25/06/2011

OPR – Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya? (Dr. Dzulkefly Ahmad)

Jawapan kepada soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.

Untuk pengetahuan umum,  SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.

Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani  atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari  luar.

Namun, langkah menaikkan Kadar  Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).

Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.

Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi.
Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business)  juga mengalami kenaikan.

Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan  mengalami 20%  kenaikan dalam kos kadar faedah.

Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun  jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saraan hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR telah member isyarat salah dan bakal memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.

Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya mengaharapkan pihak pengurus dana antarabangsa untuk membawa masuk dana luar bagi mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain. Dana atau ‘hot money’ seperti ini juga bukanlah yang dihajatkan oleh negara sebagai “quality investment’.

Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat terus ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seperti IPP, sektor air dan lebuhraya terus mendapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?

Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar  kerajaan yang lain ??

Selarikah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?

KENYATAAN AKHBAR – AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR
Dzulkefly Ahmad, 21 hb Jun 2011.

No comments:

Post a Comment