negara, yakni salah satu tugas asas mengurus ekonomi negara selain memunculkan persoalan terhadap keupayaan mereka untuk membuat unjuran, penjelasan atau bertanggungjawab dan mengurus perbelanjaan yang telah diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini.
2. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan wakil yang dipilih mereka manakala urusan berkaitan perbelanjaan wang rakyat itu mestilah diurus serta ditadbir dengan cekap dan baik kerana itulah ciri ciri sebuah kerajaan yang berwibawa serta demokratik.
3. Hutang negara kian meningkat(peratusan hutang negara dari Keluaran Dalam Negara Kasar ialah pada kadar 54%), Malaysia tidak boleh mengambil risiko kehilangan keyakinan dan kepercayaan para pelabur, terutamanya yang melabur dalam bon kerajaan.
4. Saya khuatir kegagalan untuk membuat suatu unjuran yang tepat, tidak berupaya untuk menjelaskan perbelanjaan belanjawan dan lemah mengurus ekonomi sekiranya dibiarkan akan mengheret negara berhadapan dengan keadaan sukar. Kita perlu mengambil iktibar dari kegagalan negara akibat kecuaian pengurusan malah juga memutarbelitkan angka petunjuk ekonomi seperti mana berlaku di Greece.
5. Peningkatan perbelanjaan belanjawan berlaku akibat dari tindak balas pergerakan harga komoditi yang buruk. Namun yang dimusykilkan adalah peningkatan sebanyak 5% emolumen sedangkan ianya sepatutnya mudah untuk diunjurkan. Apakah muslihat meninggalkan peruntukan emolumen yang wajib dimasukkan.
6. Sejumlah RM1.009 bilion diperuntukkan bagi menampung kekurangan emolumen pada tahun 2011 untuk Pegawai Perubatan pelbagai gred dan skim. Begitu juga RM1.3 bilion bagi menampung pembayaran emolumen kakitangan awam di bawah Kementerian Pelajaran yang meningkat berpunca daripada pengisian jawatan, pembayaran gaji ’time-based’ untuk guru serta kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
SUBSIDI
7. Belanjawan tambahan ini melibatkan pembayaran subsidi barangan petroleum sebanyak RM5.6 billion dan RM150 juta untuk pembayaran subsidi bagi pengecualian bil elektrik bulanan bagi pengguna RM20 dan ke bawah untuk 2011. Jumlah belanjawan tambahan untuk subsidi kepada rakyat ialah RM5.75 billion.
8. Saya sentuh mengenai subsidi ini kerana menurut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, daripada Januari hingga Oktober 2011, subsidi untuk petrol, diesel dan Liquid Petroleum Gas, dianggarkan RM7.4 billion. Subsidi untuk gula pula dianggarkan RM800 juta setahun.
9. Tetapi subsidi gas untuk IPP, dianggarkan sehingga RM20 billion untuk 2010 dan RM22 billion untuk 2011. Sekiranya subsidi untuk IPP ini dikurangkan atau dihapuskan, sudah tentu belanjawan tambahan RM13 billion ini tidak diperlukan sama sekali.
10. Manakala diakui kegelisahan rakyat dan kontroversi bersabit isu IPP. Makasewajarnya didedahkan kepada rakyat seluruh fakta, kaedah, perjanjian agar dinilai secara telus dan terbuka
11. TNB yang merupakan PEMBELI terpaksa menghenti operasi mereka untuk memberi laluan kepada PEMBEKAL iaitu IPP menjana letrik pada kadar kapasiti penuh termasuk kadar rezab kelebihan 40% yang dikira tidak munasabah dan membebankan TNB serta rakyat. Ini bermakna TNB terpaksa menanggong kerugian menutup operasi atau mengurang penjanaan letrik yang jauh lebih murah dan terpaksa membeli daripada IPP yang jauh lebih mahal. Kerugian yang ditanggong oleh TNB ini juga merupakan subsidi yang dinikmati oleh IPP.
12. Saya pohon kerajaan menngguhkan kenaikkan tarif letrik dan mengkaji segera perjanjian konsesi IPP yang bukan sahaja merugikan TNB dan kerajaan tetapi juga rakyat keseluruhannya. Pendirian kerajaan untuk mempertahankna kepentingan syarikat2 konsesi ini turut disanggah oleh Bekas KSU Perbendaharaan, Bekas Ketua Eksekutif Petronas dan bekas Ketua Eksekutif TNB
13. Former Tenaga Nasional Berhad (TNB) chief executive Tan Sri Ani Arope is blaming the Economic Planning Unit (EPU) for rising electricity tariffs, saying the powerful agency forced the national power company to sign lopsided purchase deals nearly 20 years ago.
Ani said EPU, which he sarcastically dubbed “Economic Plundering Unit”, forced Tenaga to buy electricity from an independent power producer (IPP), believed to be Genting Sanyen, at 14 sen per kilowatt hour (kWh) despite an existing offer of 12 sen/kWh then; other IPPs then were charging 16 sen/kWh.
Genting Sanyen became the first IPP to transfer 15 million watts (MW) in electricity to TNB’s national grid on April 15 and is scheduled to complete a RM1.8 billion upgrade on its existing gas-fired plant with a capacity for 720 MW by June next year.
“You don’t need to go to a fanciful business school to figure out why we need a tariff hike — just revisit the terms given to some IPPs,” Ani, who helmed the utility company between 1990 and 1996, said in his last Facebook posting three days ago.
“With the take-or-pay clause and with the 40 per cent excess reserve that we have today, one only has to produce half of one’s capacity and be paid 80 per cent of the agreed capacity. Well done the then-EPU — Economic Plundering Unit,” he added, mocking the economic unit under the Prime Minister’s Department.
14. Kenaikan tarif letrik bukan sahaja melibatkan kenaikan bil penggunaan tetapi juga melibatkan kenaikan kos pengeluaran barangan pengguna. Begitu juga dengan kenaikan harga diesel akibat penarikan subsidi baru-baru ini. Keduanya merupakan nadi pengeluaran dan pengedaran barangan pengguna. Kenaikan kedua kos ini akan menaikkan harga barangan pengguna yang membebankan rakyat dan mengurangkan “competitiveness” barangan keluaran Negara.
15. Mengikut laporan UNDP terbaru harga barangan pengguna di Malaysia sudah meningkat lebih daripada 30% tetapi gaji masih ditahap lama atau meningkat tak sampai 10% . Kerajaan cuba manipulasi kadar inflasi yang rendah dengan mengawal harga barangan “basket goods” atau “bakul barangan” yang dibuat kiraan untuk kadar inflasi. Hakikatnya banyak barangan “basket goods” tidak relevan lagi dan banyak barangan kegunaan harian yang tidak termasuk dalam bakul barangan dan perkhidmatan melambung begitu tinggi.
16. Kerajaan boleh mengekalkan harga petrol dan harga gula sekiranya subsidi untuk korporat baik atas nama subsidi, tax holiday, pampasan, “cost overrun”, “variation order” yang berlipat kali ganda dari kontrak asal dan sebagainya diimbangkan dan diagih untuk barangan pengguna.
1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD
17. Saya ingin menyentuh berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan telah mengeluarkan bon berjumlah RM5 billion dan akan mengeluarkan RM10 billion lagi hingga tahun 2013, menjadikan keseluruhan bon yang akan dikeluarkan bernilai RM15 billion.
18. Perdana Menteri telah mengumumkan 1MDB mencatat keuntungan RM425 juta pada tahun pertama operasinya yang berakhir 31 Mac 2010 tanpa memberi sebarang butiran bagaimana keuntungan ini diperolehi.
19. Bila disemak penyata kewangan 6 bulan pertama 1MDB hingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta dan kos operasinya untuk 6 bulan mencecah RM20.5 juta.
20. Pengumuman keuntungan 1MBD oleh PM amat disangsikan kerana bila saya amati penyata kewangannya menunjukkan keuntungan yang diperolehi bukan hasil pelaburan atau operasi perniagaan sebenar tetapi melalui “paper shuffling”.
21. 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta hasil jualan balik pelaburan yang dibuat tidak sampai 5 bulan. Pelaburan ini melibatkan usahasama dengan PetroSaudi International Limited dikenali sebagai 1MDB PetroSaudi Limited dengan pelaburan berjumlah RM3.5 billion yang dibayar secara tunai. 1MDB menjual semula pelaburannya dalam 1MDB PetroSaudi Limited kepada PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion menyebabkan 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta. Transaksi penjualan pelaburan ini dibuat pada 31 Mac 2010 iaitu hari akhir akaun tahunan 2010 1MDB ditutup.
22. Bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB sebanyak RM3.5 billion kepada PetroSaudi International Limited secara tunai. Walaubagaimana pun bayaran oleh PetroSaudi International Limited kepada 1MDB atas pembelian balik pelaburan yang dibuat oleh 1MDB dengan harga RM4.1 billion secara ansuran selama 11 tahun. Ini bermakna bayaran akan langsai hanya pada 31 Mac 2023.
23. Saya mahu PM jelaskan samaada bayaran RM4.1 billion ini dibuat secara ansuran untuk 11 tahun atau bayaran yang ditangguhkan untuk 11 tahun atau dalam bentuk lain seperti “loan stock”, “convertible loan stock” atau kaedah lain yang diberikan kepada PetroSaudi International Limited.
24. Persoalannya apa jaminan 1MDB akan memperolehi semula wang tunai RM3.5 billion yang dilaburkan dalam usahasama 1MDB PetroSaudi Limited bersama keuntungan RM615 juta hasil jualan balik pelaburan tersebut kepada PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion.
25. Menurut laporan odit yang dibuat oleh KPMG keatas akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2010 –
“The Group and the Company held notes receivable amounting to RM4,139,125,000 as at 31 March 2010. A valuation was performed by an independent financial advisory firm to support the assessment of the appropriateness of the carrying value of the notes receivable as at 31 March 2010. This valuation was carried out based on certain sets of assumptions. It should be noted that these assumptions are critical to the result of the assessment. The notes receivable are backed by a corporate guarantee issued by the ultimate holding company of 1MDB PetroSaudi Limited, PetroSaudi International Limited PSI). Management believes that PSI is in good financial standing and has the ability to meet all obligations required as documented in the Corporate Guarantee Agreement”.
26. Kenyataan juruodit KPMG ini jelas menunjukkan hanya pihak pengurusan 1MDB sahaja yang mengesahkan bahawa PetroSaudi International Limited mempunyai kedudukan kewangan yang baik sedangkan KPMG sendiri tidak dapat memberi kepastian kedudukan sebenar kewangan PetroSaudi International Limited dan samaada hutang RM4.1 billion yang tertunggak dapat diperolehi dari mereka.
27. Syarikat PetroSaudi dan syarikat-syarikat sekutunya pula diperbadankan di Cayman Islands dan British Virgin Islands. Maka segala maklumat kedudukan kewangan dan transaksi syarikat mereka akan terselindung dari pengetahuan umum.
28. Saya percaya 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited bukan Syarikat operasi minyak sebenar atau Syarikat yang dimiliki oleh individu atau organisasi atau kerajaan dari Arab Saudi. Ia merupakan saluran untuk menggelap wang pinjaman melalui pengeluaran bon 1MDB yang dijamin oleh kerajaan untuk kegunaan pihak tertentu samaada organisasi politik, syarikat, kumpulan atau individu tertentu.
29. Oleh kerana pengeluaran bon oleh 1MDB dijamin oleh kerajaan dan wang tunai sebanyak RM3.5 billion telah dilaburkan dalam 1MDB PetroSaudi Limited dan bayaran jualan balik pelaburan sebanyak RM4.1 billion dibuat secara ansuran selama 11 tahun daripada PetroSaudi International Limited, maka saya pohon kerajaan membentangkan penyata kewangan 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited dalam Dewan ini.
30. Saya percaya kerajaan dan 1MDB berupaya memperolehi semua maklumat ini kerana bagaimana mereka dapat membuat keputusan melabur secara tunai RM3.5 billion dalam 1MDB PetroSaudi tanpa menilai kedudukan kewangan mereka? Dan bagaimana pula kerajaan boleh memberi jaminan atas penerbitan bon 1MDB tanpa rujukan kepada penyataan kewangan dalam syarikat mereka melabur?
31. Saya pohon juga Jawatankuasa Odit Parlimen dan Jabatan Odit Negara mengambil langkah segera menyiasat transaksi kewangan 1MDB.
32. Kerajaan juga diminta membeku segala jaminan dan usaha penerbitan bon yang dicadangkan oleh 1MDB sehingga siasatan menyeluruh dijalankan terhadap perolehan dan transaksi 1MDB.
33. Kerajaan juga digesa menahan serta menarik balik pada kadar segera segala jaminan yang dikeluarkan kepada 1MDB.
34. Saya bimbang berlaku penipuan secara besar-besaran dalam penggunaan wang hasil penerbitan bon oleh 1MDB yang dijamin oleh kerajaan yang boleh menyebabkan kerajaan kerugian berbillion ringgit sepertimana berlaku dalam skandal PKFZ.
Amanah Raya Berhad
1. Saya ingin juga membangkitkan kedudukan pentadbiran harta pusaka yang diuruskan oleh Amanah Raya Bhd. Ini kerana ia melibatkan 309,696 unit wasiat dan jumlah tabung amanah yang diuruskan bernilai lebih daripada RM250 billion mengikut laporan tahunan Amanah Raya Berhad 2009.
2. Amanah Raya Berhad dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka telah ditubuhkan sejak tahun 1921 dan dikorporatkan pada 1 Ogos 1995 di bawah Akta Syarikat 1965. Amanah Raya adalah syarikat milik penuh Kerajaan dengan pegangan saham oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
3. Saya dimaklumkan dengan bukti nyata bahawa Amanah Raya tidak lagi membayar dividend kepada wang pesaka yang dipegang dan dilaburkan oleh Amanah Raya Berhad sejak dua tiga tahun kebelakangan ini yang selama ini diberi agak kompetitif. Malah segala dividend yang diperolehi dipotong sebagai “Acceptance Fees”.
4. Dari apa yang saya faham Amanah Raya Berhad dikorporatkan pada 1995 adalah dengan tujuan untuk melabur wang pesaka yang terbeku samaada di Pejabat Pesaka atau Mahkamah Tinggi untuk memberi faedah hasil pelaburannya kepada pewaris-pewaris sementara menunggu penyelesaian pembahagian harta pesaka.
5. Bukti:
i. Pada 9 Jun 2011 seorang hamba Allah menerima 2 keping cek bernilai RM466,961.00 dan RM314,400.00 dari Amanah Raya Berhad. Cek pertama yang bernilai RM466,961.00 adalah hasil wang pampasan tanah arwah bapa beliau yang diserahkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu kepada Amanah Raya pada 1 Julai 2008. Daripada penyata yang beliau terima dividend yang diagihkan untuk bulan Ogos, September, Oktober, November dan Disember 2008 berjumlah RM6813.39 atau purata RM1362.00 sebulan. Semua dividend ini walaubagaimana pun dipotong sebagai “Acceptance Fees”.
ii. Tidak ada langsung rekod pengagihan dividend untuk tahun 2009, 2010 dan sehingga Jun 2011 sedangkan dalam Laporan Tahunan Amanah Raya Berhad 2009 dividend sebanyak RM1.8 juta diagihkan. Berdasarkan purata dividend RM1632.00 sebulan bermakna hamba Allah ini sepatutnya menikmati dividend lebih daripada RM54,000.00 sehingga akhir Mei 2011, iaitu jumlah yang agak besar untuk orang kampong.
iii. Cek kedua pula bernilai RM314,400.00 juga merupakan hasil pampasan tanah yang diserahkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu kepada Amanah Raya pada 18 Ogos 2010. Penyata menunjukkan hanya dividend untuk bulan September dan Oktober 2010 berjumlah RM1440.00 atau purata RM720.00 sebulan diagihkan. Sekali lagi semua dividend berjumlah RM1440.00 ini dipotong sebagai “Acceptance Fees”. Tidak ada rekod langsung pengagihan dividend untuk bulan November, Disember 2010 dan Januari hingga Jun 2011. Berdasarkan purata RM720.00 sebulan sepatutnya beliau menerima dividend sebanyak RM6,480.00 hasil pampasan yang diuruskan oleh Amanah Raya ini.
iv. Kes yang saya ungkitkan ini bertentangan dengan “Mission Statement” Amanah Raya Berhad yang diantaranya:
1) To ensure efficiency and profitability at par with other private trust companies.
2) To ensure the highest standards of services to all our customers.
v. Persoalannya kemana perginya dividend yang sepatutnya diagihkan kepada pewaris-pewaris simati yang wajar dinikmati hasil pelaburan Amanah Raya ini? Bagaimana pula prestasi pelaburan wang amanah yang diuruskan oleh Amanah Raya Berhad kerana ia melibatkan lebih daripada 309,000 unit wasiat dan wang amanah lebih daripada RM250 billion? Bayangkan jumlah dividend yang tidak diagihkan kepada pewaris-pewaris simati. Dengan penarikan subsidi kepada rakyat adakah kerjaan juga menggunakan wang dividend pewaris-pewaris simati untuk pengurusan kewangannya?
NATIONAL KEY RESULTS AREA (NKRA) DAN ECONOMICS TRASFORMATION PLAN (ETP)
1. Pada 14 Jun 2011 akhbar The STAR melaporkan pelaburan telah mencatat RM170 billion. Saya difahamkan pelaburan yang diwar-warkan ini hasil daripada sesi “brainstorming” yang dikelolakan oleh Ethos Consulting dengan peserta ETP di Akademi MAS, Kelana Jaya dan bukannya pelaburan konkrit.
2. Pelaksanaan polisi ETP membimbangkan kerana banyak cadangan yang diusulkan sebenarnya tidak viable tetapi akan digunakan untuk memaksa GLC melaksanakan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sedang melobi di peringkat atasan.
3. Sebagai contoh saya difahamkan Felda telah disaran untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat Singapura, Premium Renewable Energy (PRE) melalui anak syarikatnya di Malaysia melabur dalam projek bioteknologi untuk memproses pelepah kelapa sawit kepada tenaga letrik dan menjual kepada TNB pada kadar 32 sen sekilowatt. Projek ini menelan belanja ratusan juta ringgit sedangkan kos TNB menjana letrik hanya 6 sen sekilowat. Sekiranya projek sebegini dilaksanakan sekali lagi TNB akan dibebankan kos pembelian letrik yang tinggi dan akhirnya dibebankan kepada rakyat sebagai pengguna.
4. Keupayaan Ethos Consulting merangka polisi ETP amat disangsikan. Beberapa polisi yang dicadangkan tidak memberangkan. Sebagai contoh National Auto Policy (NAP) yang banyak mendapat kritikan. Sebagai konsultan kepada Felda Global Venture Sdn Bhd dalam pelaburan luar Negara yang mengalami kerugian besar mencecah RM500 juta.
5. Saya juga difahamkan Ethos Capital juga cuba mendapat dana dari KWSP untuk diuruskan. Saya menaruh kebimbangan sekiranya ini berlaku wang KWSP juga akan mengalami nasib yang sama seperti Felda Global Venture.
DIPETIK DARI anwaribrahimblog.com

Kekal ‘Musyawarah Ala Malaysia’oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD


Pagi Khamis saya mendengar pidato Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk Malaysian Politics: Should It Also Transform With The Economic Transformation? anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara bersama 600 orang tetamu tua muda. Sungguhpun baru saja pulih, baru sangat keluar dari hospital dia kelihatan segar, riang; percakapannya terang dan petah di selangi dengan humor, sindiran, jenaka sepanjang persembahan termasuk masa soal jawab. Ketokohan dan kemampuan Dr Mahathir berusia lewat 80-an amat mengkagumkan.
Memori, minda, fikiran dan gurau sendanya seperti biasa. Saya bersimpati dengan siapa yang akan menjadi ‘sasarannya’ selepas pilihan raya umum ke 13. Bagi mengelakkannya UMNO-BN mesti menang dengan majoriti lebih besar di peringkat parlimen dan dua negeri kembali ke pangkuan UMNO-BN yakni keputusan yang lebih afiat dari Badawi pada 8 Mac 2008. Kalau tidak sejarah akan berulang! Saya rasa UMNO-BN mampu kalau kena strategi dan taktik. Juga andainya kepimpinan parti dan kerajaan tidak di ‘out flankkan’ oleh Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, Hadi-Mat Sabu dan Lim Guan Eng.
Pada pendapat saya Dr Mahathir yang berucap tanpa nota, tanpa raptai, kurang bersetuju dengan ‘tranformasi’ (the Government Transformation Plan (GTP)) juga dengan ‘the Economic Transformation Plan (ETP). Kita harus teruskan tegasnya dengan dasar konsensus, permuafakatan yang telah memberi kita kejayaan semenjak kemerdekaan; satu masa pertumbuhan ekonomi kita 10 peratus setahun hingga kita dijolokkan sebagai satu antara ‘Asian Tigers’ zaman 1970-1990an. Kita sukses kerana kerajaan kuat, kepimpinan bersatu dan berani di bawah Tun Razak dan Dr Mahathir. Kedua-dua tegas dan bervisi. Polisi mereka tidak berubah-ubah, tiada U-turn! Benar situasi zaman itu memihak pada kita.
Walaupun satu ketika Dr Mahathir dituduh oleh pemimpin-pemimpin Singapura sebagai ‘Pelampau Melayu’ dan seperti biasa gemanya diulangi oleh orang Melayu sendiri seperti sekarang orang lain kata Melayu rasis, Melayu pula berlumba membuat kenyataan.
Sebenarnya Dr Mahathir seorang realis atau pengamal realpolitik. Dasar Ekonomi Baru (DEB), legasi Tun Razak, jelas Dr Mahathir, ‘berjaya’ tanpa dana atau bantuan luar. Bukan Pribumi terus lebih makmur dari sebelum DEB! Malaysia sukses, rakyat senang kalau pun semua tidak makmur dan negara kini terbilang berpendapatan separa tinggi.Malaysia dari dahulu hingga sekarang menjadi ‘magnet’ hingga terus dibanjiri pendatang haram atau dengan izin – Awang Hitam atau lain yang berjumlah berjuta-juta. Jika dasar ‘Musyawarah ala Malaysia’ buruk dan negatif masakan kita antara satu ‘harimau ekonomi’ di rantau ASEAN? Kita terus menarik pendatang dari Afrika, Amerika Selatan, Rusia, Arab dan paling meningkat sekali bilangannya dari Iran!
Bekas Perdana Menteri menggesa kita perlu segera tukar ‘mindset’, minda, pendekatan; gugur sikap dan tabii negatif kalau tidak mahu terus dipinggir dan ketinggalan. Semenjak dua dekad lalu Malaysia telah pun ditransformasikan melalui Multimedia Super Corridor. Malangnya kemajuan koridor tergendala sebab krisis kewangan 1997-98 juga pergolakan merebut kepimpinan dalam UMNO. Apa pun kita terus berkembang dan membangun tanpa meminta sedekah dari IMF (Dana Wang Antarabangsa) dan amat terperanjat memenangi pilihan raya umum waktu itu hingga sekarang. Satu dekad selepas krisis kewangan Asia dan kemelut kewangan merosot 2008, Malaysia, saya kira, sudah pulih, mempunyai kapasiti untuk mara ke arah mencapai status negara Dunia Pertama seperti yang diharap-harapkan sembilan tahun lagi. Boleh atau gagal kita mencapai matlamat itu terpulang pada kita dan ‘political will’ atau iltizam politik dan peribadi serta personaliti Perdana Menteri Najib Razak atau siapa selepasnya.
Pelbagai jenis demokrasi wujud. Biar sahaja kita bicara tentang ‘liberal democracy’ yang diamal di Barat dan Amerika Syarikat (AS), demokrasi ala kita; ala Singapura dan demokrasi cara Beijing. Terang Dr Mahathir pilihan raya di bawah liberal demokrasi cerewet. Kerajaan yang terlampau demokratik dan keterlaluan liberal lazimnya sukar melakukan pembangunan dan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat maka dia mencadangkan kalau kita mahu ubah juga sistem kerajaan kita ilhamkan satu sistem campuran antara sistem demokrasi Amerika dan sistem pemerintahan komunis China yang telah membukti dan memberi hasil yang amat baik, cepat mencapai pembangunan ekonomi yang menakjubkan.
Saya juga tidak lihat sistem kita lapuk. Apa yang kelihatan ialah kepimpinan, parti dan kerajaan yang daif pada setengah rakyat. Selain dari Najib siapa yang rakyat lihat ke sana ke mari menemui pengundi dan berinteraksi dengan bakal pemilih? Mungkin juga ramai yang berbuat demikian tetapi tidak mendapat tempat dalam media! Untuk kita pantas mencapai apa yang dihajati pilihan kita tiada lain daripada menerima demokrasi ala Beijing.
Seperti Dr Mahathir saya belum lagi putus asa dengan kerenah orang kita. Melayani atau sebaliknya ragam, tingkah laku orang Melayu perlu kebijaksanaan: antara menghulur ‘carrot’ (lobak merah) dan mengguna ‘big stick’ atau rotan yakni menawar mereka harapan mendapat ganjaran (carrot) atau ancaman dirotan! Kita perlukan pemimpin seperti Erdogan yang sungguhpun popular, dihormati juga ditakuti! Orang Melayu kalau mahu mendorong mereka ke tahap yang lebih tinggi mereka harus diperlakukan sebagai anak-anak! Mereka mesti bekerja dan belajar bersungguh-sungguh, tekun dan rajin dan produktif kalau tidak mereka akan dirotan atau paha mereka dicubit.
Saya bersetuju dengan Dr Mahathir GTP dan ETP pun tidak begitu perlu selain sekadar membaiki DEB, memperelokkan good governance, kaedah atau metode yang lebih telus, cekap, bersih dan adil. Yang berkesan dalil dan perbuatan bukan janji atau retorik.
Tanpa pendidikan yang wajar, persediaan yang cukup baik lupakanlah sahaja impian mencapai status negara maju. Sebelum itu berlaku kita mesti mempunyai ramai bilangan modal insan yang berbakat, yang berkualiti tinggi untuk mengepalai penyelidikan, inovasi, transformasi dalam kepimpinan politik, perkhidmatan awam, di universiti, sektor ekonomi, korporat, bisnes dan industri. Hanya melalui penyertaan dan kepimpinan mereka, reformasi, transformasi dalam apa bidang pun akan zahir: lahir, batin dan minda.
Kalau kita miskin bakat yang kritikal, bebas, berani, mempunyai intellectual curiosity yang fleksibel dan praktikal; yang petah berkomunikasi kita akan gagal. Negara kita akan terus berada di tebing atau tepian tanpa dapat menyeberangi sungai yang melintang luas di hadapan kita.
Suka duka kita mesti menguasai Bahasa Inggeris untuk mencapai matlamat kita. Boleh kah kita mewujudkan kembali sekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris?
Kini pun kita sudah ada sekolah antarabangsa, sekolah private atau swasta yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris, kita juga ada sekolah kebangsaan jenis Cina, jenis Tamil apa lah lagi sekolah kebangsaan tulen. Kenapa tidak wujud sekolah kebangsaan jenis Inggeris dan Arab?
Berilah ibu bapa memilih aliran mana yang mereka mahu syaratnya mata pelajaran Melayu dan kesusasteraan Melayu wajib dipelajari di semua sekolah. Zaman saya dulu kalau tidak lulus Bahasa Inggeris kita tidak akan dapat sijil. Kenapa kita tidak wajibkan kelulusan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebelum mendapat sijil atau tanpa kedua tidak layak ke universiti?
DARI SINAR HARIAN 26 JUN 2011

Berkuasa di atas kelemahan Melayu

DI bangku sekolah dulu saya berminat dalam hal-hal pengguna selalu kena tipu oleh peniaga. Para pembaca juga sepanjang hidup masing-masing tentu pernah berasa ditipu oleh peniaga, lebih-lebih lagi setelah kembali ke rumah dan melihat barang dibeli tidak mencapai keadaan apa yang disangkakan.
Oleh kerana pengalaman seumpama ini, maka saya memandang serong kepada para peniaga, kecil dan besar. Saya berasakan bahawa peniaga sentiasa mencari jalan untuk menipu pelanggannya, walaupun mereka juga adalah pengguna dan turut sering ditipu.
Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri daripada peniaga. Keperluan kehidupan menghendaki seseorang itu menjadi pengguna dan justeru itu memerlukan peniaga.
Tambahan pula untuk menyara hidup, semua orang secara langsung dan tidak langsung turut menjadi peniaga. Walaupun makan gaji tentulah syarikat tempat seseorang itu bekerja menjalankan perniagaan.
Hatta kakitangan kerajaan juga hidup atas dana cukai yang dikutip daripada dunia perniagaan. Begitu juga dengan badan-badan sukarela, mereka terpaksa juga bergantung kepada dunia komersial. Tidak ada siapa yang dapat melepaskan diri daripada dunia perniagaan.
Justeru pandangan serong terhadap dunia perniagaan yang dilihat sebagai penuh tipu daya menjadikan saya cenderung kepada fahaman kiri. Iaitu sentiasa mencurigai sistem pasaran bebas, kapitalisme dan liberalisme. Tetapi saya sedar bahawa manusia tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai kemakmuran selain daripada melalui dunia perniagaan.
Dalam agama pun, orang Islam diajar bahawa rezeki paling besar adalah dari perniagaan. Tetapi ajaran agama ini disertakan dengan amaran keras terhadap para peniaga yang menipu.
Maka dari dahulu saya berpendapat bahawa kerakusan para peniaga mesti diimbangkan dengan gerakan persatuan pengguna. Kalau persatuan pengguna lemah, maka bermaharajalelalah para peniaga.
Justeru masa saya tingkatan empat iaitu pada tahun 1975 saya melanggan akhbar Utusan Pengguna. Untuk itu saya sekaligus menjadi ahli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lambangnya adalah dacing sebagai tanda keadilan bagi pengguna.
Saya ingat ketika mula Barisan Nasional ditubuhkan, Utusan Malaysia menyiarkan jawapan kepada persoalan seorang pembaca yang mempertikaikan bahawa lambang BN sebagai meniru logo CAP.
Lambang
Maka disiarkan lambang-lambang itu untuk menunjukkan perbezaan antaranya, walaupun kedua-duanya adalah dacing.
Pada tahun 1993, ketika menjelang Perang Teluk yang pertama, saya berkesempatan menyertai rombongan persatuan-persatuan Malaysia untuk ke Baghdad, Iraq sebagai tamu Presiden Saddam Hussein.
Dalam rombongan itu turut serta ialah Presiden CAP, SM Idris . Itulah pertama kali saya bertemu dan mengenalinya dari dekat.
Sejak itu, ketika mana saya ke Pulau Pinang saya akan bertemu dengannya. Begitu juga bila beliau datang ke Kuala Lumpur, saya akan cuba berjumpa dengannya.
Pada tahun 2007 ketika sibuk isu perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, beliau datang ke pejabat Utusan bersama aktivis ekonomi global, Martin Khor di mana Mingguan Malaysia mengetengahkan hujah-hujah mereka mengenai isu itu.
Sebelum hari raya tempoh hari, SM Idris meminta saya datang ke Pulau Pinang untuk bertemunya. Dengan kesibukan yang amat sangat, saya agak keberatan untuk memenuhi permintaannya.
“Pentingkah?” saya tanya pegawainya. “Amat penting,” jawabnya.
Maka beberapa minggu lalu saya pun ke Pulau Pinang untuk menemuinya dan ingin mengetahui apa yang dianggap sebagai penting.
Di depannya, beliau menyerahkan sebuah buku bertajuk The Armies of God. A Study of Militant Christianity oleh Iain Buchanan terbitan Citizen International.
Saya pernah melihat buku ini di kedai Popular di Kuala Lumpur tetapi tidak membacanya. Beliau juga memberi saya beberapa tulisan tambahan yang ada kaitan dengan Malaysia.
Memang benar. Penting dan mengejutkan apabila isinya ditelaah.
Buku ini memaparkan pakatan antara golongan sekular dan agama di Amerika Syarikat untuk terus menguasai dunia sebagai lanjutan kepada penjajahan yang dahulu.
Dalam pertemuan dengannya, SM Idris menyatakan kehairanannya mengapa akhbar Melayu tidak menjadi akhbar paling untung di negara ini.
Saya kata mungkin orang Melayu bukan bangsa perniagaan. Dunia perniagaan dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Justeru tentulah akhbar bukan Melayu yang lebih menguntungkan kerana mereka berisi dengan iklan yang dibeli oleh peniaga.
Bukan begitu, kata SM Idris. Bukanlah ahli perniagaan yang menentukan keuntungan. Tetapi para pengguna. Apa yang disebut sebagai pasaran adalah sebenarnya pengguna.
Majoriti pengguna di Malaysia adalah orang Melayu. Perniagaan di negara ini bergantung untung ruginya pada orang Melayu.
Sesiapapun yang berniaga di negara ini perlu mendapatkan sokongan pengguna Melayu. Untuk mendapatkannya tentulah melalui iklan. Maka sepatutnya akhbar Melayu yang lebih untung.
Selanjutnya SM Idris memberi dua petua yang mana orang Melayu boleh berjaya dan bukan seperti sekarang di mana bangsa ini dilanda dengan pelbagai masalah.
Dua perkara yang menyebabkan orang Melayu lemah dan dikuasai kaum lain ialah rasuah dan pemborosan.
Rasuah dan pemborosan ini menjadikan orang Melayu sebagai pengguna yang memberikan kekayaan kepada kaum lain.
Kalaulah orang Melayu dapat mengelak diri daripada rasuah dan bersikap jimat cermat, maka ia akan menjadi kuat.
Menurutnya kekuatan ekonomi kaum lain di negara ini antara lain berdiri atas rasuah dan pemborosan orang Melayu.
Mampukah orang Melayu berhijrah sikap?
PENDAPAT ZIN MAHMUD- DIPETIK DARI RUANGAN UNTUNG SABUT -UTUSAN ONLINE 05 DISEMBER 2010

Wakaf mampu pertahan geoekonomi orang Melayu

oleh Zaini Hassan

BEBERAPA minggu lalu Cuit menulis mengenai kedudukan geopolitik orang Melayu di negara ini. Ada yang menafikan apabila angka-angka yang diberikan mengenai jumlah daftar pengundi yang diusahakan oleh pembangkang melebihi daripada yang dilakukan oleh pihak UMNO dan BN.
Ada yang marah, nafi, melenting kerana kononnya angka itu tidak tepat. Tapi saya berpegang kepada angka itu, kerana ia datangnya dari sumber yang sahih.
Begitu juga apabila saya menulis lagi mengenai kedudukan geopolitik berhubung tanah-tanah berkependudukan Melayu yang dibangunkan dengan kondo-kondo yang mahal-mahal di Kuala Lumpur. Saya membangkitkan soal mengenai kedudukan beberapa kampung setinggan Melayu yang kini sedang mengalami proses transformasi, yang saya yakin tidak mampu didiami lagi oleh orang Melayu asal di situ. Dengar kata ada juga yang marah-marah dengan tulisan itu.
Apa yang saya tulis itu tiada niat lain selain untuk merangsang minda kita, orang Melayu dan politik Melayu supaya berfikir sejenak, sebelum terbabas lebih jauh. Niat saya mungkin baik, tapi ia dianggap sebaliknya dan dilihat dalam konteks yang berbeza.
Namun minggu ini, saya mahu menyentuh lagi mengenai isu pemilikan aset orang Melayu pula. Sama seperti geopolitik juga, tapi kali ini ialah mengenai soal geoekonomi atau geografi ekonomi pula.
Apa itu geoekonomi? Secara kasar ia membawa maksud kajian mengenai aspek politik ekonomi dan sumber-sumbernya. Geoekonomi menurut Wikipedia yang memetik seorang ahli ekonomi Amerika, Edward Luttwak adalah salah satu cabang kepada geopolitik.
Jadi kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat. Saya mahu menitikberatkan mengenai geoekonomi orang Melayu, yang jika tidak diambil berat juga akan membawa musibah untuk jangka masa panjang.
Ia mungkin membabitkan pegangan strategik sesuatu aset, perniagaan atau harta yang dimiliki oleh sesuatu pihak. Dalam konteks ini, pegangan itu dimiliki oleh orang Melayu.
Pagi Sabtu dua minggu lalu saya menghadiri satu persidangan dikenali sebagai Persidangan Kebangsaan Program Transformasi Melayu Muslim dan Wakaf Korporat yang diadakan di Putrajaya.
Jarang-jarang saya mahu menghadiri persidangan seperti ini, terutamanya yang membabitkan orang Melayu. Ada kata-kata sinis yang pernah diucap mengatakan persidangan seumpama itu hanya membuang masa sahaja. Terlalu banyak kongres, persidangan, seminar, wacana mengenai ekonomi orang Melayu sejak puluhan tahun dulu yang jika dikumpulkan kertas kerjanya boleh dibuat pulau, kata seorang pengkritik.
Namun pagi itu, situasinya berbeza. Ia dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang rata-rata saya lihat terdiri daripada Melayu ternama dan berkedudukan dalam dunia korporat dan perniagaan. Pendek kata tetamu yang hadir cukup berkualiti.
Antara penceramah yang menarik perhatian semua ialah Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sekali pandang Ali mirip seperti Colonel Harland Sanders pengasas ayam goreng KFC di Amerika Syarikat. Itulah pertama kali saya melihatnya dari dekat. Rambutnya putih, misainya juga putih. Betul-betul ala Sanders, pencipta KFC itu.
Ali ialah bekas Presiden dan CEO Johor Corporation (JCorp) yang diterajuinya selama 30 tahun. Beliau kini sudah bersara daripada syarikat korporat terkemuka milik kerajaan negeri Johor itu.
Di bawah terajunya, JCorp berjaya memiliki syarikat KFC yang diusahakan di Malaysia daripada seorang pengusaha Cina pada waktu itu. Hasil gigihnya KFC Malaysia mengembangkan sayapnya ke seluruh pelosok negara, termasuklah ke Singapura, Brunei, India dan terbaru ke sebuah negara Indo-China.
Namun pada pembentangannya di pagi itu, semua tetamu yang hadir senyap. Semua tertumpu kepada penerangannya mengenai satu pendekatan baru mengenai wakaf.
Jika selama ini kita hanya mendengar mengenai wakaf tanah kubur, wakaf tanah surau, masjid, madrasah atau sekolah pondok, kini pendekatannya diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Wakaf yang yang dibawanya ialah wakaf korporat atau wakaf syarikat, saham, aset, wang selain harta.
Beliau mempunyai alasan yang kukuh apabila memperkenalkan pendekatan itu iaitu: Bagi mengelakkan aset-aset milik orang Melayu Islam (di negara ini) jatuh ke tangan pihak lain.
Ia berkaitan jihad bisnes membabitkan soal maruah dan strategik bangsa dan agama.
Semua yang hadir, yang ada antaranya terdiri daripada usahawan besar negara tertarik dengan pendekatan itu.
Dalam sesi soal jawab kemudian, rata-rata bersetuju supaya mana-mana aset yang dipegang oleh orang Melayu Islam di negara ini tidak dijual kepada orang lain. Jika perlu dijual sekali pun, juallah kepada lingkungan yang sama atau diwakafkan.
Alasan mereka ialah membabitkan soal geoekonomi orang-orang Melayu yang mungkin akan hilang.
Justeru, Majlis Perundingan NGO-NGO Melayu (MPM) yang menganjurkan persidangan itu telah melantik Yayasan Iqra’ sebagai penyelaras bagi membentuk wakaf korporat itu. Iqra’ akan distrukturkan bagi memenuhi tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf.
Melalui penerajunya Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Mara, beliau segera menggerakkan beberapa tokoh profesional, termasuk Ali Hashim sendiri untuk membantu merealisasikan ‘jihad busines’ itu.
Ali semasa perkhidmatannya dalam JCorp berpengalaman menggerakkan wakaf korporat melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).
Kita berharap Yayasan Iqra’ yang akan menggerakkan jihad ini dapat menyelamatkan syarikat-syarikat strategik milik Melayu dan Islam daripada jatuh ke tangan orang lain.
Badan wakaf ini juga diharap menjadi pemangkin untuk membantu mengumpul pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera bernilai RM400 bilion menjelang dan selepas 2020, tercapai.
Sebelum menamatkan tulisan ini, saya ingin berkongsi pendapat seorang pembaca dalam majalah Newsweek edisi terbaru (14 Mac 2011) mengulas cadangan seorang profesor ekonomi Niall Ferguson yang mengesyorkan Amerika Syarikat menswastakan aset-aset negara itu bagi menyelesaikan hutang negara itu.
Ini kata surat pembaca itu:
‘‘Dalam cadangan untuk menswastakan aset-aset negara itu, Ferguson telah meletakkan Grand Canyon dan Yellowstone sebagai hadnya. Mengapa dihadkan kepada aset bernilai itu? Cuba fikirkan berapa banyak Disney sanggup bayar jika Yellowstone dibenarkan untuk jualan! Apa yang kita boleh peroleh daripada Pentagon? Pangkalan-pangkalan tentera kita sudah tentu amat bernilai kepada China (jika boleh dijual kepada mereka)...”
Bagi pembaca majalah itu, Grand Canyon, Yellowstone dan Pentagon ialah aset-aset strategik Amerika yang tidak boleh dijual beli sama sekali, atau dipindah tangan. Ia adalah geoekonomi politik Amerika.
Akhir kata, jika dulu kita berhempas pulas dan bermegah memiliki Malayan Banking, Malayan Finance, Kwong Yik Bank, Dunlop, Guthrie dan banyak lagi daripada tangan orang lain, maka pertahankanlah ia.
Ia adalah geoekonomi politik kita.
DIPETIK DARI RUANGAN CUIT UTUSAN ONLINE 24 MAC 2011

Himpunan Bersih 2.0 tidak salah dari segi tujuan, kata Dr Asri

June 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak salah dari segi tujuan. Ini kerana jelas Dr Asri, matlamat dan tujuan utama Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil yang sepatutnya tidak dinafikan oleh kerajaan.
“Jika tujuannya baik dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik... jika tujuannya baik, caranya salah maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.
“Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.
“Setelah saya mendengar taklimat Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan menilainya saya dapati tujuannya baik iaitu menuntut hak yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru jelas beliau, Himpunan Bersih 2.0 perlu diadakan demi masa depan politik yang lebih baik tanpa mengira mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.
“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.
“Maka, saya tidak mempertikaikan Himpunan Bersih 2.0 di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum kerana tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihan raya,” katanya.
Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0  yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza.
Menurut Asri (gambar), beliau tidak menolak demonstrasi yang akan diadakan itu akan mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Beliau juga menegaskan demonstrasi sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah tuntutan yang dibuat tidak ditunaikan.
Justeru, Asri menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan tuntutan yang dibuat Bersih bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.
“Namun oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.
“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan, saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan...dan pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai,” katanya.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.
“Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi Bersih 2.0 hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati,” tegas Asri.
Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyertai demonstrasi itu agar tidak mencetuskan provokasi yang boleh membawa berlakunya rusuhan.
“Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.
“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa,” katanya.
Tambah Asri, hasrat rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan semua pihak termasuk kerajaan.
“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak termasuk polis, rakyat dan golongan atasan.
“Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai perhimpunan Bersih 2.0 merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu dan memastikan perhimpunan itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,” katanya.
DIPETIK DARI MALAYSIA INSIDER 22 JUN 2011

25/06/2011

OPR – Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya? (Dr. Dzulkefly Ahmad)

Jawapan kepada soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.

Untuk pengetahuan umum,  SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.

Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani  atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari  luar.

Namun, langkah menaikkan Kadar  Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).

Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.

Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi.
Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business)  juga mengalami kenaikan.

Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan  mengalami 20%  kenaikan dalam kos kadar faedah.

Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun  jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saraan hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR telah member isyarat salah dan bakal memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.

Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya mengaharapkan pihak pengurus dana antarabangsa untuk membawa masuk dana luar bagi mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain. Dana atau ‘hot money’ seperti ini juga bukanlah yang dihajatkan oleh negara sebagai “quality investment’.

Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat terus ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seperti IPP, sektor air dan lebuhraya terus mendapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?

Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar  kerajaan yang lain ??

Selarikah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?

KENYATAAN AKHBAR – AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR
Dzulkefly Ahmad, 21 hb Jun 2011.