26/06/2011

Perbahasan Belanjawan Tambahan Pertama 2011 Oleh Ketua Pembangkang


 PENDAHULUAN

1. Belanjawan Tambahan ini mewakili suatu peningkatan sejumlah 8.2% daripada belanjawan asal 2011 sebanyak RM162.8 billion. Perbelanjaan tambahan RM13.2 billion ini digunakan selepas hanya tiga bulan pusingan belanjawan tahun ini selesai. Tidak mustahil menjelang akhir tahun ini peningkatan mungkin mencecah 15%. Ini menimbulkan suatu tanda tanya berhubung keupayaan kerajaan untuk merangka belanjawan negara, yakni salah satu tugas asas mengurus ekonomi negara selain memunculkan persoalan terhadap keupayaan mereka untuk membuat unjuran, penjelasan atau bertanggungjawab dan mengurus perbelanjaan yang telah diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini.
2. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab terhadap rakyatnya dan wakil yang dipilih mereka manakala urusan berkaitan perbelanjaan wang rakyat itu mestilah diurus serta ditadbir dengan cekap dan baik kerana itulah ciri ciri sebuah kerajaan yang berwibawa serta demokratik.
3. Hutang negara kian meningkat(peratusan hutang negara dari Keluaran Dalam Negara Kasar ialah pada kadar 54%), Malaysia tidak boleh mengambil risiko kehilangan keyakinan dan kepercayaan para pelabur, terutamanya yang melabur dalam bon kerajaan.
4. Saya khuatir kegagalan untuk membuat suatu unjuran yang tepat, tidak berupaya untuk menjelaskan perbelanjaan belanjawan dan lemah mengurus ekonomi sekiranya dibiarkan akan mengheret negara berhadapan dengan keadaan sukar. Kita perlu mengambil iktibar dari kegagalan negara akibat kecuaian pengurusan malah juga memutarbelitkan angka petunjuk ekonomi seperti mana berlaku di Greece.
5. Peningkatan perbelanjaan belanjawan berlaku akibat dari tindak balas pergerakan harga komoditi yang buruk. Namun yang dimusykilkan adalah peningkatan sebanyak 5% emolumen sedangkan ianya sepatutnya mudah untuk diunjurkan. Apakah muslihat meninggalkan peruntukan emolumen yang wajib dimasukkan.
6. Sejumlah RM1.009 bilion diperuntukkan bagi menampung kekurangan emolumen pada tahun 2011 untuk Pegawai Perubatan pelbagai gred dan skim. Begitu juga RM1.3 bilion bagi menampung pembayaran emolumen kakitangan awam di bawah Kementerian Pelajaran yang meningkat berpunca daripada pengisian jawatan, pembayaran gaji ’time-based’ untuk guru serta kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
SUBSIDI
7. Belanjawan tambahan ini melibatkan pembayaran subsidi barangan petroleum sebanyak RM5.6 billion dan RM150 juta untuk pembayaran subsidi bagi pengecualian bil elektrik bulanan bagi pengguna RM20 dan ke bawah untuk 2011. Jumlah belanjawan tambahan untuk subsidi kepada rakyat ialah RM5.75 billion.
8. Saya sentuh mengenai subsidi ini kerana menurut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, daripada Januari hingga Oktober 2011, subsidi untuk petrol, diesel dan Liquid Petroleum Gas, dianggarkan RM7.4 billion. Subsidi untuk gula pula dianggarkan RM800 juta setahun.
9. Tetapi subsidi gas untuk IPP, dianggarkan sehingga RM20 billion untuk 2010 dan RM22 billion untuk 2011. Sekiranya subsidi untuk IPP ini dikurangkan atau dihapuskan, sudah tentu belanjawan tambahan RM13 billion ini tidak diperlukan sama sekali.
10. Manakala diakui kegelisahan rakyat dan kontroversi bersabit isu IPP. Makasewajarnya didedahkan kepada rakyat seluruh fakta, kaedah, perjanjian agar dinilai secara telus dan terbuka
11. TNB yang merupakan PEMBELI terpaksa menghenti operasi mereka untuk memberi laluan kepada PEMBEKAL iaitu IPP menjana letrik pada kadar kapasiti penuh termasuk kadar rezab kelebihan 40% yang dikira tidak munasabah dan membebankan TNB serta rakyat. Ini bermakna TNB terpaksa menanggong kerugian menutup operasi atau mengurang penjanaan letrik yang jauh lebih murah dan terpaksa membeli daripada IPP yang jauh lebih mahal. Kerugian yang ditanggong oleh TNB ini juga merupakan subsidi yang dinikmati oleh IPP.
12. Saya pohon kerajaan menngguhkan kenaikkan tarif letrik dan mengkaji segera perjanjian konsesi IPP yang bukan sahaja merugikan TNB dan kerajaan tetapi juga rakyat keseluruhannya. Pendirian kerajaan untuk mempertahankna kepentingan syarikat2 konsesi ini turut disanggah oleh Bekas KSU Perbendaharaan, Bekas Ketua Eksekutif Petronas dan bekas Ketua Eksekutif TNB
13. Former Tenaga Nasional Berhad (TNB) chief executive Tan Sri Ani Arope is blaming the Economic Planning Unit (EPU) for rising electricity tariffs, saying the powerful agency forced the national power company to sign lopsided purchase deals nearly 20 years ago.
Ani said EPU, which he sarcastically dubbed “Economic Plundering Unit”, forced Tenaga to buy electricity from an independent power producer (IPP), believed to be Genting Sanyen, at 14 sen per kilowatt hour (kWh) despite an existing offer of 12 sen/kWh then; other IPPs then were charging 16 sen/kWh.
Genting Sanyen became the first IPP to transfer 15 million watts (MW) in electricity to TNB’s national grid on April 15 and is scheduled to complete a RM1.8 billion upgrade on its existing gas-fired plant with a capacity for 720 MW by June next year.
“You don’t need to go to a fanciful business school to figure out why we need a tariff hike — just revisit the terms given to some IPPs,” Ani, who helmed the utility company between 1990 and 1996, said in his last Facebook posting three days ago.
“With the take-or-pay clause and with the 40 per cent excess reserve that we have today, one only has to produce half of one’s capacity and be paid 80 per cent of the agreed capacity. Well done the then-EPU — Economic Plundering Unit,” he added, mocking the economic unit under the Prime Minister’s Department.
14. Kenaikan tarif letrik bukan sahaja melibatkan kenaikan bil penggunaan tetapi juga melibatkan kenaikan kos pengeluaran barangan pengguna. Begitu juga dengan kenaikan harga diesel akibat penarikan subsidi baru-baru ini. Keduanya merupakan nadi pengeluaran dan pengedaran barangan pengguna. Kenaikan kedua kos ini akan menaikkan harga barangan pengguna yang membebankan rakyat dan mengurangkan “competitiveness” barangan keluaran Negara.
15. Mengikut laporan UNDP terbaru harga barangan pengguna di Malaysia sudah meningkat lebih daripada 30% tetapi gaji masih ditahap lama atau meningkat tak sampai 10% . Kerajaan cuba manipulasi kadar inflasi yang rendah dengan mengawal harga barangan “basket goods” atau “bakul barangan” yang dibuat kiraan untuk kadar inflasi. Hakikatnya banyak barangan “basket goods” tidak relevan lagi dan banyak barangan kegunaan harian yang tidak termasuk dalam bakul barangan dan perkhidmatan melambung begitu tinggi.
16. Kerajaan boleh mengekalkan harga petrol dan harga gula sekiranya subsidi untuk korporat baik atas nama subsidi, tax holiday, pampasan, “cost overrun”, “variation order” yang berlipat kali ganda dari kontrak asal dan sebagainya diimbangkan dan diagih untuk barangan pengguna.
1MALAYSIA DEVELOPMENT BERHAD
17. Saya ingin menyentuh berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan telah mengeluarkan bon berjumlah RM5 billion dan akan mengeluarkan RM10 billion lagi hingga tahun 2013, menjadikan keseluruhan bon yang akan dikeluarkan bernilai RM15 billion.
18. Perdana Menteri telah mengumumkan 1MDB mencatat keuntungan RM425 juta pada tahun pertama operasinya yang berakhir 31 Mac 2010 tanpa memberi sebarang butiran bagaimana keuntungan ini diperolehi.
19. Bila disemak penyata kewangan 6 bulan pertama 1MDB hingga 30 September 2010 menunjukkan 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta dan kos operasinya untuk 6 bulan mencecah RM20.5 juta.
20. Pengumuman keuntungan 1MBD oleh PM amat disangsikan kerana bila saya amati penyata kewangannya menunjukkan keuntungan yang diperolehi bukan hasil pelaburan atau operasi perniagaan sebenar tetapi melalui “paper shuffling”.
21. 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta hasil jualan balik pelaburan yang dibuat tidak sampai 5 bulan. Pelaburan ini melibatkan usahasama dengan PetroSaudi International Limited dikenali sebagai 1MDB PetroSaudi Limited dengan pelaburan berjumlah RM3.5 billion yang dibayar secara tunai. 1MDB menjual semula pelaburannya dalam 1MDB PetroSaudi Limited kepada PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion menyebabkan 1MDB memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta. Transaksi penjualan pelaburan ini dibuat pada 31 Mac 2010 iaitu hari akhir akaun tahunan 2010 1MDB ditutup.
22. Bayaran pelaburan yang dibuat oleh 1MDB sebanyak RM3.5 billion kepada PetroSaudi International Limited secara tunai. Walaubagaimana pun bayaran oleh PetroSaudi International Limited kepada 1MDB atas pembelian balik pelaburan yang dibuat oleh 1MDB dengan harga RM4.1 billion secara ansuran selama 11 tahun. Ini bermakna bayaran akan langsai hanya pada 31 Mac 2023.
23. Saya mahu PM jelaskan samaada bayaran RM4.1 billion ini dibuat secara ansuran untuk 11 tahun atau bayaran yang ditangguhkan untuk 11 tahun atau dalam bentuk lain seperti “loan stock”, “convertible loan stock” atau kaedah lain yang diberikan kepada PetroSaudi International Limited.
24. Persoalannya apa jaminan 1MDB akan memperolehi semula wang tunai RM3.5 billion yang dilaburkan dalam usahasama 1MDB PetroSaudi Limited bersama keuntungan RM615 juta hasil jualan balik pelaburan tersebut kepada PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion.
25. Menurut laporan odit yang dibuat oleh KPMG keatas akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2010 –
“The Group and the Company held notes receivable amounting to RM4,139,125,000 as at 31 March 2010. A valuation was performed by an independent financial advisory firm to support the assessment of the appropriateness of the carrying value of the notes receivable as at 31 March 2010. This valuation was carried out based on certain sets of assumptions. It should be noted that these assumptions are critical to the result of the assessment. The notes receivable are backed by a corporate guarantee issued by the ultimate holding company of 1MDB PetroSaudi Limited, PetroSaudi International Limited PSI). Management believes that PSI is in good financial standing and has the ability to meet all obligations required as documented in the Corporate Guarantee Agreement”.
26. Kenyataan juruodit KPMG ini jelas menunjukkan hanya pihak pengurusan 1MDB sahaja yang mengesahkan bahawa PetroSaudi International Limited mempunyai kedudukan kewangan yang baik sedangkan KPMG sendiri tidak dapat memberi kepastian kedudukan sebenar kewangan PetroSaudi International Limited dan samaada hutang RM4.1 billion yang tertunggak dapat diperolehi dari mereka.
27. Syarikat PetroSaudi dan syarikat-syarikat sekutunya pula diperbadankan di Cayman Islands dan British Virgin Islands. Maka segala maklumat kedudukan kewangan dan transaksi syarikat mereka akan terselindung dari pengetahuan umum.
28. Saya percaya 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited bukan Syarikat operasi minyak sebenar atau Syarikat yang dimiliki oleh individu atau organisasi atau kerajaan dari Arab Saudi. Ia merupakan saluran untuk menggelap wang pinjaman melalui pengeluaran bon 1MDB yang dijamin oleh kerajaan untuk kegunaan pihak tertentu samaada organisasi politik, syarikat, kumpulan atau individu tertentu.
29. Oleh kerana pengeluaran bon oleh 1MDB dijamin oleh kerajaan dan wang tunai sebanyak RM3.5 billion telah dilaburkan dalam 1MDB PetroSaudi Limited dan bayaran jualan balik pelaburan sebanyak RM4.1 billion dibuat secara ansuran selama 11 tahun daripada PetroSaudi International Limited, maka saya pohon kerajaan membentangkan penyata kewangan 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited dalam Dewan ini.
30. Saya percaya kerajaan dan 1MDB berupaya memperolehi semua maklumat ini kerana bagaimana mereka dapat membuat keputusan melabur secara tunai RM3.5 billion dalam 1MDB PetroSaudi tanpa menilai kedudukan kewangan mereka? Dan bagaimana pula kerajaan boleh memberi jaminan atas penerbitan bon 1MDB tanpa rujukan kepada penyataan kewangan dalam syarikat mereka melabur?
31. Saya pohon juga Jawatankuasa Odit Parlimen dan Jabatan Odit Negara mengambil langkah segera menyiasat transaksi kewangan 1MDB.
32. Kerajaan juga diminta membeku segala jaminan dan usaha penerbitan bon yang dicadangkan oleh 1MDB sehingga siasatan menyeluruh dijalankan terhadap perolehan dan transaksi 1MDB.
33. Kerajaan juga digesa menahan serta menarik balik pada kadar segera segala jaminan yang dikeluarkan kepada 1MDB.
34. Saya bimbang berlaku penipuan secara besar-besaran dalam penggunaan wang hasil penerbitan bon oleh 1MDB yang dijamin oleh kerajaan yang boleh menyebabkan kerajaan kerugian berbillion ringgit sepertimana berlaku dalam skandal PKFZ.
Amanah Raya Berhad
1. Saya ingin juga membangkitkan kedudukan pentadbiran harta pusaka yang diuruskan oleh Amanah Raya Bhd. Ini kerana ia melibatkan 309,696 unit wasiat dan jumlah tabung amanah yang diuruskan bernilai lebih daripada RM250 billion mengikut laporan tahunan Amanah Raya Berhad 2009.
2. Amanah Raya Berhad dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka telah ditubuhkan sejak tahun 1921 dan dikorporatkan pada 1 Ogos 1995 di bawah Akta Syarikat 1965. Amanah Raya adalah syarikat milik penuh Kerajaan dengan pegangan saham oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
3. Saya dimaklumkan dengan bukti nyata bahawa Amanah Raya tidak lagi membayar dividend kepada wang pesaka yang dipegang dan dilaburkan oleh Amanah Raya Berhad sejak dua tiga tahun kebelakangan ini yang selama ini diberi agak kompetitif. Malah segala dividend yang diperolehi dipotong sebagai “Acceptance Fees”.
4. Dari apa yang saya faham Amanah Raya Berhad dikorporatkan pada 1995 adalah dengan tujuan untuk melabur wang pesaka yang terbeku samaada di Pejabat Pesaka atau Mahkamah Tinggi untuk memberi faedah hasil pelaburannya kepada pewaris-pewaris sementara menunggu penyelesaian pembahagian harta pesaka.
5. Bukti:
i. Pada 9 Jun 2011 seorang hamba Allah menerima 2 keping cek bernilai RM466,961.00 dan RM314,400.00 dari Amanah Raya Berhad. Cek pertama yang bernilai RM466,961.00 adalah hasil wang pampasan tanah arwah bapa beliau yang diserahkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu kepada Amanah Raya pada 1 Julai 2008. Daripada penyata yang beliau terima dividend yang diagihkan untuk bulan Ogos, September, Oktober, November dan Disember 2008 berjumlah RM6813.39 atau purata RM1362.00 sebulan. Semua dividend ini walaubagaimana pun dipotong sebagai “Acceptance Fees”.
ii. Tidak ada langsung rekod pengagihan dividend untuk tahun 2009, 2010 dan sehingga Jun 2011 sedangkan dalam Laporan Tahunan Amanah Raya Berhad 2009 dividend sebanyak RM1.8 juta diagihkan. Berdasarkan purata dividend RM1632.00 sebulan bermakna hamba Allah ini sepatutnya menikmati dividend lebih daripada RM54,000.00 sehingga akhir Mei 2011, iaitu jumlah yang agak besar untuk orang kampong.
iii. Cek kedua pula bernilai RM314,400.00 juga merupakan hasil pampasan tanah yang diserahkan oleh Pejabat Tanah Kuala Terengganu kepada Amanah Raya pada 18 Ogos 2010. Penyata menunjukkan hanya dividend untuk bulan September dan Oktober 2010 berjumlah RM1440.00 atau purata RM720.00 sebulan diagihkan. Sekali lagi semua dividend berjumlah RM1440.00 ini dipotong sebagai “Acceptance Fees”. Tidak ada rekod langsung pengagihan dividend untuk bulan November, Disember 2010 dan Januari hingga Jun 2011. Berdasarkan purata RM720.00 sebulan sepatutnya beliau menerima dividend sebanyak RM6,480.00 hasil pampasan yang diuruskan oleh Amanah Raya ini.
iv. Kes yang saya ungkitkan ini bertentangan dengan “Mission Statement” Amanah Raya Berhad yang diantaranya:
1) To ensure efficiency and profitability at par with other private trust companies.
2) To ensure the highest standards of services to all our customers.
v. Persoalannya kemana perginya dividend yang sepatutnya diagihkan kepada pewaris-pewaris simati yang wajar dinikmati hasil pelaburan Amanah Raya ini? Bagaimana pula prestasi pelaburan wang amanah yang diuruskan oleh Amanah Raya Berhad kerana ia melibatkan lebih daripada 309,000 unit wasiat dan wang amanah lebih daripada RM250 billion? Bayangkan jumlah dividend yang tidak diagihkan kepada pewaris-pewaris simati. Dengan penarikan subsidi kepada rakyat adakah kerjaan juga menggunakan wang dividend pewaris-pewaris simati untuk pengurusan kewangannya?
NATIONAL KEY RESULTS AREA (NKRA) DAN ECONOMICS TRASFORMATION PLAN (ETP)
1. Pada 14 Jun 2011 akhbar The STAR melaporkan pelaburan telah mencatat RM170 billion. Saya difahamkan pelaburan yang diwar-warkan ini hasil daripada sesi “brainstorming” yang dikelolakan oleh Ethos Consulting dengan peserta ETP di Akademi MAS, Kelana Jaya dan bukannya pelaburan konkrit.
2. Pelaksanaan polisi ETP membimbangkan kerana banyak cadangan yang diusulkan sebenarnya tidak viable tetapi akan digunakan untuk memaksa GLC melaksanakan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sedang melobi di peringkat atasan.
3. Sebagai contoh saya difahamkan Felda telah disaran untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat Singapura, Premium Renewable Energy (PRE) melalui anak syarikatnya di Malaysia melabur dalam projek bioteknologi untuk memproses pelepah kelapa sawit kepada tenaga letrik dan menjual kepada TNB pada kadar 32 sen sekilowatt. Projek ini menelan belanja ratusan juta ringgit sedangkan kos TNB menjana letrik hanya 6 sen sekilowat. Sekiranya projek sebegini dilaksanakan sekali lagi TNB akan dibebankan kos pembelian letrik yang tinggi dan akhirnya dibebankan kepada rakyat sebagai pengguna.
4. Keupayaan Ethos Consulting merangka polisi ETP amat disangsikan. Beberapa polisi yang dicadangkan tidak memberangkan. Sebagai contoh National Auto Policy (NAP) yang banyak mendapat kritikan. Sebagai konsultan kepada Felda Global Venture Sdn Bhd dalam pelaburan luar Negara yang mengalami kerugian besar mencecah RM500 juta.
5. Saya juga difahamkan Ethos Capital juga cuba mendapat dana dari KWSP untuk diuruskan. Saya menaruh kebimbangan sekiranya ini berlaku wang KWSP juga akan mengalami nasib yang sama seperti Felda Global Venture.
DIPETIK DARI anwaribrahimblog.com

Kekal ‘Musyawarah Ala Malaysia’oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD


Pagi Khamis saya mendengar pidato Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk Malaysian Politics: Should It Also Transform With The Economic Transformation? anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara bersama 600 orang tetamu tua muda. Sungguhpun baru saja pulih, baru sangat keluar dari hospital dia kelihatan segar, riang; percakapannya terang dan petah di selangi dengan humor, sindiran, jenaka sepanjang persembahan termasuk masa soal jawab. Ketokohan dan kemampuan Dr Mahathir berusia lewat 80-an amat mengkagumkan.
Memori, minda, fikiran dan gurau sendanya seperti biasa. Saya bersimpati dengan siapa yang akan menjadi ‘sasarannya’ selepas pilihan raya umum ke 13. Bagi mengelakkannya UMNO-BN mesti menang dengan majoriti lebih besar di peringkat parlimen dan dua negeri kembali ke pangkuan UMNO-BN yakni keputusan yang lebih afiat dari Badawi pada 8 Mac 2008. Kalau tidak sejarah akan berulang! Saya rasa UMNO-BN mampu kalau kena strategi dan taktik. Juga andainya kepimpinan parti dan kerajaan tidak di ‘out flankkan’ oleh Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, Hadi-Mat Sabu dan Lim Guan Eng.
Pada pendapat saya Dr Mahathir yang berucap tanpa nota, tanpa raptai, kurang bersetuju dengan ‘tranformasi’ (the Government Transformation Plan (GTP)) juga dengan ‘the Economic Transformation Plan (ETP). Kita harus teruskan tegasnya dengan dasar konsensus, permuafakatan yang telah memberi kita kejayaan semenjak kemerdekaan; satu masa pertumbuhan ekonomi kita 10 peratus setahun hingga kita dijolokkan sebagai satu antara ‘Asian Tigers’ zaman 1970-1990an. Kita sukses kerana kerajaan kuat, kepimpinan bersatu dan berani di bawah Tun Razak dan Dr Mahathir. Kedua-dua tegas dan bervisi. Polisi mereka tidak berubah-ubah, tiada U-turn! Benar situasi zaman itu memihak pada kita.
Walaupun satu ketika Dr Mahathir dituduh oleh pemimpin-pemimpin Singapura sebagai ‘Pelampau Melayu’ dan seperti biasa gemanya diulangi oleh orang Melayu sendiri seperti sekarang orang lain kata Melayu rasis, Melayu pula berlumba membuat kenyataan.
Sebenarnya Dr Mahathir seorang realis atau pengamal realpolitik. Dasar Ekonomi Baru (DEB), legasi Tun Razak, jelas Dr Mahathir, ‘berjaya’ tanpa dana atau bantuan luar. Bukan Pribumi terus lebih makmur dari sebelum DEB! Malaysia sukses, rakyat senang kalau pun semua tidak makmur dan negara kini terbilang berpendapatan separa tinggi.Malaysia dari dahulu hingga sekarang menjadi ‘magnet’ hingga terus dibanjiri pendatang haram atau dengan izin – Awang Hitam atau lain yang berjumlah berjuta-juta. Jika dasar ‘Musyawarah ala Malaysia’ buruk dan negatif masakan kita antara satu ‘harimau ekonomi’ di rantau ASEAN? Kita terus menarik pendatang dari Afrika, Amerika Selatan, Rusia, Arab dan paling meningkat sekali bilangannya dari Iran!
Bekas Perdana Menteri menggesa kita perlu segera tukar ‘mindset’, minda, pendekatan; gugur sikap dan tabii negatif kalau tidak mahu terus dipinggir dan ketinggalan. Semenjak dua dekad lalu Malaysia telah pun ditransformasikan melalui Multimedia Super Corridor. Malangnya kemajuan koridor tergendala sebab krisis kewangan 1997-98 juga pergolakan merebut kepimpinan dalam UMNO. Apa pun kita terus berkembang dan membangun tanpa meminta sedekah dari IMF (Dana Wang Antarabangsa) dan amat terperanjat memenangi pilihan raya umum waktu itu hingga sekarang. Satu dekad selepas krisis kewangan Asia dan kemelut kewangan merosot 2008, Malaysia, saya kira, sudah pulih, mempunyai kapasiti untuk mara ke arah mencapai status negara Dunia Pertama seperti yang diharap-harapkan sembilan tahun lagi. Boleh atau gagal kita mencapai matlamat itu terpulang pada kita dan ‘political will’ atau iltizam politik dan peribadi serta personaliti Perdana Menteri Najib Razak atau siapa selepasnya.
Pelbagai jenis demokrasi wujud. Biar sahaja kita bicara tentang ‘liberal democracy’ yang diamal di Barat dan Amerika Syarikat (AS), demokrasi ala kita; ala Singapura dan demokrasi cara Beijing. Terang Dr Mahathir pilihan raya di bawah liberal demokrasi cerewet. Kerajaan yang terlampau demokratik dan keterlaluan liberal lazimnya sukar melakukan pembangunan dan membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat maka dia mencadangkan kalau kita mahu ubah juga sistem kerajaan kita ilhamkan satu sistem campuran antara sistem demokrasi Amerika dan sistem pemerintahan komunis China yang telah membukti dan memberi hasil yang amat baik, cepat mencapai pembangunan ekonomi yang menakjubkan.
Saya juga tidak lihat sistem kita lapuk. Apa yang kelihatan ialah kepimpinan, parti dan kerajaan yang daif pada setengah rakyat. Selain dari Najib siapa yang rakyat lihat ke sana ke mari menemui pengundi dan berinteraksi dengan bakal pemilih? Mungkin juga ramai yang berbuat demikian tetapi tidak mendapat tempat dalam media! Untuk kita pantas mencapai apa yang dihajati pilihan kita tiada lain daripada menerima demokrasi ala Beijing.
Seperti Dr Mahathir saya belum lagi putus asa dengan kerenah orang kita. Melayani atau sebaliknya ragam, tingkah laku orang Melayu perlu kebijaksanaan: antara menghulur ‘carrot’ (lobak merah) dan mengguna ‘big stick’ atau rotan yakni menawar mereka harapan mendapat ganjaran (carrot) atau ancaman dirotan! Kita perlukan pemimpin seperti Erdogan yang sungguhpun popular, dihormati juga ditakuti! Orang Melayu kalau mahu mendorong mereka ke tahap yang lebih tinggi mereka harus diperlakukan sebagai anak-anak! Mereka mesti bekerja dan belajar bersungguh-sungguh, tekun dan rajin dan produktif kalau tidak mereka akan dirotan atau paha mereka dicubit.
Saya bersetuju dengan Dr Mahathir GTP dan ETP pun tidak begitu perlu selain sekadar membaiki DEB, memperelokkan good governance, kaedah atau metode yang lebih telus, cekap, bersih dan adil. Yang berkesan dalil dan perbuatan bukan janji atau retorik.
Tanpa pendidikan yang wajar, persediaan yang cukup baik lupakanlah sahaja impian mencapai status negara maju. Sebelum itu berlaku kita mesti mempunyai ramai bilangan modal insan yang berbakat, yang berkualiti tinggi untuk mengepalai penyelidikan, inovasi, transformasi dalam kepimpinan politik, perkhidmatan awam, di universiti, sektor ekonomi, korporat, bisnes dan industri. Hanya melalui penyertaan dan kepimpinan mereka, reformasi, transformasi dalam apa bidang pun akan zahir: lahir, batin dan minda.
Kalau kita miskin bakat yang kritikal, bebas, berani, mempunyai intellectual curiosity yang fleksibel dan praktikal; yang petah berkomunikasi kita akan gagal. Negara kita akan terus berada di tebing atau tepian tanpa dapat menyeberangi sungai yang melintang luas di hadapan kita.
Suka duka kita mesti menguasai Bahasa Inggeris untuk mencapai matlamat kita. Boleh kah kita mewujudkan kembali sekolah yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris?
Kini pun kita sudah ada sekolah antarabangsa, sekolah private atau swasta yang bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris, kita juga ada sekolah kebangsaan jenis Cina, jenis Tamil apa lah lagi sekolah kebangsaan tulen. Kenapa tidak wujud sekolah kebangsaan jenis Inggeris dan Arab?
Berilah ibu bapa memilih aliran mana yang mereka mahu syaratnya mata pelajaran Melayu dan kesusasteraan Melayu wajib dipelajari di semua sekolah. Zaman saya dulu kalau tidak lulus Bahasa Inggeris kita tidak akan dapat sijil. Kenapa kita tidak wajibkan kelulusan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebelum mendapat sijil atau tanpa kedua tidak layak ke universiti?
DARI SINAR HARIAN 26 JUN 2011

Berkuasa di atas kelemahan Melayu

DI bangku sekolah dulu saya berminat dalam hal-hal pengguna selalu kena tipu oleh peniaga. Para pembaca juga sepanjang hidup masing-masing tentu pernah berasa ditipu oleh peniaga, lebih-lebih lagi setelah kembali ke rumah dan melihat barang dibeli tidak mencapai keadaan apa yang disangkakan.
Oleh kerana pengalaman seumpama ini, maka saya memandang serong kepada para peniaga, kecil dan besar. Saya berasakan bahawa peniaga sentiasa mencari jalan untuk menipu pelanggannya, walaupun mereka juga adalah pengguna dan turut sering ditipu.
Tidak ada siapa yang boleh melepaskan diri daripada peniaga. Keperluan kehidupan menghendaki seseorang itu menjadi pengguna dan justeru itu memerlukan peniaga.
Tambahan pula untuk menyara hidup, semua orang secara langsung dan tidak langsung turut menjadi peniaga. Walaupun makan gaji tentulah syarikat tempat seseorang itu bekerja menjalankan perniagaan.
Hatta kakitangan kerajaan juga hidup atas dana cukai yang dikutip daripada dunia perniagaan. Begitu juga dengan badan-badan sukarela, mereka terpaksa juga bergantung kepada dunia komersial. Tidak ada siapa yang dapat melepaskan diri daripada dunia perniagaan.
Justeru pandangan serong terhadap dunia perniagaan yang dilihat sebagai penuh tipu daya menjadikan saya cenderung kepada fahaman kiri. Iaitu sentiasa mencurigai sistem pasaran bebas, kapitalisme dan liberalisme. Tetapi saya sedar bahawa manusia tidak mempunyai pilihan lain untuk mencapai kemakmuran selain daripada melalui dunia perniagaan.
Dalam agama pun, orang Islam diajar bahawa rezeki paling besar adalah dari perniagaan. Tetapi ajaran agama ini disertakan dengan amaran keras terhadap para peniaga yang menipu.
Maka dari dahulu saya berpendapat bahawa kerakusan para peniaga mesti diimbangkan dengan gerakan persatuan pengguna. Kalau persatuan pengguna lemah, maka bermaharajalelalah para peniaga.
Justeru masa saya tingkatan empat iaitu pada tahun 1975 saya melanggan akhbar Utusan Pengguna. Untuk itu saya sekaligus menjadi ahli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Lambangnya adalah dacing sebagai tanda keadilan bagi pengguna.
Saya ingat ketika mula Barisan Nasional ditubuhkan, Utusan Malaysia menyiarkan jawapan kepada persoalan seorang pembaca yang mempertikaikan bahawa lambang BN sebagai meniru logo CAP.
Lambang
Maka disiarkan lambang-lambang itu untuk menunjukkan perbezaan antaranya, walaupun kedua-duanya adalah dacing.
Pada tahun 1993, ketika menjelang Perang Teluk yang pertama, saya berkesempatan menyertai rombongan persatuan-persatuan Malaysia untuk ke Baghdad, Iraq sebagai tamu Presiden Saddam Hussein.
Dalam rombongan itu turut serta ialah Presiden CAP, SM Idris . Itulah pertama kali saya bertemu dan mengenalinya dari dekat.
Sejak itu, ketika mana saya ke Pulau Pinang saya akan bertemu dengannya. Begitu juga bila beliau datang ke Kuala Lumpur, saya akan cuba berjumpa dengannya.
Pada tahun 2007 ketika sibuk isu perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat, beliau datang ke pejabat Utusan bersama aktivis ekonomi global, Martin Khor di mana Mingguan Malaysia mengetengahkan hujah-hujah mereka mengenai isu itu.
Sebelum hari raya tempoh hari, SM Idris meminta saya datang ke Pulau Pinang untuk bertemunya. Dengan kesibukan yang amat sangat, saya agak keberatan untuk memenuhi permintaannya.
“Pentingkah?” saya tanya pegawainya. “Amat penting,” jawabnya.
Maka beberapa minggu lalu saya pun ke Pulau Pinang untuk menemuinya dan ingin mengetahui apa yang dianggap sebagai penting.
Di depannya, beliau menyerahkan sebuah buku bertajuk The Armies of God. A Study of Militant Christianity oleh Iain Buchanan terbitan Citizen International.
Saya pernah melihat buku ini di kedai Popular di Kuala Lumpur tetapi tidak membacanya. Beliau juga memberi saya beberapa tulisan tambahan yang ada kaitan dengan Malaysia.
Memang benar. Penting dan mengejutkan apabila isinya ditelaah.
Buku ini memaparkan pakatan antara golongan sekular dan agama di Amerika Syarikat untuk terus menguasai dunia sebagai lanjutan kepada penjajahan yang dahulu.
Dalam pertemuan dengannya, SM Idris menyatakan kehairanannya mengapa akhbar Melayu tidak menjadi akhbar paling untung di negara ini.
Saya kata mungkin orang Melayu bukan bangsa perniagaan. Dunia perniagaan dikuasai oleh kaum bukan Melayu. Justeru tentulah akhbar bukan Melayu yang lebih menguntungkan kerana mereka berisi dengan iklan yang dibeli oleh peniaga.
Bukan begitu, kata SM Idris. Bukanlah ahli perniagaan yang menentukan keuntungan. Tetapi para pengguna. Apa yang disebut sebagai pasaran adalah sebenarnya pengguna.
Majoriti pengguna di Malaysia adalah orang Melayu. Perniagaan di negara ini bergantung untung ruginya pada orang Melayu.
Sesiapapun yang berniaga di negara ini perlu mendapatkan sokongan pengguna Melayu. Untuk mendapatkannya tentulah melalui iklan. Maka sepatutnya akhbar Melayu yang lebih untung.
Selanjutnya SM Idris memberi dua petua yang mana orang Melayu boleh berjaya dan bukan seperti sekarang di mana bangsa ini dilanda dengan pelbagai masalah.
Dua perkara yang menyebabkan orang Melayu lemah dan dikuasai kaum lain ialah rasuah dan pemborosan.
Rasuah dan pemborosan ini menjadikan orang Melayu sebagai pengguna yang memberikan kekayaan kepada kaum lain.
Kalaulah orang Melayu dapat mengelak diri daripada rasuah dan bersikap jimat cermat, maka ia akan menjadi kuat.
Menurutnya kekuatan ekonomi kaum lain di negara ini antara lain berdiri atas rasuah dan pemborosan orang Melayu.
Mampukah orang Melayu berhijrah sikap?
PENDAPAT ZIN MAHMUD- DIPETIK DARI RUANGAN UNTUNG SABUT -UTUSAN ONLINE 05 DISEMBER 2010

Wakaf mampu pertahan geoekonomi orang Melayu

oleh Zaini Hassan

BEBERAPA minggu lalu Cuit menulis mengenai kedudukan geopolitik orang Melayu di negara ini. Ada yang menafikan apabila angka-angka yang diberikan mengenai jumlah daftar pengundi yang diusahakan oleh pembangkang melebihi daripada yang dilakukan oleh pihak UMNO dan BN.
Ada yang marah, nafi, melenting kerana kononnya angka itu tidak tepat. Tapi saya berpegang kepada angka itu, kerana ia datangnya dari sumber yang sahih.
Begitu juga apabila saya menulis lagi mengenai kedudukan geopolitik berhubung tanah-tanah berkependudukan Melayu yang dibangunkan dengan kondo-kondo yang mahal-mahal di Kuala Lumpur. Saya membangkitkan soal mengenai kedudukan beberapa kampung setinggan Melayu yang kini sedang mengalami proses transformasi, yang saya yakin tidak mampu didiami lagi oleh orang Melayu asal di situ. Dengar kata ada juga yang marah-marah dengan tulisan itu.
Apa yang saya tulis itu tiada niat lain selain untuk merangsang minda kita, orang Melayu dan politik Melayu supaya berfikir sejenak, sebelum terbabas lebih jauh. Niat saya mungkin baik, tapi ia dianggap sebaliknya dan dilihat dalam konteks yang berbeza.
Namun minggu ini, saya mahu menyentuh lagi mengenai isu pemilikan aset orang Melayu pula. Sama seperti geopolitik juga, tapi kali ini ialah mengenai soal geoekonomi atau geografi ekonomi pula.
Apa itu geoekonomi? Secara kasar ia membawa maksud kajian mengenai aspek politik ekonomi dan sumber-sumbernya. Geoekonomi menurut Wikipedia yang memetik seorang ahli ekonomi Amerika, Edward Luttwak adalah salah satu cabang kepada geopolitik.
Jadi kedua-duanya mempunyai kaitan yang rapat. Saya mahu menitikberatkan mengenai geoekonomi orang Melayu, yang jika tidak diambil berat juga akan membawa musibah untuk jangka masa panjang.
Ia mungkin membabitkan pegangan strategik sesuatu aset, perniagaan atau harta yang dimiliki oleh sesuatu pihak. Dalam konteks ini, pegangan itu dimiliki oleh orang Melayu.
Pagi Sabtu dua minggu lalu saya menghadiri satu persidangan dikenali sebagai Persidangan Kebangsaan Program Transformasi Melayu Muslim dan Wakaf Korporat yang diadakan di Putrajaya.
Jarang-jarang saya mahu menghadiri persidangan seperti ini, terutamanya yang membabitkan orang Melayu. Ada kata-kata sinis yang pernah diucap mengatakan persidangan seumpama itu hanya membuang masa sahaja. Terlalu banyak kongres, persidangan, seminar, wacana mengenai ekonomi orang Melayu sejak puluhan tahun dulu yang jika dikumpulkan kertas kerjanya boleh dibuat pulau, kata seorang pengkritik.
Namun pagi itu, situasinya berbeza. Ia dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang rata-rata saya lihat terdiri daripada Melayu ternama dan berkedudukan dalam dunia korporat dan perniagaan. Pendek kata tetamu yang hadir cukup berkualiti.
Antara penceramah yang menarik perhatian semua ialah Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sekali pandang Ali mirip seperti Colonel Harland Sanders pengasas ayam goreng KFC di Amerika Syarikat. Itulah pertama kali saya melihatnya dari dekat. Rambutnya putih, misainya juga putih. Betul-betul ala Sanders, pencipta KFC itu.
Ali ialah bekas Presiden dan CEO Johor Corporation (JCorp) yang diterajuinya selama 30 tahun. Beliau kini sudah bersara daripada syarikat korporat terkemuka milik kerajaan negeri Johor itu.
Di bawah terajunya, JCorp berjaya memiliki syarikat KFC yang diusahakan di Malaysia daripada seorang pengusaha Cina pada waktu itu. Hasil gigihnya KFC Malaysia mengembangkan sayapnya ke seluruh pelosok negara, termasuklah ke Singapura, Brunei, India dan terbaru ke sebuah negara Indo-China.
Namun pada pembentangannya di pagi itu, semua tetamu yang hadir senyap. Semua tertumpu kepada penerangannya mengenai satu pendekatan baru mengenai wakaf.
Jika selama ini kita hanya mendengar mengenai wakaf tanah kubur, wakaf tanah surau, masjid, madrasah atau sekolah pondok, kini pendekatannya diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Wakaf yang yang dibawanya ialah wakaf korporat atau wakaf syarikat, saham, aset, wang selain harta.
Beliau mempunyai alasan yang kukuh apabila memperkenalkan pendekatan itu iaitu: Bagi mengelakkan aset-aset milik orang Melayu Islam (di negara ini) jatuh ke tangan pihak lain.
Ia berkaitan jihad bisnes membabitkan soal maruah dan strategik bangsa dan agama.
Semua yang hadir, yang ada antaranya terdiri daripada usahawan besar negara tertarik dengan pendekatan itu.
Dalam sesi soal jawab kemudian, rata-rata bersetuju supaya mana-mana aset yang dipegang oleh orang Melayu Islam di negara ini tidak dijual kepada orang lain. Jika perlu dijual sekali pun, juallah kepada lingkungan yang sama atau diwakafkan.
Alasan mereka ialah membabitkan soal geoekonomi orang-orang Melayu yang mungkin akan hilang.
Justeru, Majlis Perundingan NGO-NGO Melayu (MPM) yang menganjurkan persidangan itu telah melantik Yayasan Iqra’ sebagai penyelaras bagi membentuk wakaf korporat itu. Iqra’ akan distrukturkan bagi memenuhi tuntutan menyempurnakan sepenuhnya amanah mutawwali sebagai sebuah badan pengurusan wakaf.
Melalui penerajunya Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Mara, beliau segera menggerakkan beberapa tokoh profesional, termasuk Ali Hashim sendiri untuk membantu merealisasikan ‘jihad busines’ itu.
Ali semasa perkhidmatannya dalam JCorp berpengalaman menggerakkan wakaf korporat melalui penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).
Kita berharap Yayasan Iqra’ yang akan menggerakkan jihad ini dapat menyelamatkan syarikat-syarikat strategik milik Melayu dan Islam daripada jatuh ke tangan orang lain.
Badan wakaf ini juga diharap menjadi pemangkin untuk membantu mengumpul pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera bernilai RM400 bilion menjelang dan selepas 2020, tercapai.
Sebelum menamatkan tulisan ini, saya ingin berkongsi pendapat seorang pembaca dalam majalah Newsweek edisi terbaru (14 Mac 2011) mengulas cadangan seorang profesor ekonomi Niall Ferguson yang mengesyorkan Amerika Syarikat menswastakan aset-aset negara itu bagi menyelesaikan hutang negara itu.
Ini kata surat pembaca itu:
‘‘Dalam cadangan untuk menswastakan aset-aset negara itu, Ferguson telah meletakkan Grand Canyon dan Yellowstone sebagai hadnya. Mengapa dihadkan kepada aset bernilai itu? Cuba fikirkan berapa banyak Disney sanggup bayar jika Yellowstone dibenarkan untuk jualan! Apa yang kita boleh peroleh daripada Pentagon? Pangkalan-pangkalan tentera kita sudah tentu amat bernilai kepada China (jika boleh dijual kepada mereka)...”
Bagi pembaca majalah itu, Grand Canyon, Yellowstone dan Pentagon ialah aset-aset strategik Amerika yang tidak boleh dijual beli sama sekali, atau dipindah tangan. Ia adalah geoekonomi politik Amerika.
Akhir kata, jika dulu kita berhempas pulas dan bermegah memiliki Malayan Banking, Malayan Finance, Kwong Yik Bank, Dunlop, Guthrie dan banyak lagi daripada tangan orang lain, maka pertahankanlah ia.
Ia adalah geoekonomi politik kita.
DIPETIK DARI RUANGAN CUIT UTUSAN ONLINE 24 MAC 2011

Himpunan Bersih 2.0 tidak salah dari segi tujuan, kata Dr Asri

June 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Jun — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak salah dari segi tujuan. Ini kerana jelas Dr Asri, matlamat dan tujuan utama Himpunan Bersih 2.0 adalah untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil yang sepatutnya tidak dinafikan oleh kerajaan.
“Jika tujuannya baik dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik... jika tujuannya baik, caranya salah maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah.
“Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.
“Setelah saya mendengar taklimat Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dan menilainya saya dapati tujuannya baik iaitu menuntut hak yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru jelas beliau, Himpunan Bersih 2.0 perlu diadakan demi masa depan politik yang lebih baik tanpa mengira mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat.
“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti.
“Maka, saya tidak mempertikaikan Himpunan Bersih 2.0 di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum kerana tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihan raya,” katanya.
Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0  yang akan berarak ke Istana Negara dari tiga lokasi berbeza.
Menurut Asri (gambar), beliau tidak menolak demonstrasi yang akan diadakan itu akan mengancam keselamatan negara sekiranya ia tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Beliau juga menegaskan demonstrasi sepatutnya menjadi pilihan terakhir setelah tuntutan yang dibuat tidak ditunaikan.
Justeru, Asri menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar melaksanakan tuntutan yang dibuat Bersih bagi memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.
“Namun oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.
“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan, saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan...dan pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai,” katanya.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak.
“Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi Bersih 2.0 hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati,” tegas Asri.
Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menyertai demonstrasi itu agar tidak mencetuskan provokasi yang boleh membawa berlakunya rusuhan.
“Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses situ berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.
“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa,” katanya.
Tambah Asri, hasrat rakyat menuntut pilihan raya bersih dan adil tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan semua pihak termasuk kerajaan.
“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak termasuk polis, rakyat dan golongan atasan.
“Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai perhimpunan Bersih 2.0 merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu dan memastikan perhimpunan itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,” katanya.
DIPETIK DARI MALAYSIA INSIDER 22 JUN 2011

25/06/2011

OPR – Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya? (Dr. Dzulkefly Ahmad)

Jawapan kepada soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.

Untuk pengetahuan umum,  SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.

Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani  atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari  luar.

Namun, langkah menaikkan Kadar  Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).

Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.

Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi.
Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business)  juga mengalami kenaikan.

Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan  mengalami 20%  kenaikan dalam kos kadar faedah.

Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun  jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saraan hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR telah member isyarat salah dan bakal memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.

Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya mengaharapkan pihak pengurus dana antarabangsa untuk membawa masuk dana luar bagi mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain. Dana atau ‘hot money’ seperti ini juga bukanlah yang dihajatkan oleh negara sebagai “quality investment’.

Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat terus ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seperti IPP, sektor air dan lebuhraya terus mendapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?

Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar  kerajaan yang lain ??

Selarikah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?

KENYATAAN AKHBAR – AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR
Dzulkefly Ahmad, 21 hb Jun 2011.

Sistem ekonomi Negara Kebajikan (Oleh:Isham Rais)

TIBA-TIBA Negara Kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan Muktamar PAS tahun 2011 yang baru selesai dua minggu lalu. Hasil dari Muktamar ini umum telah diberitahu bahawa PAS akan  membawa Negara Kebajikan sebagai  akidah perjuangan.
Bila sahaja PAS mengajukan Negara Kebajikan kepada umum, dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru mengikut United Malays National Organisation, PAS hanya menjadi Pak Turut.
Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya Negara Kebajikan. Saya yakin – ramai  yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalan dasar Negara Kebajikan.
Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai agenda Negara Kebajikan, ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam Negara Kebajikan.
Hampeh. Pengakuan United Malays National Organisation ini betul-betul mengelirukan ramai warga. Pengakuan United Malays National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui yang dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama Negara Kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ianya bukan Negara Kebajikan.
Sesudah kita semua menyedari ‘cakap tipu’ United Malays National Organisation ini, biar saya sambung penerangan tentang Negara Kebajikan. Sesebuah Daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia nyata kita pada hari ini, hanya ada dua bentuk sistem ekonomi. Ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain lain hanyalah pecahan dari  sistem ekonomi ini.
Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.
Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal –  sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan hidup. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang melambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat orang Melayu tunduk kepada Raja walaupun Raja itu hampeh. Hingga ke hari ini, saki baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.
Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Saudi Arabia telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Khutub Utara yang sejuk bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.
Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tatasusila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang di sedia pakai.
Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi – kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin dicapai.
Ini adalah hakikat pertentangan dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba dikelentong dengan kata-kata ‘sama sama menang’ atau ‘win win situation’. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng dibuka yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat Loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama sama untung.
Dalam bahasa orang kampung – tidak mungkin towkay untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya, ini adalah kata-kata dari orang yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar atau membaca kata-kata – win win situation –  kata-kata ini datangnya dari mulut politikus  United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.
Dalam sisem ekonomi kapitalis, pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan tawkey balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali Orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafiq yang menyorokkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.
Saya amat berharap yang para pembaca yang budiman telah faham bahawa politik itu ialah ekonomi.  Perebuatan kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini didalam negara kita.
Biar saya jelaskan disini bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya, ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini  akan menyokong United Malays National Organisation parti ini menyebelahi kepentingan mereka.
Bagitu juga pendukung yang mengajukan sistem ekonomi sosialis – mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin  yang hidup tanpa harta kekayaan.
Justeru, sekali lagi saya tunjukkan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul di mana hendak kita letakkan Negara Kebajikan yang telah diajukan oleh parti PAS?
Biar saya terang dengan sejelas mungkin tentang Negara Kebajikan ini. Negara Kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa Negara Kebajikan ini adalah satu sistem ekonomi. Bukan.
Negara Kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara Kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis  sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa  kemunculan Negara Kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa Pas ini bukan parti sosialis. PAS mengakui diri sebagai parti Islam.  PAS sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.
Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci al-Quran yang dimunculkan adalah  ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan Negara Kebajikan. Justeru terpulangkan kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan Negara Kebajikan.
Ditahap tamadun manusia hari ini, Negara Kebajikan hanya dapat diwujudkan  melalui  struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan – bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?
Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh  propaganda ‘perang dingin’ yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari  kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideloji  sistem ekonomi. Idealogi sistem kapitalis yang dikepalai oleh Amerika dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Rusia. Pertempuran ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.
Adalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak  memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti enjin kereta yang wujud. Tugas enjin  hanya untuk bergerak dari Kampung Ini ke Kampong Itu. Tidak mungkin enjin kereta ini beragama dan bertuhan.
Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua  memiliki padangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang  penganut agama Islam yang selalu bersedekah  tetapi dia juga ialah seorang kapitalis yang besar.
Begitu juga dengan Bill Gates tuan empunya Microsoft – dia pula seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan ialah bukan agama dan kepercayaan yang penting, tetapi akidah. Bill Gates dan Syed Mokhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Akidah mereka ialah keuntungan maksima.

(Bahagian dua minggu hadapan)
Artikel ini tulisan Hishamudin Rais yang diterbitkan di keadilandaily

13/06/2011

BUKAN BARANG NAIK, RINGGIT YANG JATUH- Subky Latif

-PERTIMBANGAN sedang dibuat apakah harga runcit minyak akan naik atau kekal setakat yang ada yang rasanya sudah cukup tinggi dan membebankan.
Jika naik dikatakan mungkin setinggi 20 sen seliter. Tidak lari dari berbelas-belas sen.
Cakap-cakap tentang kenaikan itu ialah kerana kajian tentang harganya sudah ditentukan sekarang setiap enam bulan sekali. Genap enam bulan itu tiba pada Jun ini.
Kemungkinan naik ialah disebabkan harga minyak di pasaran dunia biasanya naik menggila. Bila ia naik maka Malaysia yang mengeluarkan minyak itu pun menaikkan harga runcitnya.
Sekali pun Malaysia negara pengeluar minyak tetapi Malaysia bukan syurga bagi pengguna minyak. Ia tidak bertuah seperti lain-lain pengeluar minyak, kendati pun minyak naik di pasaran dunia tetapi pengguna minyak tempatan menikmati hanya minyak yang amat murah.
Bagi negeri itu sebotol air mineral jauh lebih mahal dari seliter minyak. Di negeri kita, air mineral mahal dan minyaknya juga mahal.
Bila minyak didesas desuskan akan naik, maka ia dipercayai akan naik. Bila ia naik maka ia akan diikuti oleh naik segala-galanya.
Kerajaan manusia yang ada di Malaysia tidak berupaya untuk mengelakkan membayar lebih dari harga yang ada sekarang. Dalam bahasa biasanya ialah harga barang akan naik.
Barang-barang dari dulu hingga sekarang sebenarnya tidak berupaya dicegah oleh kerajaan. Bukan kerajaan yang dapat menentu dan mengawal harga. Ia ditentukan oleh peniaga. Kerajaan tidak cukup polis untuk mencegah mana-mana saudagar dan pembekal dari menaikkan harga.
Bila kerajaan tidak beri persetujuan harga dinaikkan, maka barang pun hilang dari pasaran. Buat apa pun tak jalan melainkan setuju ia dinaikkan. Bila naik barang pun ada balik.
Siapa juga jadi menteri, seiapa juga jadi menteri kewangan dan siapa juga jadi perdana menteri, maka belum ada yang benar-benar dapat mengawal harga barang kerana ia ditentukan oleh para peniaga. Sah kerajaan menjadi pihak yang tidak berkuasa mengawal harga barang dan gagal dalam membendung kenaikan harga.
Tetapi harga yang dirasakan naik itu sebenarnya bukan kerana ia sengaja hendak dinaikkan begitu saja tetapi apa yang terjadi yang menyebabkan penggsuna terpaksa membayar lebih ialah disebabkan oleh nilai wang itu jatuh.
Duit seringgit 20 tahun dulu cukup untuk  secawan teh atau kopi susu bersama sekeping  rota canai dan satu kuih yang lain. Tetapi seringgit hari ini sekeping roti canai dan secawan kopi o tak cukup. Sekadar RM4 ribu dulu cukup bagi seorang naik haji ke Mekah. Tetapi sekarang duit sejumlah itu sekarang layak untuk umrah kurang dari dua minggu.
Bagi yang menabung di Tabung Haji yang mencarum tetap sekian banyak sebulan, lagi lambat dia mencukupkan keperluan yang dikehendaki bagi membolehan dia naik haji, lagi lambatlah dia naik haji, sampai bila pun keperluan itu tidak akan cukup melainkan dia terpaksa mencukupkannya dengan cara lain untuk membolehkannya naik haji.
Mengapa? Kerana kerajaan tidak dapat mengawal nilai duit. 20 dan 30 tahun dulu kita kata Indonesia tidak dapat mengawal nilai rupiahnya. Orang yang bertahun-tahun menyimpan  wang untuk membeli rumah atau motokar, apabila agak cukup simpanan itu, tiba-tiba nilai rupiah jatuh mendadak. Duit yang mereka simpan tiba-tiba nilainya tinggal separuh.
Sepuluh tahun dulu saya selalu ke Istanbul. Liranya jatuh setiap jam. Dolar Amerika yang ditukar sebelah pagi dapat sekian banyak. Jika ditangguh hingga tengah hari, lebih banyak Lira diperolehi dari dolar yang sama. Sebelah petang lagi banyak.
Jika ada cukup Lira untuk membeli sesuatu barang, belilah masa itu juga. Jika tunggu esok, harganya berubah dan Lira itu tidak lagi cukup.
Kerajaan Tayyib Erdogan berjaya mengawal nilai Lira. Liranya stabil. Tidak perlu menggunakan ribu-ribu dan juta Lira lagi. Harga pun sudah stail. Ertinya kerajaan yang baik dapat mengawalnya.
Tetapi di negeri kita, harga ayam dan ikan hampir berubah setiap hari. Ringgit yang cukup untuk membeli seekor ayam enam bulan dulu, tidak boleh membelinya dengan jumlah ringgit yang dulu. Nilai duit sudah jatuh banyak.
Saya hendak menukar tayar. Saya sudah pastikan harganya. Saya tunggu hujung bulan bagi mencukupkan duit yang diperlukan. Bila ke kedai tayar hujung bulan, harganya sudah tidak sama lagi.
Sekarang kita tidak mahu lagi bercakap tentang kenaikan harga barang tetapi lebih suka bercakap tentang nilai duit jatuh setiap hari. Bila duit jatuh nilai,  gaji menteri bulan ini lebih rendah dari bulan hadapan. Di samping menimbangkan harga baru bagi barang keperluan, kabinet juga perlu menimbangkan gaji baru bagi menteri.  Ia bukan kerana barang naik tetapi kerana nilai ringgit jatuh setiap hari.

12/06/2011

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN -DS Abdul Hadi Awang

MUKADDIMAH
الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين  ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين.

1.            Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato’ Mursyidul ‘Am, Sohibul Fadhilah Dato’ Timbalan Mursyidul ‘Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Yang Berhormat Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato’ Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat,  NGO, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

2.            Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun ini di bangunan yang sudah bertukar wajah menjadi mercu baru dalam sejarah PAS. Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.
3.            Kita memulakan perjuangan ini di atas landasan yang benar dengan sejarah tersendiri. PAS ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang bertali arus di sepanjang zaman, melibatkan para ulamak, para ilmuwan dalam segala bidang dan rakyat, bagi melangsungkan perjuangan Islam yang tidak tamat dengan wafatnya Rasulullah SAW.
4.            Inilah yang kita sentiasa pertegaskan, bahawa PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bercirikan tarbiyah dan dakwah, yang mempunyai perkiraan dengan ibadah dan amanah dari Allah SWT.
5.            Kita percaya bahawa penglibatan kita dengan PAS adalah bagi mengisi hidup kita dengan amal yang soleh, penuh kebajikan yang berpanjangan dan mengharapkan keampunan Allah dan pertolongan-Nya, kerana menyahut seruan Allah SWT dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan al-salaf al-soleh, yang dinyatakan oleh firman Allah :


Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?  (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah kemenangan yang besar.  Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (di dunia). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

PENEGASAN PERANAN PAS
Para hadirin dan hadirat sekalian,
6.            Setiap ahli PAS mestilah berpegang teguh dengan Islam, beriman, melaksanakan kebajikan secara berterusan, dan kita berpolitik pula mestilah mengikut panduan Al-Quran, kerana itulah perintah dalam Al-Quran yang menjadi pedoman kita semua. Kita tetapkan dalam undang-undang tubuh PAS, bahawa yang memandu kita ialah Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak para ulamak dan Qiyas yang nyata. Bagi menjamin kewibawaan PAS dengan Islam yang bersumberkan perkara tersebut, maka diwujudkan Majlis Syura Ulamak bagi mengawal perjalanan PAS, supaya sentiasa di atas landasannya dengan istiqamah.
7.            Peranan kita ialah membawa mesej Islam secara praktikal kepada seluruh manusia, berdakwah dan berpolitik bagi menterjemahkan keadilan syariat Allah kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan asal usul mereka, dengan berwawasan dunia hingga akhirat. Inilah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT :
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين .
Dan tidaklah kami utuskan mu melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam

8.            Di sepanjang perjalanan beberapa dekad dan generasi, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan diperingkat negeri, menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan  kita juga melaksanakan tahaluf siyasi.
9.            Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS ini, telah menjadi sebahagian daripada Feqah Politik Islam yang wajib dipelajari oleh pimpinan PAS dan diperkenalkannya kepada masyarakat supaya mereka memahami perbezaan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala’ antara UMNO dalam BN, yang mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar.
10.       Kita menjadi parti yang hidup berkembang dalam semua pengalaman tersebut.  Di sepanjang masa jentera kita bergerak dan tetap istiqamah di atas landasan Islam. Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini.
11.       Yakinlah, bahawa kitalah kumpulan yang memenuhi ciri umat di kalangan umat yang besar, parti atau kumpulan di kalangan umat Islam yang ramai, yang dinyatakan oleh Allah :

Dan hendaklah ada di kalangan kamu (umat Islam seluruhnya) satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.
12.       Inilah ciri kumpulan Islam, iaitu (1) berdakwah mengajak kepada kebajikan, (2) menyuruh kepada yang baik dan (3) mencegah kemungkaran. Kita melaksanakan semua tuntutan ini sehingga mencapai kemuncaknya menegakkan negara yang berkuasa memerintah, menurut kaedah ilmu Islam yang berkembang di sepanjang zaman, menerusi prinsip maqasid syariah dan siyasah syar’iyyah nya.
13.       PAS memilih pendekatan demokrasi kerana bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka di mana sahaja ruang yang ada. Bagi melaksanakan pendekatan ini, maka uslub yang menarik adalah penting bagi tujuan mengembalikan umat Islam khususnya masyarakat Melayu yang digulakan dengan semangat perkauman sempit dan tidak berpijak kepada dasar Islam yang sebenar.
Para Hadirin dan hadirat sekalian,
TEMA MUKTAMAR
14.       Muktamar ini berlangsung di ambang pilihanraya umum ketiga belas yang akan diadakan pada bila-bila masa. Medan pilihanraya itu nanti akan menjadi medan juang yang sangat sengit kepada kita. Maka di atas komitmen ini, tibalah masanya pula kita memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang kita bawa sebagai asas komitmen kita, untuk mentadbir negara masyarakat majmuk ini secara bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
15.       Mauduk yang begitu besar ini, menuntut kita untuk membawa tema MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN, sebagai tema muktamar pada tahun ini. Ini bertepatan dengan perjuangan PAS yang berkonsepkan amal kebajikan, di mana seluruh kegiatan kita selama ini adalah kebajikan, apabila Allah SWT memberi kemenangan dengan pertolongannya maka wajib diisi dengan kebajikan.
16.       Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita, bahawa Islam yang difahami oleh kita adalah sempurna yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan Allah, diri manusia dan makhluk yang lain. Islam yang terkandung di dalamnya seluruh cara hidup manusia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya.
17.       Walaupun mungkin adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk. Walau pun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan  seperti rasuah dan sebagainya. Inilah kerjasama yang menuntut kita untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi membawa agenda perubahan ini.
18.       Ucapan dasar ini adalah menggariskan dasar umum serta falsafahnya yang berpihak dan menepati Islam. Maka pemahaman konsep kebajikan dan objektifnya adalah sangat penting kepada kita semua, supaya apa yang kita rancangkan sebagai agenda parti sepanjang sesi ini dapat dilaksanakan, yang akan terus menerus diperincikan oleh seluruh jentera parti di berbagai peringkat dari masa ke semasa.
KONSEP KEBAJIKAN MENYELURUH
19.       Dalam kita mengungkap konsep kebajikan menyeluruh ini, maka kepimpinan yang menerajui negara berkebajikan adalah di kalangan yang berilmu dan bertakwa. Maka Islam menegaskan bahawa berpolitik adalah tugas para nabi dan pengikutnya yang setia. Rasulullah SAW bersabda :
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ  صحيح البخاري - (ج 11 / ص 271(
Kaum Bani Israel di zaman dahulu, yang menjadi pemimpin siyasah (politik) mereka ialah para nabi. Setiap nabi yang diwafatkan diganti nabi selepasnya. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku, namun akan ada para Khulafa (Pemimpin) yang mengganti tugas ku, akan lahir jumlah yang ramai. Para sahabat bertanya : “Apakah perintah kepada kami ?” Sabda Rasulullah : “Bersetia dengan berbai’ah kepada yang paling dahulu, seterusnya yang berikut. Berikan kepada mereka hak yang wajib ditunaikan. Maka sesungguhnya Allah akan menyoal mereka daripada tugas yang diberikan kepada mereka.
20.       Islam telah mengikat kepimpinan negara dengan dasar dan konsep yang berlandaskan iman. Firman Allah :
Maksudnya :
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu bertelingkah pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
21.       Inilah rupa bentuk kepimpinan yang layak dan boleh menunaikan amanah, iaitu pemimpin yang digelar ulul amri, dengan menjadikan politik adalah amal yang soleh, bukannya peluang diri dan kelompoknya. Bukan kepimpinan yang hanya beragama di masjid pada hari jumaat, ditikar sembahyang dan di masa haji dan umrah, di waktu musabaqah Al- Quran dan Maulid al-Rasul. Ada pun selepas itu agama tidak boleh dicampur dalam urusan politik dan pentadbiran negara, sehingga mereka sendiri boleh pula memilih pemimpin yang rasuah, serta mendapat sokongan rakyat dengan rasuah dan menipu, seterusnya boleh melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan Islam.
22.       Kita bukan berteori, kerana kini kepimpinan PAS telah mengambil kedudukan mentadbir pemerintahan di peringkat negeri-negeri. Kepimpinan bebas rasuah, telus, berhemat, adil untuk semua telah menjadi testimoni kemampuan kepimpinan PAS yang dapat dilihat di negeri Kelantan selama lebih dua dekad, kini di Kedah, dan pernah di Terengganu dan Perak suatu masa yang lalu.
23.       Manakala politik yang berkonsepkan Islam pula mengakui wujudnya masyarakat majmuk berbilang agama, dan memelihara hak beragama kepada penganut berbagai agama yang dilindungi pemerintahan yang mengamalkan prinsip semak-imbang dalam pemerintahan.
Firman Allah :
Sekiranya Allah tidak menolak (kezaliman) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat  dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (Agama) Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

24.       Prinsip bahawa ‘keganasan sebahagian manusia di tolak dengan sebahagian manusia yang lain’  adalah merupakan intipati semak-imbang yang ditegaskan oleh Islam, adalah untuk melindungi kesejahteraan di muka bumi termasuklah kesejahteraan ekonomi, jiwa, keselamatan dan aman dari kerosakan. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 251 :
Maksudnya :
Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.

25.       Kerajaan pula adalah pemegang amanah terhadap sumber negara daripada rakyat, wajib dikendalikan dengan adil terhadap masyarakat dengan bahagian yang besar dan haram harta itu berkisar di kalangan orang kaya tertentu bersama pemimpin negara. Firman Allah SWT :
Maksudnya :
Apa saja harta fai-i (yang diambil oleh negara) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal daripada penduduk sesebuah negeri. Maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.
26.       Konsep tersebut diterjemahkan kepada negara berkebajikan dengan makna yang luas, merangkumi segala aspek, kerana Islam meletakkan semuanya dalam amal kebajikan yang dikira pada hari akhirat, bukan hanya berbudi dan berjasa di dunia sahaja.

OBJEKTIF NEGARA BERKEBAJIKAN
27.       Dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata. Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan.
28.       Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan. Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka. Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah.
29.       PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan. PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara.
30.       Maka PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.
31.       PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan. Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat.
32.       Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan. Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah.
33.       Negara berkebajikan yang ingin kita capai ialah bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini tetapi  jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.
34.       Negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.
35.       Negara berkebajikan juga melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman. Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat.
36.       Kaedah perundangan Islam menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya. Sesorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman. Islam menggalakkan orang yang bersalah bertaubat dan memebuat penyelesaian di luar mahkamah kerana balasan bukan sahaja di dunia, bahkan ada lagi balasan dalam kubur dan selepasnya, kalau terlepas di dunia tanpa taubat. Islam membuktikan wujudnya keamanan dengan kehebatan undang-undang yang adil, bukan menakutkan rakyat dengan undang-undang yang zalim.
37.       Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-berlumba mendapat pahala. UMNO/BN telah melemah dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat.
38.       Bagi melaksanakan tujuan tema ini, maka PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati utama iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus-tadbir ekonomi, dan seterusnya memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan. Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa.
AGENDA MEMBETULKAN FAHAMAN SALAH
Para hadirin dan hadirat sekalian,
39.       PAS telah berjaya mengurangkan suara ajaran sesat yang mempengaruhi orang Melayu Islam, bahawa politik tidak ada hubungan dengan agama Islam. Ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah.
40.       Walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, tetapi tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat. Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita. Politik seperti ini perlu dimurnikan, dan sudah tentunya UMNO/BN akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.
41.       Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya. Firman Allah SWT :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila melaksanakan hukum di antara manusia supaya kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

42.       Dalam pentas politik negara kita ini, UMNO adalah merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi telah dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama. Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini.
43.       Inilah yang terus menerus berlaku apabila urus tadbir dan tata-kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam. Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab.
44.       Umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini.
45.       Di masa yang sama, UMNO sekadar mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam, kerana Melayu UMNO tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, UMNO telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka.
46.       Allah SWT telah membuktikan bahawa semua bangsa yang kuat berpegang dengan Islam menjadi bangsa yang memimpin dunia, walau pun bangsa itu dilahirkan di bumi yang kering tanpa hasil. Manakala umat Islam dari mana-mana bangsa pun sekiranya meninggalkan Islam walau pun ramai jumlah dan kaya raya, menjadi  perosak, zalim dan lemah, seterusnya tidak layak memimpin dan akhirnya hancur musnah, walau pun menjadi kuasa besar dunia.
47.       Maka menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik UMNO bahawa mereka sahaja boleh memerintah.
48.       PAS wajib menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman politik dengan peringatan Allah SWT :
Maksudnya :
Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman atau selamat dari kedatangan seksaan kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur ?. Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan kami kepada mereka di waktu dhuha (pagi yang terang) ketika mereka sedang bermain ?. Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.

49.    Ingatlah bahawa bencana azab boleh berlaku melalui tangan manusia sendiri yang memerintah dengan zalim dan fasiq atau bencana alam semula jadi. Cukuplah dengan permulaan amaran melalui kenaikan harga barang keperluan, kemiskinan dan pengangguran, jenayah dan maksiat, berbagai penyakit dan alam sekitar yang rosak. Semua gejala negatif ini merupakan bala yang memakan diri dan membawa kemusnahan.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
AGENDA MEMBETULKAN SALAH URUS EKONOMI
50.       Dalam berdepan dengan krisis dan kemelut ekonomi ini, PAS kembali menegaskan bahawa menguruskan khazanah kekayaan negara mesti berpaksikan matlamat untuk memakmurkan seluruh penghuni muka bumi ini sesuai dengan peranannya selaku Khalifah Allah SWT.  Tanggungjawab ini merupakan suatu amanah yang mesti ditunaikan bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan bahkan pada kemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah.
51.       PAS menegaskan bahawa berdasarkan prinsip ini, maka sesebuah kerajaan mestilah menyerlahkan dan mengoperasikan penghayatan ini, bukan hanya pada tahap memperkenalkan polisi-polisi semata-mata bahkan lebih penting adalah dalam sistem penyampaian. Ini adalah untuk memastikan pengagihan kesejahteraan ekonomi ini sampai kepada rakyat di bawah yang memerlukan tanpa mengira latarbelakang politik, kaum dan agama seseorang itu.
52.       Apa yang kita saksikan hari ini adalah segala-galanya yang bercanggahan  dengan kaedah pengurusan dalam Islam yang meletakkan panduan keutamaan atau – Fiqh Al-Awlawiyyat – iaitulah mendahulukan yang lebih penting dari yang penting – “Taqdim ahammu Minal Muhim”.
53.       Prinsip urus tadbir ekonomi ini akan dapat menjauhkan negara dalam perbelanjaan yang ‘salah’ dari segi keutamaan. Manakah yang lebih utama, samada membina Menara Warisan RM5 bilion atau melaburkan dalam keperluan perkhidmatan asas – seperti pendidikan, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan dan pengangkutan ?.
54.       BN tidak memahami ke semua perhitungan ini kerana tidak mengambil kerangka dan asas pemikiran seperti dianjurkan oleh Islam. Sebaliknya urus-tadbirnya hanya untuk kepentingan kelompok tertentu yang ada hubungan dengan elit politik kerajaan UMNO/BN.
55.       Inilah hakikat disebalik pelbagai cerita buruk dan skandal kegagalan projek mega – samada RM12.5 bilion kerugian dalam PKFZ dan RM1 bilion kos tambahan dalam projek Empangan Bakun, projek Istana Negara yang akhirnya dikatakan akan melonjak menjadi RM1 bilion!. Khazanah rakyat akan terus menghangus sekiranya UMNO/BN terus memerintah, ditambah lagi apabila wujudnya projek mengampu yang dilaksanakan dengan menggunakan wang rakyat.
56.       Negara kita di suatu masa diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai antara yang terkaya di segi sumber negara per kapita rakyat, hari mendapati negara ini hilang daya-saing dan dibebankan dengan hutang awam yang tinggi. Gejala jurang kekayaan antara kaya-miskin semakin melebar, pertumbuhan wilayah semakin tidak seimbang, inflasi meningkat, harga barang keperluan melambung naik sehingga membebankan rakyat, kos sara hidup asas rakyat meningkat dan pendapatan rakyat terperangkap dalam julat  ‘pendapatan sederhana’. Terkini Malaysia berdepan dengan pertumbuhan yang semakin lembap iaitu 4.6% dalam suku pertama berbanding 10.1% dalam suku pertama tahun 2010.
57.       PAS bersama rakan Pakatan Rakyat menerbit dokumen penyelesaian alternatif kepada kemelut ekonomi negara sebagaimana yang diperincikan dalam Buku Jingga. Janji 100 hari yang kita ungkapkan bersama dengan Pakatan Rakyat bukannya suatu omongan, tetapi ikrar kita kepada rakyat sekiranya pemerintahan Putrajaya berjaya berubah ke tangan kita.
58.       Pendekatan agenda membetulkan urustadbir ekonomi yang PAS bawa adalah menekankan bahawa sesuatu “Perubahan Ekonomi” hanya akan dapat direalisasikan oleh sesebuah kerajaan yang juga melaksanakan  ‘Reformasi Politik’.  Ini juga selari dengan penegasan Islam yang menekankan bahawa urusan ekonomi mesti ada sangkut – pautnya dengan politik bahkan prinsip moral dan akhlak, ada perhitungan dosa-pahala dan bimbingan syariatnya.
59.       Kami yakin sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara ini, kami akan uruskan demokrasi agar ianya berfungsi dengan betul, seterusnya mengembalikan keyakinan, kewibawaan dan integriti kepada institusi-institusi kritikal dalam Negara, sekaligus mewujudkan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pentadbiran yang baik, maka kegiatan ekonomi dan pelaburan akan dapat dirancakkan dalam satu eko-sistem yang menggalakkan.
60.       Ini akan serentak mewujudkan persaingan sihat dan menggalakkan pemacuan daya-saing melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Produktiviti pula mesti dipacu oleh peningkatan tahap pendidikan dan kebebasan berkarya, dan ini bermula dengan mengiktiraf martabat para pendidiknya.
61.       Begitu juga tentang penstrukturan semula Felda Plantation bagi tujuan memajukan peneroka supaya menjadi pemilik-pengusaha yang punya daya-saing yang tinggi dan memastikan hak milik mereka dibela, melaksanakan program khusus terhadap golongan petani, nelayan, buruh di berbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan, kakitangan kerajaan, yang semuanya menjadi nadi kepada denyutan ekonomi negara. Kita sekali-kali tidak akan membiarkan kerajaan memperhambakan rakyat dalam memacu pembangunan negara ini.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
AGENDA MEMIMPIN RAKYAT MELAKSANAKAN ISLAH
62.       PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Polisi Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS. Ianya melibatkan suatu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urustadbir negara. Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat.
63.       Kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan UMNO/BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila. Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan.
64.       Rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup, peluang yang sempit dan cara yang tidak telus. Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil mengikut makna demokrasi yang sebenar. Demokrasi bukan sahaja hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat daripada semua parti dan calon yang bertanding melalui media yang terbuka.
65.       Apa yang berlaku ialah, rakyat dizalimi dengan hanya disogokkan dengan maklumat dan hujah satu pihak sahaja, apabila BN yang memerintah menggunakan jentera penerangan milik kerajaan, masuk ke dalam tiap-tiap buah rumah di sepanjang masa dan di masa pilihan raya, sedangkan parti-parti dan calon-calon yang lain diberi peluang yang sangat terbatas, disertakan dengan undang-undang dan ugutan. Mereka tidak boleh menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.
66.       Rakyat terus di bendung mindanya dengan media cari makan semata-mata, bukannya makan untuk hidup dan berbakti dengan ikhlas. Allah SWT pernah mengutuk amalan membodohkan rakyat yang pernah dilakukan oleh Firaun. Firman Allah :
Maksudnya :
Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir Ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai Ini mengalir di bawahku; Maka apakah kamu tidak melihat(nya).   Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?. Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang dari emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringinya?.             Maka Fir'aun mempengaruhi kaumnya sehingga menjadi bodoh, lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.

67.       Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan atau pemimpin tidak boleh bertahan dengan zalim dan menipu, kerana akhirnya akan jatuh secara hina di dunia dan paling hina di hari akhirat. Akibat ini pernah berlaku dalam sejarah lama dan moden. Maka banyak pemimpin negara yang matang demokrasi berundur dengan cara terhormat atau meletak jawatan atau bersedia dengan terbuka menerima keputusan rakyat secara bebas.
68.       Islam memerintah umatnya supaya berani menentang kezaliman dan meletakkannya jihad paling afdal. Sabda Rasulullah SAW :
أفضل الجهاد كلمة عدلٍ عند سلطانٍ جائرٍ( رواه أبو داود، والترمذي).
Jihad paling afdal ialah menyatakan yang adil kepada pemerintah yang zalim
69.       PAS akan meneruskan kempen dan membawa suara rakyat yang mahukan pendemokrasian menyeluruh dilakukan dalam sistem pilihan raya melalui langkah-langkah yang akan disusun oleh jentera parti, termasuklah menggerakkan ahli turun menyuarakan bantahan secara terbuka bersama dengan NGO yang ingin melihat suatu sistem yang lebih adil dan telus dalam negara kita ini.
70.       PAS juga memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media secara adil dan bertanggungjawab, akan terus memperhebatkan tekanan ke arah pembubaran akta yang menekan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan seumpamanya.
71.       PAS juga komited memperjuangkan pemansuhan akta – akta yang zalim dan disalahgunakan seperti ISA, dan melakukan islah menyeluruh dalam mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara serta PDRM. Islah ini bukan sahaja menuntut perubahan sistem, tetapi memerlukan pengislahan minda dan spiritual seluruh pegawai atau manusia yang menggerakkan sistem itu sendiri.
72.       Muafakat bersama PAS ini juga berikrar untuk membetulkan konsep federalisme songsang yang diamalkan oleh UMNO/BN pada waktu ini, terutamanya memantapkan semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
PILIHANRAYA UMUM KE-13
73.       Sepanjang setahun sesi yang baru sahaja berakhir, kita berdepan dengan empat  pilihan raya kecil yang ditandingi oleh PAS iaitu di Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau, di mana yang terakhirnya kita sama-sama bekerja dengan PAS Sarawak dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-10 DUN Sarawak pada bulan April yang lalu. Tahniah dan syabas kepada seluruh jentera pilihan raya kita.
74.       Walaupun pilihan raya kecil dan DUN Sarawak ini tidak sepenuhnya berpihak kepada kita, tetapi kita berjaya melebarkan pengaruh parti secara umum dan berjaya menubuhkan cawangan-cawangan PAS secara khususnya. Ketahuilah bahawa kejayaan kita bukan hanya menang pilihan raya, tetapi kejayaan juga berlaku dengan mendapat hanya seorang walaupun tidak menjadi ukuran kemenangan pilihan raya dan walaupun hilang wang deposit, kerana kita berpandukan sabda Rasulullah SAW :
فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم (متفقٌ عليه(
Maka demi sesungguhnya, dengan kejayaan mu hanya seorang sahaja berjaya diajak kepada petunjuk Allah, lebih mahal pahalanya daripada kenderaan yang paling mahal harganya.
75.       Sekarang ini kita berdepan dengan hiruk-pikuk paluan gendang menandakan pilihan raya umum ke 13 semakin hari semakin hampir. Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan membuka bilik gerakan dan aktivitinya dengan penuh taktikal, seterusnya menyiapkan gerakerja secara berstrategi yang akan diperincikan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat nanti. Manakala ILPAS juga perlulah melalui fasa keduanya dalam menjadi nadi utama latihan kepada semua petugas parti di pelbagai peringkat.
76.       Dalam masa yang sama, semua Dewan dan aktiviti PAS Kawasan hendaklah sekurang-kurangya melaksanakan 70% tumpuan program ke arah mendekati pengundi yang masih menunggu PAS bertemu dengan mereka dan golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan dalam pilihan raya yang akan datang nanti.
77.       Manakala jentera di peringkat UPU pula wajar mengalami perubahan drastik di atas peranan mereka yang semakin penting, terutamannya kerana merekalah yang setiap hari berada paling hampir dengan pengundi di unit yang paling kecil dalam sistem pilihan raya kita ini. Mereka wajar mengenali kesemua pengundi di lingkungan mereka seumpama mereka mengenali saudara-mara mereka sendiri.
78.       Kesemua jentera parti ini perlulah mendekati dan mengajak pengundi dengan penuh kesabaran untuk menyokong kita dengan bahasa yang penuh kemesraan dan hikmah. Santunilah pengundi yang ada di depan kita secara peribadi supaya akhirnya mesej kita kepada mereka dapat disampaikan dan diterima oleh semua, kerana pendekatan ceramah terbuka kadangkala hanya berlegar di kalangan ahli kita sahaja.
79.       Pada hari ini juga, marilah sama-sama kita berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir secara bersama ini dengan sepenuh kudrat yang kita ada, biarlah keringat kita membasahi bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi, kita akan mempertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
CABARAN TERHADAP ULAMAK
80.       Kalangan ulamak adalah pemimpin masyarakat paling berpengaruh dalam masyarakat Islam. Walaupun begitu masih ramai yang tidak berpijak dengan Feqah Politik Islam, kerana ada yang menyokong UMNO/BN kerana tidak mampu menterjemah kefahaman Islam dengan ilmunya dalam memahami politik semasa, akibat dari dilahirkan daripada sisitem pendidikan Islam yang lemah, tanpa memahami sejarah dan senario kelahiran mazhab dan kumpulan yang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam yang sudah berada dalam lipatan sejarah.
81.       Golongan ini juga akhirnya gagal memahami ideologi dan teori moden yang bercanggah dengan Islam  sehingga terperangkap di dalamnya, menjadikan mereka berilmu, tetapi tidak feqah (faham) lantas gagal menunjukkan jalan kepada mereka, sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW :
مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ .(مالك , البخاري . مسلم , ابن ماجه)
Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya maka Allah jadikan dia faqeh (faham) dalam perkara agama
82.       Ada juga kalangan ulamak di luar sana yang tidak memahami kewajipan berjamaah dan menyertai jamaah yang memenuhi ciri-ciri parti yang menegakkan ajaran Allah yang meneruskan pusaka para Rasul yang berdakwah dan berpolitik. Mereka ini melupai pesanan Rasulullah SAW kepada Huzaifah bin Al Yaman RA, dalam memelihara diri dari mengikuti golongan yang menyahut ke neraka. Antara lainnya Rasulullah SAW menegaskan  :
Kamu hendaklah menyertai kumpulan umat Islam dan pemimpin mereka“. Aku berkata : “Sekiranya tidak ada kumpulan Islam dan pemimpinnya ?”. Sabda Rasulullah S.A.W : ”Asingkan dirimu daripada kumpulan sesat itu, walau pun kamu terpaksa menggigit pangkal pokok atau mati dalam keadaan itu”
83.       Oleh yang demikian, maka anggota Dewan Ulamak mestilah berdepan dengan para ulamak yang berdiam diri melihat kemungkaran di hadapan mata, pada hal sekurang-kurangnya mampu mencegah dengan lisan dan tulisan, tetapi sanggup termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah SWT :
Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat melaknati.

84.       Seterusnya untuk berdepan dengan cabaran ini, maka Dewan Ulamak perlu mengumpulkan seberapa banyak ahli supaya berjamaah bersama PAS, kerana merekalah yang lebih wajib menunaikan tugas ini. Langkah Dewan Ulamak mewujudkan saf ulamak muda adalah sangat penting bagi memelihara dan melangsungkan perjuangan Islam yang berterusan, dan mereka adalah pemimpin rakyat yang paling berpengaruh.
85.       Ahli-ahli Dewan Ulamak yang berterusan bersama dengan masyarakat siang dan malam melalui kuliah pengajian ini, hendaklah memahami uslub pengajian yang menyedarkan rakyat dengan kefahaman politik Islam dan pendekatan yang menarik, bukan hanya mengajar menyampaikan ilmu tanpa kesedaran terhadap bahaya pemikiran yang mereka hadapi. Inilah peranan para ulamak yang dinyatakan oleh Allah SWT :
Maksudnya :
Mengapa tidak ada yang keluar dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memahami) tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
86.       Peranan Dewan Ulamak juga perlu diperluas, dengan melangkaui program kuliah yang menjadi kebiasaan kepada mendepani isu-isu yang memerlukan ulasan kalangan ulamak terutamanya yang menyentuh suasana semasa yang semakin hari semakin kompleks. Selain dari itu, seluruh ahli Dewan Ulamak juga perlulah terus menerus mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran serta komunikasi kontemporari supaya kehadiran mereka dalam masyarakat dan kerajaan yang kita pimpin itu dapat memberi seribu macam natijah yang baik.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
CABARAN TERHADAP PEMUDA
87.       Generasi muda adalah harapan umat menjadi pewaris kesinambungan perjuangan dan tenaga terpenting, mereka juga menjadi sasaran musuh. UMNO/BN lebih suka kalau generasi ini dalam kedaan leka, jahil, miskin dan menganggur, supaya mudah menjadi penyokong mereka, sekurang-kurangnya sekadar menjadi tukang sorak walau pun kampung tergadai.
88.       Perubahan secara demokrasi terkini boleh berlaku dengan perubahan undi penentu, sebahagian pengundi baru adalah daripada kalangan muda. Golongan ini mempunyai jumlah besar dan menjadi undi penentu dalam pilihanraya akan datang. Maka Dewan Pemuda  hendaklah memainkan peranan mereka mendekati golongan ini, dengan berbagai-bagai kegiatan yang dapat mendekatkan diri dan menyelamatkan mereka daripada arus politik kemusnahan yang dibawa oleh UMNO/BN,  dengan sengaja membiarkan golongan muda menjadi sasaran hiburan yang melekakan, menjadi penganggur dan terbiar bahkan menjadi golongan miskin dan menganggur dengan tujuan semata-mata mudah menjadi mangsa politik wang.
89.       Peranan pemuda hendaklah dengan cara menjinakkan bukan meliarkan, dengan bahasa menarik dan mudah difaham, cara yang menghidup dan meriah, sesuai dengan sifat golongan muda yang cergas, sihat dan bersemangat, supaya sifat itu dimanfaatkan untuk menyelamatkan masa depan mereka dengan menyelamatkan negara melalui perubahan islah.
90.       Penubuhan Akademi Kepimpinan Pemuda yang sudah melangkaui enam tahun juga perlulah diperluaskan peranannya, dengan melalui fasa yang seterusnya untuk berkhidmat memberikan latihan berguna kepada golongan pemuda yang masih bertebaran di luar sana.

CABARAN TERHADAP MUSLIMAT
91.       Kaum wanita adalah pendidik keluarga secara langsung, mereka melahirkan umat berwibawa daripada keluarga yang soleh. Kita menghadapi zaman serangan pemikiran masuk ke dalam rumah dan keluarga laksana banjir yang sukar disekat. Sudah tiba masanya muslimat menyertai jihad fardu ain yang disebut dalam kitab feqah, kerana bahaya serangan pemikiran adalah lebih besar kesannya kepada masyarakat.
92.       Golongan wanita lebih mudah menjadi mangsa media yang datang dan masuk ke rumah mempengaruhi keluarga, mereka adalah benteng di rumah dan tenaga penting di luar rumah bersama masyarakat. Selama ini pun Dewan Muslimat diseluruh negara telah turun ke rumah pengundi sasaran, dengan penuh menghadapi cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh muslimin.
93.       Undi wanita tidak ada perbezaan dengan lelaki mengikut perhitungan demokrasi, banyak kawasan menunjukkan jumlah mereka lebih besar dan boleh menjadi undi terbesar menentukan kemenangan pilihanraya, selain dari mereka juga mempunyai kalangan pengundi baru. Memang muslimat telah masuk medan dengan aktif. Kajian dan muhasabah hendaklah sentiasa dilakukan terhadap jentera muslimat, bagi menghadapi cabaran melakukan perubahan menyelamatkan negara dengan garis panduan dan aktiviti yang lebih berkesan.
94.       Muslimat memerlukan tenaga yang ramai dan kemampuan menjadi jentera parti.  PAS telah memberi ruang yang luas kepada muslimat sehingga ke peringkat menjadi calon, menyertai kerajaan dan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pembangkang di peringkat negeri dan pusat, sejak PAS ditubuhkan.
95.       Muslimat hendaklah dibina kekuatan dalaman dengan jati diri jamaah Islam yang mampu memelihara keluarga dan terlibat dalam masyarakat dengan jadual yang saksama. Para suami dan bapa perlu menyedari hakikat ini dan bersama membantu dan memberi ruang yang wajar, saksama dan istiqamah.
96.       Muslimat juga mestilah mampu turun padang menyantuni ‘golongan kurang bernasib-baik’ dari keluarga bermasalah, armalah, wanita-wanita, remaja dan anak-anak terbiar. Muslimat mestilah memberikan ‘khidmat kebajikan’: kesedaran keluarga bahagia agar ‘golongan kurang bernasib-baik’ ini mendapat penjagaan dan perlindungan sewajarnya daripada  seluruh ahli keluarga, penguasa, suami, penjaga dan masyarakat.
97.       Muslimat juga wajar menubuhkan pertubuhan kebajikan seperti Asrama Perlindungan bagi ‘golongan kurang bernasib-baik’ dengan menyediakan pendidikan dan pengajian agama disamping pelajaran akademik, Pusat Setempat sebagai tempat pengaduan, pusat rujukan dan khidmat nasihat bagi sebarang masalah dan Pusat Vokasional Wanita bagi memberi kemahiran  dan tunjuk-ajar sebagai jalan bagi membuka peluang kerjaya untuk meneruskan kehidupan dan mata pencarian.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG PAS
98.       Dengan terbukanya tembok pemisahan dengan masyarakat bukan Islam, terbukti sokongan mereka dalam beberapa kali pilihanraya, sudah ada sumbangan kerja mereka, peti undi dan calon yang menang dengan peranan mereka. Kita telah membuat keputusan untuk melibatkan mereka dengan cara yang labih berkesan,   kumpulan ini sangat penting menjadi penyumbang kemenangan PAS.
99.       Kita hendaklah menyedari kedudukan masyarakat majmuk yang menjadi sebahagian daripada mesej politik Islam. Kita wajib menyampaikan mesej tanpa paksaan dalam agama dan Islam adil untuk semua, sehingga mereka memberi kepercayaan kepada kita untuk memandu ke arah perubahan, dan melihat Islam secara amali, dengan cara yang sebenar, seterusnya membetulkan imej Islam yang dicalar oleh perangai UMNO dan penganut Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam.
100.   Feqah politik Islam telah memberi tempat kepada bukan Islam yang bersama dalam negara dengan setia, bukan sekadar menjadi rakyat biasa bahkan menjadi sebahagian daripada kabinet dan jentera kerajaan bagi membuktikan keadilan Islam melalui hujah secara praktikal. Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga membuktikan bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah jauh lebih relevan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini, dibanding dengan BN.
101.   Saya amat berharap Dewan Himpunan akan main peranan yang lebih penting dalam penyampaian hasrat dan tujuan parti dan juga menyakinkan masyarakat bukan Islam bahawa PAS adalah parti yang sentiasa menyuarakan apa yang diharapkan oleh rakyat dan mampu menunaikannya.

PERANAN LAJNAH
102.   Setiap Lajnah dalam PAS berperanan melaksanakan agenda parti yang berteras, berjiwa dan bermatlamat Islam. Melaksanakan apa yang dapat dilaksanakan tanpa tangguh dan menjadi jentera menuju ke arah memperkenalkan Islam kepada masyarakat mengikut bidang masing-masing, serta melengkapkan parti walau pun tidak menjadi kerajaan dan mengisi kemenangan apabila tiba masanya menjadi kerajaan.
103.   Peranan tenaga kalangan pakar dalam berbagai bidang dalam PAS sentiasa bersama perjuangan kita sejak penubuhan PAS, menunjukkan kita tidak sekali-kali memisahkan kalangan ulamak dengan mereka. Inilah sejarah PAS bersama sejarah Islam di zaman keemasan dan mempunyai ketahanan di zaman penjajahan dan kezaliman.
104.   Ada Lajnah yang lebih bersifat dalaman seperti Lajnah Tarbiyyah, bagi meningkatkan ketahanan ahli menghadapi cabaran, meningkatkan daya juang dan ilmu yang diamalkan sehingga PAS menjadi parti contoh terbaik.  Lajnah Tarbiyah juga perlulah merangka modul-modul baru yang boleh mendidik ahli dalam uslub mendekati masyarakat berbagai agama dan kaum di luar sana.
105.   Ada Lajnah yang bersifat terbuka bagi melaksanakan agenda PAS ke dalam masyarakat bagi memasyarakatkan PAS seperti Lajnah Penerangan, Kebajikan, Guaman, Pekerja, Kebudayaan, Tanah dan Peneroka dan lain-lain, sehinggalah ke peringkat antara bangsa. Semua Lajnah hendaklah mengambil segala kepakaran yang ada di kalangan ahli PAS yang ramai jumlahnya sekarang. Mereka laksana batu bata yang perlu disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh. Firman Allah :
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh  (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)

106.   Saya juga mahu Lajnah-lajnah dalam PAS, melalui aktivis parti untuk turun ke gelanggang, memahami budaya setempat, perihatin terhadap masalah rakyat, menjadi penggerak sebenar di medan, dan seterusnya menyelesaikan konflik dan masalah yang membarah dalam masyarakat. Sekiranya kita mahukan perubahan ke arah politik yang lebih bermaklumat, maka semua di antara kita adalah bertanggungjawab untuk bertindak sebagai agen perubahan yang menyampaikan maklumat ke dalam masyarakat.
107.   Demi mencapai tujuan ini, maka setiap Lajnah di peringkat Pusat hinggalah ke peringkat negeri dan kawasan perlulah menetapkan matlamat yang ingin dicapai, melaksanakan perancangan strategik dan memantau pencapaian dari masa ke semasa. Semua ini direncanakan di awal sesi, dibentang kepada semua jawatankuasa untuk penyelarasan gerakerja supaya kita tidak hanya mewujudkan program ad-hoc yang bertujuan untuk mengisi laporan tahunan apabila hampir tiba mesyuarat agung masing-masing.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
PERANAN PAS DI PERINGKAT ANTARABANGSA
108.   Suasana geo-politik dunia dan konflik antarabangsa kini berada di persada perubahan yang amat drastik. Pelbagai isu antarabangsa telah mewarnai sepanjang setahun yang lalu. Arus perubahan yang sedang berlaku sekarang ini adalah amat unik dan sedang memberi kesan yang hebat kepada percaturan politik di seluruh dunia termasuk juga di Malaysia.
109.   Di Asia Barat, tanpa di sangka-sangka oleh kebanyakan pihak, ratusan ribuan rakyat terutamanya dari kalangan golongan muda telah keluar ke jalan-jalanraya bagi menuntut hak kebebasan dan demokrasi mereka yang dinafikan sejak sekian lama, sehingga rakyat telah berjaya menggulingkan rejim ’kuku besi’ yang menekan mereka sejak berdekad lamanya. Ahli-ahli politik serta parti-parti politik pembangkang telah diharamkan dari bergerak aktif dan semua media massa di kawal ketat dengan tidak dibenarkan sebarang bentuk kritikan terhadapi rejim ini. Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim ini sampai kepada kemuncaknya apabila mereka telah bertindak membunuh serta memenjara ribuan para ulamak, cendekiawan serta wartawan.
110.   Persoalannya, apakah kebangkitan rakyat yang sedang berlaku di Asia Barat ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana rejim yang zalim dengan menafikan hak serta kebebasan rakyat termasuk juga di negara kita Malaysia?
111.   Dalam hal ini kita ingin memperingatkan kepada kerajaan Barisan Nasional, bahawa apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat sebegini tentunya tidak dapat dibendung lagi. Episod di Asia Barat ini membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu adalah berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri.
112.   PAS juga akan terus istiqamah untuk menyuarakan ketidakadilan dan penentangan terhadap kezaliman ini di pentas antarabangsa – samada menerusi memorandum dan dialog, demonstrasi, forum antarabangsa seperti Muktamar Al-Quds, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP), Persidangan Ahli Parlimen Islam dan sebagainya. PAS juga akan terus menerus menyumbang kepada dunia yang lebih adil dan aman.
113.   Di rantau ini, PAS tetap berperanan membela umat Islam di Selatan Filipina dan Selatan Thailand yang terus bergolak. Kita akan terus mengambil ‘pendekatan kemanusiaan’ dan ‘pendekatan diplomatik’ bagi mencari jalan penyelesaian terbaik di kedua-dua wilayah bergolak ini. Inilah yang pernah dibuktikan oleh PAS, apabila kepimpinan PAS telah turut sama terlibat tanpa jemu dan menyuarakan pandangan serta nasihat kepada kepimpinan yang bertelagah, sehingga akhirnya cahaya perdamaian berjaya di meterai di wilayah Acheh sehingga sekarang.
114.   Namum PAS ingin sekali lagi menegaskan bahawa agenda antarabangsa utama kita adalah pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang menjadi kiblat pertama bagi seluruh umat Islam. Kita juga ingin menegaskan, sekiranya keamanan dunia mahu di capai, Amerika Syarikat serta sekutu mereka hendaklah segera keluar dari menjajah bumi umat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Perdamaian dunia juga hanya akan dapat dicapaii apabila kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan dan hak serta tuntutan bumi dan negara  Palestin ditunaikan segera.

MUHASABAH
115.   Marilah sama-sama kita bermuhasabah, dari peringkat tertinggi hingga ke jentera di medan, kerana tentunya banyak sekali kelemahan perancangan dan kelembapan pengurusan organisasi yang memerlukan tindakan baru dari kita semua. PAS dan ahlinya juga hendaklah menilai kejayaan dan pencapaian, tidak hanya berpandukan keputusan pilihanraya, walaupun pilihanraya adalah sebahagian daripada agenda yang penting. Rasulullah SAW meminta pejuang Islam mendahulukan cara damai, kerana perhitungan fadilat yang besar daripada setiap individu yang berjaya mendapat hidayah dengan hujah, dan ketahanan berjuang sehingga akhir hayat.
116.   Allah menjanjikan dua kemenangan kepada mereka yang berjihad menegakkan agama Allah. Kemenangan akhirat yang kekal dan kemenangan di dunia berjaya menegakkan agama Allah. Kita tidak perlu merasa gundah dengan usikan mereka yang menonton di luar gelanggang perjuangan kita, samada dari kalangan musuh atau pemerhati yang tidak faham.
117.   Inilah rahsia ketahanan perjuangan PAS yang tidak lemah disepanjang sejarahnya, tidak seperti kumpulan lain yang sudah hilang dalam lipatan sejarah atau makin lemah, apabila mengalami kekalahan di medan atau kehilangan tokohnya. Maka hakikat perjuangan ini tetap tidak akan padam, kerana fajar kemenangan akan sampai juga akhirnya.

Para hadirin dan hadirat sekalian,
AMANAH KEPIMPINAN
118.   Muktamar ini dilangsungkan bersama pemilihan kepimpanan tertinggi parti, maka seluruh perwakilan hendaklah meletakkan perkara kepimpinan di atas tanggungjawab amanah yang besar dalam ajaran Islam, yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan kita.
119.   Maka hendaklah berpandukan kepada amanah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW :

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا
صحيح البخاري - (ج 20 / ص 302)
Wahai Abdul Rahman bin Samurah !, jangan sekali-kali meminta jawatan menjadi ketua (pemimpin) . Maka sesungguhnya jika sekiranya kamu diberi jawatan dengan memintanya nescaya dibiarkan memikulnya (tanpa pertolongan Allah), sekiranya diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya kamu diberi pertolongan melaksanakannya
إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ
صحيح مسلم - (ج 9 / ص 344)
Sesungguhnya kami, demi Allah tidak melantik memegang jawatan dalam melaksanakan tugas ini kepada seseorang apabila dia memintanya dan tidak juga kepada seseorang terlalu ingin menjawatnya
120.   Pemilihan dalam Islam mempunyai nilai moral keluhuran dan kemuliaan yang tersendiri, bukan sahaja kelayakan pemimpin yang berteraskan Islam dari aspek iman, akhlak, ilmu, pengalaman dan pengaruh, kemampuan melaksanakan amanah, komited dengan gerakerja, termasuklah cara penonjolan yang berakhlak. Ingatlah bahawa kita memimpin bukan untuk menjadi popular, atau supaya digelar orang sebagai pahlawan, tetapi adalah untuk melaksanakan amanah Allah SWT, kerana amanah khilafah ini tidak akan surut hinggalah ke hari kiamat.
121.   Inilah pendekatan yang dihayati oleh PAS di sepanjang jalan, sehingga kita mampu menghadapi ranjau dan gelombang perjuangan yang suci ini. Maka tunaikan amanah ini dengan cara dan sifat Islam yang kita junjung selama ini, supaya PAS terus menjadi bahtera penyelamat di dunia dan akhirat.

RUMUSAN UNTUK TINDAKAN BERSAMA
Berlatar belakangkan seluruh perkembangan politik tanah air dalam kita berdepan dengan  cabaran pilihanraya  umum ke 13 yang akan tiba nanti, maka faktor  kejayaan berikut adalah amat penting untuk dihayati dan dilaksanakan segera oleh semua peringkat pimpinan, aktivis dan pendokong parti. Maka izinkan saya untuk membuat seruan berikut :
(i)                 Marilah kita sama-sama memahami tujuan perjuangan dan beristiqamah bersama PAS, memperkasakan organisasi, kerana PAS akan tetap dengan matlamat perjuangan yang digariskan dalam perlembagaannya, kerana itulah tuntutan tujuan ibadah, amanah dan khilafah yang menjadi tujuan kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.
(ii)               Marilah kita memahami maksud tema muktamar Membangun Negara Berkebajikan, kerana ianya akan menjadi kunci kepada tindakan kita sepanjang tahun ini. Agenda besar kita yang telah dibentangkan dalam ucapan dasar ini perlu dibincang dan dipercambahkan fikrahnya, perancangan dan tindakannya, supaya tema ini mampu menjadi pemangkin dalam kita melakukan agenda perubahan yang kita rancangkan.
(iii)             Marilah kita memperkukuhkan dan merapatkan saf serta mengeratkan” Ukhuwwah filLah” di kalangan ahli  jamaah dalam memenuhi tuntutan Allah SWT,  sebagai syarat kemenangan sekali gus mempersiapkan dan mempertingkatkan keupayaan dan kelancaran seluruh jentera pilihanraya parti di semua peringkat -  JPP Pusat, JPN, JPRK, MTD dan UPU.

(iv)              Marilah kita memahami tuntutan” Tahaaluf Siyasi” sebagai pendekatan pemuafakatan politik yang paling bijak dan wajar di kalangan parti-parti  komponen Pakatan Rakyat sekaligus memenuhi tuntutan melancarkan gandingan jentera pilihanraya bersama Pakatan Rakyat di semua peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan, bagi mendepani cabaran menumbangkan kerajaan UMNO/BN.

(v)                Marilah kita memperluaskan muafakat melaksanakan perubahan dalam negara kita ini, bersama-sama dengan seluruh badan-badan NGO dari pelbagai latarbelakang aktiviti, serta seluruh rakyat yang prihatin supaya negara dapat dibebaskan dari amalan buruk dan demokrasi berat sebelah yang diamalkan sekarang ini.

(vi)              Marilah kita memantapkan jentera penerangan parti bagi mengungguli penerangan kerana sesungguhnya Islam yang diperjuangkan PAS adalah membawa mesej “Rahmat Untuk Sekalian Alam”. Jentera penerangan kita juga perlulah  menyebar-luaskan agenda perubahan seperti yang   termaktub dalam “Dasar Bersama”,  “Buku Jingga”, dan yang telah disebut dalam ucapan dasar ini.

(vii)            Marilah kita memurni dan membersihkan Siyasah atau Politik sebagai satu bidang dan juzu’ penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan UMNO/BN di waktu ini. PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik “Matlamat Menghalalkan Cara” seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah SWT.

(viii)          Marilah kita memperkukuhkan prinsip “Semak-Imbang” yang dituntut di dalam Al-Quran sebagai teras utama tata-kelola pengurusan serta pemerintahan sesebuah kerajaan yang dibimbingi nilai-nilai Islam dan nilai-nilai demokratik bagi menjayakan “Pengurusan Terbaik” untuk mencapai cita-cita tema muktamar “Membangun Negara Berkebajikan”.

PENUTUP
Akhirnya, di kesempatan ini saya bagi pihak kepimpinan PAS ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Panitia Induk Muktamar, PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor sebagai tuan rumah, penyumbang dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar Tahunan ke-57 ini. Tidak lupa juga kepada pihak Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang menyediakan kemudahan tempat kita bermuktamar pada hari ini.

Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT :

Katakanlah: ""Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu
 
Seterusnya, saya RASMIKAN Muktamar PAS ke-57 ini dengan menyebut

بسم الله الرحمن الرحيم

dan sabda Rasulullah SAW :

سيروا على بركة الله